TINTA MINDA

LITERASI KEWANGAN KUNCI KESTABILAN EKONOMI KAKITANGAN AWAM

30/04/2025 10:28 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Lutfan Jaes

Peringatan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar agar kakitangan awam menjalani hidup dan berbelanja mengikut kemampuan wajar diambil perhatian serius.

Kebimbangan beliau yang disuarakan pada Program Rahmah Ramadan MADANI di Pekan Pahang 10 Mac 2025 lalu jangan dipandang ringan.

Sikap ambil mudah sesetengah kakitangan awam yang merasakan adanya keterjaminan ekonomi dalam kehidupan mereka, bagaikan telah ‘menjerat diri sendiri.’ Fenomena ‘Ilusi Wang’ jelas mempengaruhi sebilangan kakitangan awam tidak kira status dan kedudukan.

Mereka cenderung menilai pendapatan berdasarkan nilai nominal (jumlah wang yang diterima) tanpa mengambil kira kesan inflasi terhadap kuasa beli.

Beberapa perubahan negatif terhadap sistem nilai dalam masyarakat dilihat memainkan peranan.

Budaya Materialistik

Dalam budaya materialistik, seseorang cenderung menilai kebahagiaan diri sendiri dan orang lain berdasarkan pemilikan barangan seperti kereta mewah, rumah besar, pakaian berjenama atau gaya hidup eksklusif.

Dalam hal ini terdapat - kakitangan awam tidak kira gred dan peringkat berlumba-lumba dalam persaingan status sosial.

Senario ini menjejaskan kestabilan kewangan peribadi yang akhirnya membawa kepada tekanan kerja serta menghakis etika profesionalisme dalam perkhidmatan awam.

Beberapa laporan akhbar sebelum ini menyenaraikan i) pengurusan kewangan lemah, ii) beban hutang bertindih, iii) menceburi pelaburan berisiko tinggi dan iv) tekanan tinggi ekonomi makro sebagai punca utama ketidakstabilan ekonomi dan kebankrapan dalam kalangan kakitangan awam.

Malah Laporan Jabatan Insolvensi menunjukkan bahawa kes kebankrapan dalam kalangan kakitangan awam meningkat daripada 10 peratus pada 2021 kepada hampir 15 peratus pada 2024.

Pertama - pengurusan kewangan peribadi yang lemah adalah ‘duri dalam daging’ kepada semua permasalahan ini.

Ia merujuk kepada ketidakcekapan dalam menguruskan pendapatan, perbelanjaan dan simpanan yang membawa kepada masalah kewangan.

Ia bertitik tolak dari literasi kewangan yang rendah dalam kalangan kakitangan awam khususnya malah seluruh rakyat Malaysia amnya.

Ini kerana sistem pendidikan negara sejak dari sekolah rendah, menengah hinggalah ke institusi pengajian tinggi tidak pernah menekankan akan hal pendidikan kewangan peribadi.

Kependidikan lebih menjurus kepada kefahaman aras tinggi pasaran ekonomi dalam konteks pengurusan negara.

Dalam kata lain penyelesaian masalah mikro (individu, isi rumah dan firma) dan makro (dasar kerajaan, inflasi, kadar faedah, keseimbangan) ekonomi tidak memberi manfaat secara langsung kepada pengetahuan serta amalan kewangan peribadi.

Tiada literasi dalam menyediakan bajet bulanan, mengawal perbelanjaan, mengelakkan hutang tidak perlu serta meningkatkan ilmu kewangan bagi menjamin masa depan yang stabil.

Akhirnya kehidupan ‘Biar papa asal bergaya’ mendominasi gaya hidup dengan pelbagai alasan dan justifikasi yang cuba di benarkan oleh persekitaran. Istilah “Ukur baju di badan sendiri” telah hilang dari nilai dan akal budi masyarakat.

Dalam hal ini teguran KSN “tengok orang di bawah, jangan tengok orang di atas” amat wajar.

Tidak ada maknanya pelarasan gaji kakitangan awam yang meliputi kenaikan 8 peratus pada Disember 2024 dan 7 peratus lagi pada Januari 2026 sekiranya ia tidak di usahakan bersama disiplin pengurusan kewangan.

Kedua - beban hutang yang bertindih-tindih pasti wujud bagi menampung gaya hidup ‘Besar pasak daripada tiang.’ Pelbagai komitmen hutang dilakukan secara serentak.

Dalam konteks kakitangan awam, fenomena ini sering berlaku apabila mereka mengambil lebih daripada satu bentuk pinjaman seperti pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi dan pembiayaan kad kredit.

Dalam hal ini semacam satu trend yang mana institusi kewangan meluluskan pinjaman tanpa penilaian ketat. Ini kerana ada tanggapan yang kakitangan awam merupakan golongan pekerja dari sektor pekerjaan paling selamat.

Lebih menarik lagi pinjaman dan pembiayaan semula ditawarkan oleh koperasi atau institusi tempat kakitangan awam bekerja.

Pinjaman boleh dilakukan atas kapasiti membiayai peranti elektronik seperti telefon pintar, tablet, komputer riba, kamera digital dan jam tangan pintar.

Alasannya gajet ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti kerja dan kehidupan. Sudahnya golongan ini terperangkap dalam pusingan hutang berpanjangan.

Dalam hal ini sememangnya Ketua Jabatan diminta memantau pemotongan gaji pegawai masing-masing agar pendapatan bersih tidak kurang daripada 40%.

Malah tindakan tatatertib boleh dikenakan ke atas pegawai awam yang melakukan penipuan seperti memalsukan penyata gaji untuk mendapatkan pinjaman.

Namun usaha ini dilihat belum mencukupi dan masih tertakluk kepada ruang lingkup slip gaji yang diterima semata-mata.

Kad kredit merupakan ‘jerangkap samar’ bagi kakitangan awam yang kurang disiplin dalam mengurus wangnya.

Kadar faedah tinggi yang dikenakan jika tidak melunaskan bayaran kad sepenuhnya setiap bulan menyebabkan jumlah hutang bertambah.

Selain daripada itu ia hanya menggalakkan tabiat pembaziran dengan berbelanja melebihi kemampuan sebenar.

Sebagai langkah drastik - mungkin sudah tiba masanya penggunaan kad kredit dilarang sama sekali kepada kakitangan awam muda. Langkah keras ini difikirkan wajar kerana organisasi awam masih mempunyai banyak cara bagi membantu kakitangannya yang benar-benar memerlukan wang.

Kesinambungan daripada itu, budaya ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) juga makin berleluasa. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dalam Dewan Negara bahawa jumlah transaksi skim pengguna BNPL telah meningkat pada separuh penggal kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion pada separuh penggal pertama.

Majoriti yang terlibat adalah mereka yang berusia 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang RM5000 sebulan.

Ketiga – menceburi pelaburan berisiko tinggi seperti saham spekulatif, Penny Stocks, Kripto, NFT, Skim Cepat Kaya serta Ponzi dan Forex Trading bagaikan telah menjadi hobi ramai. Pelaburan berisiko ini bagaikan ‘di mana ada gula, di situ ada semut - di mana ada untung, di situ ada orang.’

Jika kakitangan awam terlibat dalam pelaburan jenis ini tanpa perancangan kewangan yang baik, ia boleh menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Begitu ramai kakitangan awam mahupun swasta yang telah kehilangan simpanan KWSP dan wang pencen ‘Golden Handshake’ akibat terlibat dengan skim yang tidak sah atau terlalu berisiko hingga memberi tekanan kewangan dan mental.

Dalam hal ini kakitangan awam perlu berhati-hati dalam memilih pelaburan dan mengutamakan kestabilan kewangan jangka panjang. Pelaburan selamat seperti ASB, Tabung Haji dan unit amanah patuh syariah adalah pilihan lebih baik.

Akhir sekali – tekanan tinggi ekonomi makro tidak dapat dinafikan sebagai salah satu punca ketidakstabilan ekonomi dan kebankrapan.

Faktor ekonomi berskala besar seperti inflasi, kadar faedah, pengangguran dan ketidaktentuan pasaran kewangan turut memberi kesan negatif secara tidak langsung kepada kuasa beli kakitangan awam. Apabila tekanan ini meningkat, boleh menyebabkan peningkatan kadar kebankrapan, kemelesetan ekonomi dan ketidaktentuan sosial.

Namun segala-galanya mampu di ubah dengan perubahan sikap, sistem nilai, budaya dan literasi kewangan yang betul dan tepat.

--BERNAMA

Dr. Lutfan Jaes ialah Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)