Oleh Hasri Harun
Di tengah-tengah kepelbagaian budaya, agama dan sistem politik di Asia Tenggara, Malaysia muncul sebagai sebuah negara majoriti Muslim yang berjaya mengekalkan keseimbangan antara nilai keislaman, kemodenan, dan masyarakat majmuk.
Dalam kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia menonjol sebagai model negara Islam moderat yang stabil, terbuka dan berdaya saing.
Pendekatan Malaysia yang bersifat sederhana (wasatiyyah), toleran, dan progresif dalam menguruskan agama dan pembangunan menjadikan ianya contoh teladan kepada negara-negara serantau yang lain yang berdepan pelbagai cabaran dalam konteks keagamaan dan perpaduan sosial.
ASEAN merupakan gabungan negara yang majoritinya bukan beragama Islam. Negara-negara seperti Thailand, Myanmar, Vietnam, Laos, dan Kemboja didominasi oleh agama Buddha; manakala Filipina pula bermajoriti Kristian.
Hanya tiga negara anggota ASEAN mempunyai jumlah populasi Muslim yang besar, iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei. Di antara tiga negara ini, Malaysia menampilkan model Islam yang sederhana dalam pentadbiran, sistem undang-undang, pendidikan, dan hubungan antara kaum dan agama.
Oleh sebab itu kelebihan Malaysia dalam konteks ASEAN ialah keupayaannya mengurus masyarakat berbilang kaum dan agama tanpa konflik besar yang bersifat keagamaan.
Islam sebagai agama Persekutuan tidak menjadikan Malaysia menekan penganut agama lain. Sebaliknya, prinsip keharmonian dan hak asasi diamalkan dalam kerangka Perlembagaan dan dasar negara.
Pertemuan pemimpin-pemimpin negara Asean ini haruslah dilihat sebagai proses yang harus diambil iktibar bagaimana hubungan kepelbagaian tidak menjadi penghalang kepada kemajuan negara.
Walaupun isu yang dibincangkan banyak berkisar ekonomi dan perdagangan, namun isu sosial dan agama tidak boleh dikesampingkan kerana ianya boleh menjejaskan ekonomi negara jika masyarakatnya hidup dalam ketakutan.
Pendekatan Wasatiyyah Serantau
Malaysia memperkenalkan gagasan Wasatiyyah sebagai kerangka pembangunan dan dasar kerajaan. Konsep ini diperkenalkan oleh kepimpinan negara dan dilaksanakan bagi mengangkat nilai kesederhanaan yang penting dalam memacu kemajuan negara.
Prinsip-prinsip kesederhanaan, keadilan, keseimbangan, toleransi dan musyawarah menjadi tunjang kepada pendekatan ini.
Dalam kalangan negara ASEAN, pendekatan ini memberi inspirasi kepada negara lain, termasuk Indonesia, yang turut menggalakkan fahaman Islam yang sederhana (Islam Nusantara).
Berbanding negara yang menghadapi ancaman ekstremisme agama seperti Selatan Filipina atau konflik antara etnik dan agama seperti di Myanmar, Malaysia memperlihatkan kestabilan sosial yang lebih utuh.
Keutuhan negara tidak semata bergantung kepada pelaburan dan ekonomi yang hebat tetapi bagaimana pemimpin negara-negara ASEAN memahami keperluan hidup dalam kepelbagaian serta saling hormat menghormati.
Ini yang diajar oleh Islam sebagai agama yang universal dan damai. Isu-isu sosial dan kemasyarakatan juga penting dijadikan perbincangan dalam Persidangan Asean yang sedang hangat di KLCC hari ini bagi membentuk negara-negara Rantau Asean ini semakin aman dan jauh daripada keganasan.
Apalah maknanya negara maju dan hebat namun rakyatnya ditindas dan dimanipulasi semata-mata kepentingan peribadi.
Institusi Islam yang Tersusun
Salah satu aspek penting yang menjadikan Malaysia sebagai model adalah kewujudan institusi Islam yang mantap dan berfungsi secara sistematik.
Mahkamah Syariah, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan institusi pendidikan Islam seperti sekolah tahfiz, universiti Islam dan pondok moden berkembang dalam kerangka undang-undang dan pentadbiran negara.
Perkembangan sistem kewangan Islam di Malaysia pula menjadi contoh kepada negara ASEAN lain.
Malaysia kini merupakan hab kewangan Islam global, dengan sektor seperti perbankan, takaful, sukuk dan pelaburan syariah berkembang pesat.
Negara-negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura turut merujuk kepada pengalaman Malaysia dalam membangunkan sistem kewangan Islam yang progresif dan diyakini pelabur.
Islam dalam Masyarakat Majmuk
Malaysia berjaya membuktikan bahawa Islam boleh diamalkan secara inklusif dalam masyarakat majmuk.
Dalam kalangan negara ASEAN yang pelbagai, Malaysia mengamalkan dasar yang tidak meminggirkan kaum atau agama lain.
Perayaan-perayaan pelbagai agama diraikan bersama, dan budaya saling hormat-menghormati menjadi tunjang perpaduan. Kebebasan untuk menganut dan mengamalkan agama dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.
Dalam masa yang sama, Islam sebagai agama Persekutuan diberi kedudukan istimewa, tanpa menafikan hak kaum dan agama lain. Pendekatan seimbang inilah yang menjadikan Malaysia unik berbanding negara lain di rantau ini.
Malaysia memainkan peranan aktif dalam menyuarakan pendekatan Islam sederhana di peringkat serantau dan antarabangsa.
Sebagai anggota ASEAN, Malaysia sering menekankan pentingnya toleransi beragama, dialog antara agama, dan penolakan terhadap ekstremisme.
Malaysia juga terlibat dalam menyuarakan isu-isu umat Islam serantau seperti Rohingya di Myanmar, umat Islam Selatan Thailand, dan isu minoriti Islam di Kemboja.
Namun pendekatan Malaysia bersifat diplomatik dan damai, selaras dengan dasar luar negara yang menekankan
Model Malaysia
Walaupun Malaysia diiktiraf sebagai model negara Islam moderat dalam ASEAN, ia tidak terlepas daripada cabaran dalaman dan luaran.
Ancaman ekstremisme agama, penyebaran ideologi radikal melalui media sosial, serta salah faham terhadap konsep syariah boleh menggugat imej Islam sederhana yang dibawa.
Tambahan pula, politik identiti dan sentimen perkauman boleh menjadi duri dalam daging yang menjejaskan usaha memperkukuh model kesederhanaan ini.
Oleh itu, pendidikan, pencerahan masyarakat, pengukuhan institusi Islam dan peranan media yang bertanggungjawab amat penting dalam mempertahankan imej Islam moderat Malaysia.
Kesimpulannya, Malaysia telah membuktikan bahawa Islam boleh diamalkan dalam bentuk yang sederhana, inklusif dan progresif, tanpa menjejaskan pembangunan negara dan keharmonian masyarakat.
Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia menonjol sebagai contoh negara Islam moderat yang mampu menjadi model rujukan.
Kejayaan ini bukan hanya hasil dasar kerajaan, tetapi juga komitmen rakyat dalam mempertahankan nilai-nilai Islam yang sejati. Justeru, adalah penting untuk semua pihak terus memperkukuh peranan Malaysia sebagai duta Islam sederhana di rantau Asia Tenggara dan dunia Islam keseluruhannya.
--BERNAMA
Hasri Harun ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Pendidikan Dan Sains Sosial, Universiti Selangor.