TINTA MINDA

MALAYSIA MADANI DI PERSADA ASEAN

28/05/2025 04:32 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
YB Senator Dr Zulkifli Hasan

11 Oktober 2024, Malaysia secara rasminya menerima tugas selaku Pengerusi ASEAN sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN di Vientiane, Laos.

Berbanding sebelum ini, kepengerusian ASEAN di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini berlangsung serentak dengan realiti baharu menimpa dunia global antaranya ialah cabaran isu tarif yang dimulakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap banyak negara dunia.

Negara-negara ASEAN juga terkesan dan kini dilihat tersepit di celah-celah persaingan kuasa-kuasa besar yang menuntut kebijaksanaan, hikmah dan pengalaman.

Namun, tidak keterlaluan untuk dikatakan, isu tarif ini hanya sebahagian kecil daripada ketidaktentuan yang akan melatari landskap politik, ekonomi dan sosial di peringkat global pada tahun-tahun yang akan datang.

Malaysia perlu bijaksana menerajui dan memacu ASEAN mendepani cabaran dan realiti yang semakin rumit dan komples.

Dengan latar inilah, dijangka kira-kira ribuan manusia terdiri daripada delegasi, perwakilan, peserta, urus setia dan petugas akan berkumpul di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan menyaksikan kehadiran ketua-ketua negara termasuk dari negara Teluk dan China.

Tema ASEAN 2025 mengangkat nilai "Keterangkuman dan Kemampanan" sebagai asas penyatuan untuk pembabitan serantau serta global, selain mencerminkan komitmen kolektif rantau ini untuk membentuk masa depan yang berdaya tahan dan saksama.

Timbul persoalan, adakah Malaysia Madani mampu menerajui ASEAN dengan jayanya mendepani pelbagai cabaran dan ketidaktentuan?

Saya berpandangan dengan penuh keyakinan bahawa Malaysia mampu memacu ASEAN dengan lebih dinamik dan progresif.

Artikel ini cuba mengupas dan meneroka peranan dan peluang Malaysia serta potensi secara ringkas sebagai pengerusi ASEAN sesi kali ini khususnya berkenaan dengan hal ehwal agama seperti sektor halal, kewangan Islam, pengurusan haji, wakaf dan zakat, pentadbiran agama Islam dan pendidikan Islam.

Kelebihan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

Kejayaan awal kepengerusian ASEAN Malaysia dapat disaksikan dengan penyertaan negara yang lebih menyeluruh.

Sidang Kemuncak ASEAN kali ini berjaya menghimpunkan pemimpin ASEAN bersama GCC dan China dalam satu platform. Ini menunjukkan kepimpinan dan pengiktirafan kepada Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

Dengan populasi lebih dari 650 juta orang, ASEAN mencakupi hampir seluruh Asia Tenggara dengan mengandungi pelbagai kaum, etnik, bahasa, agama dan budaya.

Penyertaan GCC dan China menambahkan lagi betapa strategiknya Sidang Kemuncak ASEAN kali ini.

Dengan bilangan penduduk China seramai 1.411 bilion dan 57.6 juta di rantau GCC menjadikan pertemuan pimpinan utama negara-negara dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China lebih signifikan dan penting.

Kelebihan sumber tenaga dan kewangan oleh negara GCC serta kekuatan kuasa beli, teknologi dan saiz pasaran negara China, sidang kemuncak ASEAN kali ini pasti menawarkan sesuatu yang signifikan dan membuka peluang yang besar kepada Malaysia dan negara-negara lain.

ASEAN merupakan antara rantau paling aman di dunia walaupun penduduknya berbilang budaya dan agama.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menggesa negara Islam mengambil inspirasi model kerjasama ASEAN yang berjaya memperkukuhkan hubungan antara negara jiran termasuk dari aspek ekonomi, keselamatan, pendidikan dan lain-lain.

Semasa menyampaikan ucaptama pada Sesi Plenari Forum Ekonomi Antarabangsa XVI “Russia-Islamic World: Kazan Forum 2025” Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut mengenai keperluan negara Islam dan jiran serantau bekerjasama melangkaui sekadar kenyataan dasar.

Malaysia dan Pembangunan Islam Global

Malaysia setakat ini menjadi peneraju dalam kalangan negara Islam dan dunia dalam banyak perkara.

Ini dibuktikan menerusi kecemerlangan Malaysia dalam pelbagai bidang berkaitan pembangunan Islam.

Menurut Global Islamic Economy Indicator yang mengukur prestasi sesebuah negara dari sudut kewangan Islam, industri makanan dan farmaseutikal halal dan pelancongan mesra-Muslim, Malaysia berada di kedudukan pertama lebih dari 10 tahun berturut-turut, mengatasi negara-negara Islam lain.

Selain itu, industri halal Malaysia Malaysia, menyaksikan sijil halal yang dikeluarkan oleh JAKIM diiktiraf oleh 88 badan pensijilan di seluruh dunia dari 49 buah negara, termasuk negara-negara utama seperti China, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Brazil dan Korea Selatan.

Tabung Haji pula, sebagai antara institusi Islam kebanggaan kita, telah menerima Anugerah Labbaittom dari Kerajaan Arab Saudi bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan haji, buat tahun ketiga berturut-turut.

Begitu juga dengan pentadbiran Kehakiman Syarie, pendidikan Islam, pengurusan hal ehwal agama, pentadbiran keluarga, wakaf, zakat dan masjid di Malaysia yang sentiasa dijadikan panduan dan rujukan oleh badan-badan Islam di serata dunia.

Senarai kejayaan Malaysia ini memposisikan negara kita selaku negara contoh di peringkat global.

Malaysia, sebuah negara yang relatifnya bersaiz kecil dari sudut keluasan tanah, populasi dan kek ekonomi, kini menduduki tangga ke-36 dalam ranking kuasa lunak global yang dikeluarkan oleh Global Soft Power Indeks.

Suara Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa dan kelantangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersuara dalam isu Palestin di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menjadi tumpuan dan perhatian dunia.

Peluang Kerjasama

Dari sudut kerjasama berkaitan hal ehwal agama, beberapa negara ASEAN sudah mempunyai hubungan yang sangat baik menerusi MABIM atau Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama terdiri daripada Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

MABIM yang ditubuhkan pada 1989 merupakan suatu bentuk kesepakatan serantau yang bergerak bagi menjaga maslahat umat Islam tanpa mencampuri urusan dalaman dan politik negara-negara anggota.

Malaysia boleh menerajui kesepakatan ini dengan persetujuan anggota MABIM bagi memperluaskannya dengan penyertaan negara-negara ASEAN lain.

Kerjasama ini boleh mempergiatkan lagi usaha-usaha pembangunan dan kemanusiaan serta mewujudkan kedamaian dan keharmonian.

Malaysia mampu menerajui kerjasama lebih erat dan strategik antara negara ASEAN, GCC dan China dalam sektor halal, kewangan Islam, wakaf, zakat, haji, pendidikan Islam termasuk sistem pengurusan dan pentadbiran hal ehwal agama sama ada dalam konteks negara majoriti Muslim atau minoriti Muslim.

Selain kerjasama di peringkat kerajaan, hubungan antara rakyat dengan rakyat juga mesti dipererat, melibatkan sinergi sektor korporat dan industri, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) yang mampu memainkan peranan besar dalam bidang ekonomi, dakwah, pendidikan, pertukaran budaya dan bantuan kebajikan.

Dalam sektor kewangan Islam, sudah wujud kerjasama antara ulama ASEAN menerusi Muzakarah Cendiakawan Syariah Nusantara yang kini sudah masuk siri ke-19.

NGO-NGO dan pertubuhan Islam utama di peringkat ASEAN seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Muhammadiyah, Nahdhatul Ulama, Young Muslim Association of Thailand (YMAT) dan sebagainya boleh meneroka ruang kerjasama yang lebih rapat.

Inisiatif PKPIM dan International Islamic Federation of Student Organisation (IFFSO) menganjurkan ASEAN Youth Gathering misalnya adalah antara contoh usaha yang boleh diperkasa dan diteruskan.

Salah satu ruang besar untuk diteroka ialah dalam bidang keilmuan dan pertukaran budaya yang kini sebenarnya mula mendapat tempat dan menjadi perhatian ramai.

Sebagai contoh, inisiatif Majlis Sama’ Hadith yang mendapat dokongan erat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan jumlah penuntut ilmu mencecah ribuan daripada pelbagai negara ASEAN.

Begitu juga Festival Turath Islami Selangor telah menarik kunjungan peserta dari segenap pelosok nusantara yang berkampung berhari-hari mengutip mutiara hikmah daripada ulama tersohor.

Fiqh al-Taayush ASEAN

Apabila ASEAN ditubuhkan pada 1967, ramai yang sangsi bahawa ia akan berjaya dan kekal.

Kishore Mahbubani, penulis buku The ASEAN Miracle mencatatkan bahawa pada awal penubuhannya, mesyuarat melibatkan para delegasi ASEAN diwarnai dengan ketidakpercayaan, ketegangan dan prasangka buruk antara satu sama lain.

Setelah menjengah usia 6 abad, ASEAN kini menjadi rantau contoh kepada seluruh dunia dalam pengurusan konflik dan hubungan antara negara, hingga dijuluki sebagai keajaiban geopolitik.

Resepi kejayaan ini disumbang oleh budaya diplomasi, pendekatan berasaskan kata sepakat, kerjasama serantau dan matlamat sepunya.

Selain itu, satu lagi kelebihan yang dimiliki ASEAN ialah sifatnya yang jamak budaya dan agama.

Tatkala yang lain melihat kemajmukan sebagai ancaman, ASEAN menilai kerencaman sebagai satu kelebihan.

Kerencaman dan kemajmukan ini telah menarik ratusan juta pelancong dari segenap pelosok dunia, menikmati kepelbagaian budaya, makanan, bahasa dan tradisi yang tidak mungkin dinikmati di mana-mana rantau lain.

Namun, satu fakta yang tidak boleh dilupakan, Islam merupakan agama yang paling meluas diamalkan di rantau ini, dengan kira-kira 242 juta penganut (sekitar 42% daripada jumlah keseluruhan populasi ASEAN dan 25% daripada populasi Muslim di seluruh dunia), yang disumbang oleh negara-negara majoriti Muslim Indonesia, Malaysia dan Brunei, serta populasi minoriti Muslim yang signifikan di Selatan Thai, Singapura dan Kepulauan Mindanao.

Di sinilah peluang untuk kita membina sebuah tamadun dan peradaban yang bertunjangkan Islam yang mengajar erti kesederhanaan (wasatiyyah), yang mengangkat nilai kemajuan tanpa meninggalkan tradisi, menerima teknologi tanpa mengesampingkan kemanusiaan, mencari kesatuan tanpa menidakkan kepelbagaian.

Tatkala kita sering bernostalgia dengan kehebatan tamadun Islam lampau di Andalusia yang menghasilkan La Convivencia, mengapa tidak ASEAN di bawah teraju Malaysia, berusaha mengecap kemakmuran bersama dengan menghasilkan model kesepakatan serantau menerusi kerangka Al-Taayush atau kewujudan bersama dalam budaya damai.

Kepimpinan Malaysia

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China membuktikan dan dalam masa yang sama benar-benar menguji kemampuan dan kepimpinan Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

Ia juga sebenarnya membuka peluang yang sangat luas untuk meneroka ruang kerjasama dalam pelbagai aspek secara lebih menyeluruh dan strategik.

Dengan penyertaan negara GCC dan China dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini, sudah tentu menawarkan potensi yang sangat besar dalam pelbagai sektor dan bidang terutama dalam sektor halal, kewangan Islam, wakaf, zakat, haji dan lain-lain.

Saya yakin, dengan penuh keazaman dan tekad, Malaysia Madani mampu memacu negara kita dan ASEAN ke tahap yang lebih tinggi dan gemilang mewujudkan rantau yang aman dan damai mengiktiraf al-Taayush kepelbagaian dalam keharmonian.

Malaysia Madani terus mendunia.

--BERNAMA

Senator Dr Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)