TINTA MINDA

ASEAN PERLU SUNTIKAN NAFAS BAHARU

29/05/2025 05:10 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Collins Chong Yew Keat

Pemeteraian Deklarasi KL menandakan komitmen baharu blok serantau dalam menangani cabaran global dan membentuk masa depan yang lebih mampan.

Namun Deklarasi KL 2.0 ini lebih berfokus kepada cabaran dan ancaman bukan konvensional seperti impak perubahan iklim, kerjasama ekonomi, pemerkasaan hubungan sosio-budaya dan people to people relations, pembangunan sektor teknologi dan ekonomi berlandaskan masa depan termasuk ekonomi digital, ekonomi hijau, energy transition dan kelestarian dan kesaksamaan.

Kesemua ini menjadi teras yang dilihat dapat meraih sokongan dan penglibatan menyeluruh kesemua anggota ASEAN dan dijadikan sebagai medan pemupukan kepercayaan dan perpaduan dan solidariti serantau.

Pendirian Malaysia

Ini selari dengan pendirian Malaysia untuk merapatkan jurang pembangunan, mengatasi kemelut perpecahan dalaman, memacu integrasi serantau dan pelaburan dan perdagangan dalaman ASEAN, serta mengangkat darjat ASEAN sebagai kuasa besar baharu global secara bersepakat dalam potensi ekonomi dan kuasa langsung dalam memainkan peranan lebih mendalam dalam isu dan konflik global termasuk perang tarif, konflik Timur Tengah dan kepincangan cabaran perubahan geopolitik baharu.

Rencana 20 tahun menjadi ruang platform yang sukar untuk dikekalkan potensinya walaupun persediaan rapi diadakan.

Dalam sektor transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik, semua ini akan menyaksikan perubahan pantas yang akan menjadikan rencana yang dirancang sekarang mungkin akan menjadi tidak relevan dalam tempoh 5 ke 10 tahun akan datang, bahkan dalam masa 20 tahun.

Jadi, tindakan untuk mengadakan strategic plan review dalam setiap tempoh masa yang telah dikenal pasti menjadi platform penting untuk mengekalkan momentum dan kesungguhan bersama dalam terus mendepani perubahan dan ancaman baharu.

Malaysia perlu jadi pelopor

Malaysia perlu dilihat sebagai pelapor dan penggerak kepada usaha untuk memartabatkan ASEAN dengan cerminan kejayaan Malaysia itu sendiri dalam lakaran wadah baharu kuasa ekonomi dan geopolitik sebagai emerging middle power yang boleh bertindak sebagai pengaruh baharu di arena persaingan kuasa dan ekonomi serantau dan dunia.

Namun demikian, kemelut utama cabaran konvensional dari segi pertikaian di Laut China Selatan dan juga sistem cegah rintang dalam menangkis ancaman dari luar rantau termasuk ancaman dan impak negatif pertikaian kuasa dan perlumbaan senjata serta dilema keselamatan masih tidak menemui jalan penyelesaian atau model baharu di bawah Deklarasi ini.

Deklarasi ada perubahan

Deklarasi kali ini dilihat tidak banyak perubahan dari segi fundamental strength, tapi banyak perubahan dan pengubahsuaian mengikut perkembangan terkini dan juga sandaran dan tuntutan masa depan yang berlainan dengan dekad sebelum ini.

Ini terrmasuk sektor digital baharu dan struktur ekonomi yang berlainan, dan keperluan untuk memperkasa keyakinan, kepercayaan dan keterangkuman baharu rantau ini.

ASEAN masih terikat dengan takuk dan kepompong lama yang kini tidak lagi relevan, malah mengundang risiko tindak balas dan ancaman yang lebih mendalam dari segi peningkatan percaturan kuasa dan power presence oleh Beijing, yang melihat ASEAN sebagai kekal lemah dalam mengubah pendekatannya.

Ini juga akan mengundang reaksi dan tindak balas kuasa lain terutamanya Barat dengan peningkatan kehadiran kuasa Britain, Jerman dan Perancis dan juga Moscow dalam persaingan di rantau ini, sekaligus menjadikan persaingan kuasa kian rancak dan meruncing.

Tiada daya cegah berkesan

Ketiadaan daya cegah berkesan dalam bentuk pakatan pertahanan dan keselamatan fizikal yang jelas—berbeza dengan jaminan keselamatan Eropah melalui NATO—mengundang peningkatan konsentrasi kuasa di rantau ini.

Segala mekanisme pencegahan konflik termasuk TAC, SEANWWFZ, AOIP dan sebagainya tidak berhasil dalam memastikan kestabilan serantau, disebabkan perspektif luar bahawa ASEAN masih terikat dengan pendirian kuno dan tidak mempunyai kapasiti pertahanan individu mahupun bersama sesama anggota ASEAN yang mempunyai cegah rintang berkesan terhadap tindakan Beijing.

ASEAN dilihat sebagai mengamalkan dasar hipokrit apabila tetap mahukan pulangan positif daripada kedua-dua Beijing dan Washington, dengan mendekatkan diri dengan Beijing tetapi mengharapkan jaminan keselamatan Washington.

ASEAN tidak memiliki desakan konteks sejarah seperti Eropah, yang pernah melalui keperitan peperangan dan penderitaan sehingga mampu bergabung menubuhkan institusi dan tadbir urus lebih kukuh bagi mencegah konflik masa depan.

Selagi ASEAN bergantung pada sokongan luar dalam bidang ketenteraan, ekonomi dan pasaran, konsep berkecuali tidak akan memberikan pulangan yang diinginkan.

Perubahan Dinamika Kuasa

ASEAN keberatan mengambil pendirian tegas terhadap Beijing kerana bimbang kesan ekonomi dan tindakan balas yang akan menjejaskan ahli-ahlinya. Namun, berdasarkan corak dan jangkaan ekonomi masa depan, China tidak lagi mampu menjadi “syurga” ekonomi ASEAN kerana kemerosotan ekonominya sendiri; cengkaman ekonomi Beijing tidak lagi menjadi faktor muktamad untuk ASEAN terus takut “menyinggung” China demi melindungi kepentingan dan kelangsungan ekonomi.

Potensi ekonomi China tidak akan terjamin dari segi kelestarian tawaran pasaran dan teknologi, disebabkan kemelut ekonomi dalamannya sendiri, dan kuasa Washington dilihat akan kekal lestari, di mana Washington kekal meraih pulangan net power advantage terhadap Beijing.

Beijing yang kini berada dalam peak power capacity, akan lebih tertekan untuk meraih objektifnya di Taiwan dan untuk menghalang kuasa Washington sekarang yang masih dalam fasa pemulihan, sebelum Washington mendapat status kuasa dominan dan jurang kuasa yang paling tinggi selepas hujung dekad ini.

Asean perlu pantas bertindak

Maka, risiko untuk Beijing bertindak dahulu pada dekad ini adalah tinggi, dan risiko konflik kekal tinggi. Maka, ASEAN perlu pantas bertindak untuk mendapatkan jaminan keselamatan baharu dengan kuasa selain sistem alternatif, dan hanya Washington mempunyai julat dan sokongan kuasa itu sekarang.

Menjelang 2050, daripada tiga kuasa—Beijing, Washington dan ASEAN—hanya Washington akan muncul sebagai pemenang jelas dengan kapasiti demografi lebih muda bagi tenaga kerja, inovasi, ketenteraan, dan mengekalkan dominasi teknologi serta keunggulan saiz ekonomi.

China akan menjadi ageing nation sebelum kaya dari segi ekonomi, manakala potensi demografi dan kuasa beli gabungan ASEAN akan mendatar pada 2050.
Sebagai entiti ekonomi kolektif, ASEAN tidak menunjukkan tawaran atau asas ekonomi kukuh, bahkan menjelang 2050.

Purata pendapatan per kapita di ASEAN sekitar AS$5,300 dengan KDNK gabungan kira-kira AS$4 trilion—jauh di belakang China dan AS, dan hampir menyamai jumlah import tahunan AS sahaja.

Dari sudut demografi, meskipun memiliki populasi sekitar 650 juta, tenaga kerja masa depan dan golongan muda ASEAN juga akan perlahan seiring proses penuaan rantau ini.

Middle income trap

Rantau ini masih terperangkap dalam “middle-income trap”, dan perpecahan dalaman—ekonomi, politik, geografi—terus memaksanya bergantung kepada sumber luar untuk pelaburan, teknologi dan keperluan keselamatan.

Begitu juga China—dengan kadar simpanan tinggi, kebergantungan berterusan pada eksport dan permintaan domestik yang rendah—baik Beijing mahupun ASEAN akan bergantung pada AS sebagai kuasa ekonomi utama untuk dua hingga tiga dekad akan datang.

BRICS, “Global South” atau alternatif lain tidak akan menandingi saiz, inovasi dan capaian ekonomi AS serta seni bina kewangannya.

Walaupun ASEAN meningkatkan usaha “friendshoring” untuk menarik sokongan BRICS, GCC dan Global South lain,tanpa kekuatan dan kemampuan pertahanan kendiri, ASEAN tetap bergantung di bawah payung keselamatan AS.
Realiti geografi—China sebagai jiran terkuat ASEAN—menjadi faktor paling mendesak yang memaksa ASEAN mengekalkan model berkecuali.
Model usang ini tidak lagi berkesan; tatkala China kini terperangkap dalam “perangkap masa” ke atas perbandingan kuasanya, ASEAN makin terdedah kepada konflik.

Ancaman Konflik Baharu Tuntut Perubahan Dasar

Sekalipun berpegang pada sifat berkecuali, ASEAN tetap akan terseret dalam konflik baharu, dan akan menjadi sasaran mudah kesan konflik akan datang termasuk potensi konflik di Taiwan. Malah, negara anggota secara individu berpotensi melangkaui ASEAN demi kelangsungan sendiri, di mana mereka sedar ASEAN tidak menyediakan “payung keselamatan” ketika itu.

Pentadbiran Trump melihat tiadanya tarikan atau jaminan pulangan dari ASEAN dari segi pulangan ekonomi mahupun sebagai sumber sokongan China containment disebabkan polisi ASEAN ini, dan dengan struktur ekonomi ASEAN secara purata yang masih kekal sebagai entiti middle income economy yang banyak bersandarkan kepada pasaran eksport dan dengan purata KDNK per kapita hanya dalam lingkungan USD5500, ini tidak memberikan tarikan atau keyakinan kepada Trump untuk terus memperkasa power presence Washington atau sumber aliran jaminan ketenteraan dan keselamatan Washington dan juga pelaburan dan suntikan ekonomi dengan tiadanya tindak balas atau keikhlasan yang ditunjukkan oleh rantau ini dalam menyokong perubahan yang cuba dilakukan Trump.

Ini akan mengundang risiko penurunan fokus dan keinginan Washington untuk menjamin kelestarian ekonomi dan keselamatan rantau ini sekiranya ASEAN terus bertegas dengan percaturan strategic hedging dan dengan polisinya yang dilihat lemah dan lebih memihak kepada China dari segi perlindungan dan tindak balas tariff dan juga sandaran teknologi dan kewangan dan sistem pelaburan terhadap Beijing.

Penurunan kadar fokus dan kuasa Washington di rantau ini akan mengundang pengaruh dan cengkaman kuasa ketenteraan dan ekonomi yang lebih mendalam oleh Beijing, dan ini akan menjadikan kepentingan dan hak negara anggota ASEAN lebih terancam dan terdedah.

ASEAN perlu percaturan baharu

Pendekatan lama ASEAN tidak lagi relevan, dan persaingan dan bentuk kuasa baharu akan menuntut percaturan baharu yang mementingkan kepentingan untuk mendapatkan jaminan keselamatan dan cegah rintang berkesan untuk menghindari konflik.

Pendekatan sempit yang digunakan sekarang adalah berkisarkan kepada sandaran diplomasi, dialog dan penggunaan mekanisme seperti TAC untuk mencegah konflik, dan juga sandaran kepada goodwill restraint by Beijing, tapi kesemua ini jelas gagal untuk mencapai sasarannya.

Konflik dan risiko masih tinggi, dan aktiviti yang melanggar norma dan undang-undang antarabangsa di Laut China Selatan masih menjadi ancaman besar kepada rantau.

Sememangnya, Deklarasi KL perlu lebih berani untuk bebas daripada norma dan pendekatan konvensional, dan terus mengorak langkah untuk mencorak masa depan dan jaminan baharu ASEAN dengan tidak lagi berpaksikan kepada model centrality and neutrality of ASEAN, dan bertindak untuk mendapatkan jaminan keselamatan ekonomi dan ketenteraan baharu yang boleh menjamin masa depan rantau ini.

Pilihan sepenuhnya di tangan ASEAN—membentuk norma dan polisi baharu untuk tidak lagi bergantung kepada pendekatan lama, atau terheret ke dalam kancah risiko konflik baharu yang akan mengancam kelangsungan rantau.

-- BERNAMA

Collins Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)