TINTA MINDA

Pilihan Anda, Tunai Atau Tanpa Tunai?

09/07/2025 04:25 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nurul Ashikin Alias

Dengan berlalunya tempoh masa era digital yang serba pantas ini, dapat dilihat terdapat berlakunya corak perubahan dalam kaedah pembayaran yang digunakan oleh masyarakat terutamanya melibatkan sistem jual beli. Perubahan khusus ini dapat dilihat dengan jelas melalui perbezaan antara aspek penggunaan wang tunai dan sistem permbayaran tanpa tunai. Fenomena perubahan lanskap kewangan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Jika dahulu masyarakat hanya menggunakan pertukaran wang tunai sebagai sistem pembayaran yang digunapakai secara keseluruhannya.

Pilihan Kaedah Pembayaran

Namun, dengan kemunculan pelbagai teknologi seperti e-wallet, kad debit, kad kredit dan pemindahan wang secara dalam talian telah membuktikan bahawa rakyat kini mempunyai lebih banyak pilihan. Generasi ‘baby boomers’ kebanyakkannya masih memilih sistem pembayaran dalam bentuk wang tunai. Golongan generasi muda merujuk kepada gen-z dan keatas pula lebih selesa untuk melakukan pembayaran tanpa tunai bagi setiap perbelanjaan yang dikeluarkan.

Sementara itu, generasi Millennial pula adalah golongan pertengahan yang mampu beradaptasi dengan kedua-dua keadaan. Persoalannya kini adalah yang manakah plihan yang lebih baik dan mampu menjamin kesejahteraan kehidupan masyarakat; tunai atau tanpa tunai?

Sasaran Menjadi Masyarakat Tanpa Tunai

Kebanyakkan negara kini telahpun mengaplikasikan kaedah tanpa tunai dalam sistem kewangan mereka. Pada tahun 2030, Malaysia juga telah menyasarkan menjadi masyarakat tanpa tunai. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mendidik masyarakat mengenai kelebihan pembayaran secara digital. Bank Negara Malaysia merupakan institusi utama yang memainkan perananan penting dalam memastikan sistem ini selamat dan bersifat mesra pengguna serta mudah digunakan oleh semua golongan masyarakat.

Perlaksanaan peralihan sistem kewangan ini perlulah dilakukan secara berperingkat dan inklusif. Bagi mencapai matlamat ini, pihak kerajaan harus memastikan infrastruktur digital telah dibangunkan dan tersedia secara menyeluruh sama ada di kawasan bandar dan luar bandar. Tambahan pula, program literasi turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat berkaitan digitalisasi agar tiada golongan yang ketinggalan.

Pelbagai insentif telah ditawarkan oleh pihak kerajaan dan sektor swasta kepada pengguna sistem tanpa tunai sama ada dalam bentuk diskaun, pulangan tunai (cashback) dan mata ganjaran bagi menarik masyarakat ke arah pembayaran digital. Kaedah transaksi kewangan secara cashless ini telah pun bermula sejak lama lagi walaupun tidak secara meluas.

Namun, keadaan mula berubah secara keseluruhan setelah seluruh dunia mula diserang pandemik COVID-19. Situasi pandemik COVID-19 yang bermula pada penghujung tahun 2019 telah menyebabkan kaedah transaksi kewangan secara tanpa tunai ini dilihat lebih bersih dan selamat kerana tidak melibatkan sentuhan fizikal di antara satu individu dengan individu lain.

Kebaikan dan Keburukan

Di antara kedua-dua pilihan tersebut, sama ada tunai atau tanpa tunai sudah pasti akan mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri. Jika dilihat dari aspek positif, pembayaran tanpa tunai sudah pasti menawarkan pelbagai kelebihan, terutamanya dari sudut kemudahan dan keselamatan. Segala transaksi pembayaran dapat diselesaikan dengan beberapa sentuhan di skrin telefon pintar, tanpa memerlukan individu tersebut berada secara fizikal.

Selain penggunaan kad debit dan kredit untuk melakukan transaksi kewangan, terdapat juga banyak applikasi yang disediakan untuk memudahkan urusan transaksi kewangan terutamanya bagi generasi muda dan warga kota seperti Touch ‘n Go eWallet, GrabPay, dan MAE oleh Maybank dan lain-lain lagi. Kini setiap bank juga turut memudahkan pelanggan mereka dengan menyediakan kemudahan mengimbas kod QR bagi memudahkan urusan transaksi kewangan sama ada bagi tujuan peribadi atau perniagaan.

Dengan kata lain, setiap individu boleh melakukan transaksi kewangan tanpa perlu membawa sejumlah wang dalam bentuk fizikal. Keadaan ini, akan mengurangkan risiko berlakunya kejadian jenayah seperti rompakan dan kecurian secara fizikal. Rekod transaksi kewangan digital juga membolehkan segala makluman perbankan disimpan secara berpusat oleh institusi bertanggungjawab bagi tujuan perancangan ekonomi pada masa akan datang.

Setiap perkara pasti mempunyai pasangannya. Jika sesuatu perkara ini mempunyai kebaikan sudah pasti turut mempunyai keburukannya. Perspektif negatif yang melibatkan transaksi tanpa tunai adalah risiko gangguan talian internet, berhadapan penggodam sistem dan perbelanjaan luar kawalan. Transaksi kewangan tanpa tunai sudah pasti sentiasa memerlukan talian internet yang stabil untuk mengelakkan gangguan ketika proses transaksi berlansung.

Kita dapat mengambil pengajaran dari negara Sweden yang mula berpatah balik dari sistem cashless secara keseluruhan dalam sistem kewangan mereka atas faktor ancaman peperangan serta ditambah lagi dengan ‘isyarat’ dari pihak Amerika Syarikat. Masyarakat juga harus menyedari bahawa segala apa yang berada di dalam sistem digital adalah mempunyai risiko tinggi untuk digodam oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, transaksi kewangan tanpa tunai juga akan membentuk masyarakat dengan sifat perbelanjaan yang tidak terkawal tanpa sedar.

Oleh itu, boleh dirangkumkan bahawa pilihan untuk menggunakan kaedah pembayaran tunai atau tanpa tunai adalah bergantung kepada situasi, keperluan, dan kemampuan individu. Dalam banyak keadaan, sistem tanpa tunai menawarkan kemudahan yang tidak dapat dinafikan. Bagaimanapun, penggunaan wang tunai tetap relevan sebagai alat pembayaran yang mudah, cepat dan diterima secara meluas.

Perkara penting yang perlu diutamakan ialah kesedaran dan kebijaksanaan pengguna dalam memilih kaedah pembayaran yang bersesuaian dengan gaya hidup mereka. Dalam zaman teknologi yang berkembang pesat ini, keseimbangan antara inovasi dan kesejahteraan masyarakat harus sentiasa dijaga agar tiada siapa yang tertinggal di belakang.

-- BERNAMA

Dr Nurul Ashikin Alias merupakan Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di n.ashikin@um.edu.my

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)