Hari ini, tahap kesedaran pengguna boleh dikatakan semakin meningkat. Terkait soal ketelusan harga barangan dan perkhidmatan, ia bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Pengguna hari ini mahukan maklumat yang jelas sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan kesihatan mereka termasuk kos ubat yang perlu dibayar.
Menyedari hakikat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah berani dengan mewajibkan paparan harga ubat di semua kemudahan kesihatan swasta bermula 1 Mei 2025 lalu. Langkah ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip keterbukaan dan ketelusan malah membuka lembaran baharu dalam hubungan antara penyedia perkhidmatan kesihatan, pengguna dan penggiat industri farmaseutikal.
Harga ubat di sektor swasta sering menjadi perbincangan kerana perbezaan yang ketara antara satu penyedia dengan penyedia lain. Tanpa paparan harga yang jelas, pengguna mudah terdedah kepada ketidaktentuan dan kesukaran untuk membuat perbandingan.
Dalam banyak kes, kos ubat disatukan dalam bil rawatan tanpa penjelasan terperinci, menjadikan pengguna bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang diberi atau tidak diberi oleh penyedia perkhidmatan. Ketelusan harga, dalam konteks ini adalah asas kepada keadilan pengguna.
Mengapa Paparan Harga Penting?
Paparan harga bukan semata-mata isu ekonomi, ia adalah persoalan terhadap akses maklumat, pilihan dan keadilan sosial. Apabila harga ubat dipaparkan secara terbuka, pengguna mempunyai peluang untuk membuat keputusan berdasarkan bajet mereka, mencari alternatif setara, atau mendapatkan nasihat lanjut sebelum membeli. Ini mengurangkan risiko pembelian impulsif atau terpaksa, dan meletakkan kuasa membuat keputusan di tangan pengguna.
Dalam masa yang sama, langkah ini juga memberi kesan positif kepada penyedia perkhidmatan kesihatan dan pengedar ubat. Dengan ketelusan, penyedia akan terdorong untuk menyusun harga secara lebih beretika dan berpatutan. Ia mencetuskan persaingan sihat dalam kalangan klinik dan farmasi untuk menawarkan harga dan nilai terbaik, yang akhirnya menguntungkan pengguna.
Keseimbangan Kepentingan Semua Pihak
Apa yang menarik, pelaksanaan dasar ini mewujudkan situasi menang-menang (win-win situation) kepada semua pihak. Dari sudut pengguna, mereka menikmati tahap keterbukaan yang lebih tinggi, mampu merancang perbelanjaan kesihatan, dan mempunyai pilihan yang lebih luas. Bagi pengamal perubatan dan pengusaha farmasi, mereka mendapat kepercayaan pelanggan melalui amalan yang telus dan profesional, yang dalam jangka panjang boleh meningkatkan kesetiaan dan reputasi perniagaan.
Di pihak pengilang dan pembekal ubat pula, sistem harga yang terbuka memberikan gambaran yang lebih jelas tentang permintaan pasaran dan corak pembelian. Ini membantu dalam perancangan pengeluaran dan penyesuaian harga secara lebih tepat, selain menggalakkan penghasilan produk yang kompetitif dari segi harga dan kualiti.
Dari perspektif kerajaan, dasar ini memperkukuh lagi ekosistem kesihatan negara ke arah yang lebih cekap, mesra rakyat, dan mampan. Ia membantu dalam pemantauan pasaran ubat dan penggubalan dasar farmaseutikal yang lebih responsif terhadap keperluan rakyat.
Cabaran Dan Jalan Ke Hadapan
Sudah tentu, pelaksanaan dasar ini tidak terlepas daripada cabaran. Isu seperti ketidaksamaan harga, pematuhan oleh fasiliti swasta, dan keberkesanan penguatkuasaan perlu diberi perhatian. Oleh itu, kejayaan inisiatif ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk penggiat industri, persatuan farmasi, dan pertubuhan pengguna. Pendidikan awam mengenai hak dan peranan mereka juga penting supaya dasar ini benar-benar dimanfaatkan.
Dalam jangka panjang, paparan harga ubat harus dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan yang lebih luas untuk memperkukuh sistem kesihatan berasaskan rakyat. Ketika kos sara hidup semakin meningkat dan jurang akses kesihatan masih wujud, dasar seperti ini adalah langkah kecil tetapi signifikan menuju sistem kesihatan yang lebih adil, telus dan inklusif.
Kesimpulannya, paparan harga ubat bukan hanya tentang nombor pada label, ia adalah simbol kepercayaan, tanggungjawab dan keadilan dalam perkhidmatan kesihatan. Apabila pengguna diberi maklumat yang jelas, mereka bukan sahaja menjadi lebih berdaya memilih, tetapi juga lebih yakin terhadap sistem kesihatan yang mereka bergantung harap. Justeru, inisiatif ini wajar disambut sebagai satu permulaan kepada transformasi lebih besar dalam budaya ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sektor perubatan negara.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa merupakan Ketua Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)