TINTA MINDA

Pertimbang Wujud Mahkamah Jenayah Kemanusiaan Peringkat Asean

16/06/2025 11:50 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Muzaffar Syah Mallow

Sudah sampai masanya Pertubuhan Negara – Negara Asia Tenggara atau dalam bahasa Inggerisnya lebih dikenali sebagai Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) yang terdiri daripada 10 buah negara ini memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah mahkamah jenayah khas peringkat serantau ASEAN khusus bagi menyiasat dan membicarakan segala kegiatan atau aktiviti jenayah serius kemanusiaan yang berlaku khusus di kalangan negara – negara rantau ASEAN.

Pihak kerajaan Malaysia boleh memberi pertimbangan untuk duduk berbincang serta mengusulkan kepada negara – negara rantau Asia Tenggara bagi mewujudkan satu bentuk agensi, tribunal ataupun mahkamah pengadilan khusus untuk kalangan negara – negara dirantau Asia Tenggara.

Penubuhan sebuah mahkamah jenayah peringkat Asia Tenggara ini dilihat penting bagi memastikan tiada negara serantau di Asia Tenggara yang melakukan sebarang bentuk tindakan kekejaman dan penindasan terhadap mana – mana pihak di dalam negara mereka sendiri serta terhadap negara – negara serantau di Asia Tenggara.

Pada masa yang sama juga, penubuhan sebuah mahkamah berkenaan di peringkat serantau dapat memberi isyarat yang jelas kepada semua negara – negara di Asia Tenggara untuk tidak melakukan sebarang jenayah serius kemanusiaan terhadap mana – mana pihak.

Penubuhan sebuah mahkamah jenayah peringkat serantau ini juga sekurang – kurangnya dapat mewujudkan satu bentuk saluran undang – undang yang dapat digunakan oleh mana – mana pihak yang merasakan diri mereka teraniaya akibat daripada sebarang jenis jenayah serius kemanusiaan yang menimpa terhadap diri mereka yang telah dilakukan oleh mana – mana pihak termasuk yang dilakukan oleh kerajaan mereka sendiri.

Perkara ini dilihat penting berikutan krisis kemanusiaan teruk dan berterusan yang menimpa etnik Rohingya di Myanmar buat sekian lama.

Seperti yang diketahui, etnik Rohingya di Myanmar menjadi mangsa keganasan dan penindasan daripada kerajaan mereka sendiri serta dari kumpulan – kumpulan pelampau dan fanatik yang berada di dalam negara mereka.

Mengikut rekod daripada beberapa pertubuhan hak asasi manusia peringkat antarabangsa, nasib malang yang menimpa etnik Rohingya sudah berlaku buat sekian lama semenjak junta tentera mengambil alih pentadbiran negara mereka pada tahun 1978.

Malah, ada juga pihak yang mendakwa bahawa etnik Rohingya berkenaan telah menerima layanan buruk lebih awal lagi.

Ada pihak juga yang menyatakan nasib buruk yang menimpa etnik Rohingya ini juga adalah proses penghapusan etnik.

Masalah yang menimpa etnik Rohingya ini juga telah memberi kesan kepada negara serantau yang lain termasuk Malaysia.

Beribu – ribu pelarian etnik Rohingya yang terpaksa melarikan diri ke negara serantau termasuk Malaysia bagi menyelamatkan diri serta mendapatkan perlindungan.

Ini sekaligus memberi impak sosial dan ekonomi kepada negara – negara yang terpaksa menerima kemasukan pelarian etnik Rohingnya berkenaan.

Tindakan ketidakperikemanusiaan yang berterusan dilakukan terhadap etnik Rohingya serta etnik minoriti lain ini tidak boleh dibenarkan berterusan berlaku di rantau ASEAN kerana ia jelas bertentangan dengan segala prinsip ASEAN yang melindungi hak asasi penduduknya yang berjumlah seramai 667 juta orang.

Piagam ASEAN

Malah Piagam ASEAN yang telah ditandatanggani oleh Myanmar sendiri juga jelas termaktub jaminan serta penghormatan terhadap hak asasi manusia.

Jika tiada langkah tegas diambil bagi mengatasi isu ini, nescaya tidak mustahil krisis kemanusiaan yang hampir sama boleh berlaku dalam kalangan negara – negara ASEAN yang lain.

Ia juga boleh memberi implikasi buruk terhadap nama baik ASEAN di peringkat global malah akan membantutkan segala usaha ASEAN untuk membantu pihak yang menerima nasib yang sama di rantau yang lain diserata dunia.

Oleh itu, ASEAN sebagai sebuah pertubuhan serantau perlu berani mengambil langkah – langkah yang lebih proaktif dan drastik bagi memberi jaminan dan perlindungan terhadap hak asasi manusia di rantau ASEAN serta memberi peluang kepada mana – mana pihak yang ditindas di rantau ini untuk membawa aduan mereka ke muka pengadilan.

Ini boleh dilakukan dengan mewujudkan sebuah mahkamah jenayah peringkat serantau.

Mahkamah jenayah berkenaan boleh memainkan peranan yang sama seperti mahkamah jenayah antarabangsa (ICC) yang berada di The Hague, Belanda dengan melakukan proses pemantauan terhadap aspek pematuhan hak asasi manusia khusus dalam kalangan negara – negara ASEAN serta mengambil proses pendakwaan terhadap mana – mana individu atau organisasi yang jelas melanggar prinsip kemanusiaan yang telah ditetapkan oleh pertubuhan ASEAN.

Bagi menjayakan cadangan diatas, pelbagai langkah perlu diambil dalam kalangan negara ASEAN seperti dengan melakukan pindaan besar terhadap piagam, penjanjian, instrumen sedia ada atau mewujudkan piagam baru bagi menjayakannya.

Ia juga menuntut kerjasama serta iltizam yang tinggi dalam kalangan negara – negara ASEAN bagi mematuhi segala peruntukkan atau kuasa mahkamah khas berkenaan setelah ianya ditubuhkan kelak.

Walaupun cadangan penubuhan mahkamah khas terbabit dilihat sukar serta akan mengambil tempoh masa yang panjang, cadangan penubuhan mahkamah khas berkenaan adalah penting supaya tiada pihak dikalangan negara – negara ASEAN berterusan melanggar peruntukan undang – undang antarabangsa serta prinsip – prinsip keamanan dan kemanusiaaan yang telah dipersetujui oleh negara – negara ASEAN terutamanya dalam aspek perlindungan dan jaminan terhadap hak asasi manusia.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)