Buli dalam kalangan pelajar merupakan masalah yang serius yang tidak boleh diambil mudah. Salah laku buli harus dibendung pada peringkat awal.
Pada 28 Februari 2025, enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman itu dan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lepas.
Panel tiga hakim memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan kesemua lelaki itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan.
Setiap keputusan mahkamah perlu dihormati oleh semua pihak. Sudah pasti segala keputusan yang telah diputuskan adalah bersandarkan lunas undang – undang negara.
Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM itu kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.
Adalah diharapkan sebarang keputusan yang diputuskan tidak menjejaskan usaha kita membenteras kejadian buli yang berlaku dalam kalangan pelajar di institusi pendidikan negara.
Usaha membenteras isu buli harus diteruskan. Isu buli ini perlu diatasi dengan segera sebelum ia menjadi lebih serius hingga boleh melibatkan kecederaan parah atau kehilangan nyawa ramai pihak.
Persoalan harus dilontarkan, kenapa kejadian buli ini dilihat masih berlaku di dalam institusi pendidikan negara sama ada diperingkat sekolah ataupun diperingkat universiti?
Keadaan ini menyebabkan seluruh anggota masyarakat semakin gusar terutamanya golongan ibu bapa dan penjaga.
Apa Itu Buli
Penting untuk kita ketahui definisi buli itu dulu. Apakah itu buli?
Buli membawa maksud kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh pelaku atau pembuli terhadap pemangsanya.
Buli boleh dilakukan sekali atau banyak kali terhadap diri mangsa. Pelbagai faktor boleh diambil kira mempengaruhi seorang pelajar untuk terlibat di dalam gejala buli ini.
Antara yang utama ialah latar belakang keluarga pembuli terbabit yang bermasalah, pengaruh negatif dari rakan sebaya, kurangnya aspek pendidikan moral dan agama, pembuli hadapi masalah mental atau emosi yang tidak stabil, persekitaran ataupun suasana di sekolah atau universiti yang tidak kondusif serta pengaruh buruk yang datang dari internet.
Dalam mengatasi masalah buli di semua sektor pendidikan dalam negara kita, pihak pengurusan sekolah dan universiti perlu mainkan peranan yang penting bagi membendungnya.
Ini adalah kerana kejadian terbabit berlaku di dalam kawasan dan di dalam waktu pengawasan mereka. Oleh yang demikian, pihak pengurusan sekolah dan universiti lebih ketahui masalah yang buli berlaku berbanding dengan orang lain.
Tangungjawab Sekolah dan IPT
Bagi mengatasi masalah buli ini, pihak pengurusan sekolah dan universiti perlu tampil berani terlebih dulu mengakui bahawa masalah buli ini memang wujud dan ia sudah mula menyebabkan kerisauan dalam kalangan para pelajar, ibu bapa serta penjaga.
Seseorang pelajar yang menjadi mangsa buli atau saksi kepada kegiatan tersebut tidak akan tampil membuat aduan kepada pihak pengurusan sekiranya mereka merasakan cerita mereka tidak akan dipercayai.
Tambahan pula, mereka mungkin berasa takut untuk berkongsi maklumat jika tiada jaminan perlindungan atau penyelesaian diberikan sekiranya mereka berani tampil ke hadapan.
Oleh itu, pihak pengurusan sekolah dan universiti perlu mengambil pelbagai initiatif bagi mendapatkan maklumat mengenai segala kegiatan buli yang berlaku di kawasan masing – masing, sama ada kegiatan buli yang berlaku dalam bentuk psikologi mahunpun fizikal.
Semua sekolah dan universiti di dalam negara ini perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan isu buli ini.
Segala peraturan yang berkaitan hendaklah diuar-uarkan dengan jelas dan berterusan kepada semua pihak yang terlibat, bukan sekadar disampaikan pada permulaan tahun sewaktu pembukaan sesi persekolahan atau semasa majlis suai kenal di institusi pengajian tinggi.
Pihak pengurusan sekolah dan universiti juga digalakkan menampal poster anti buli di dalam sekolah dan kampus universiti masing – masing serta mengedarkan risalah anti buli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan pihak ibu bapa atau penjaga.
Setiap maklumat yang terkandung dalam poster dan risalah yang diedarkan hendaklah merangkumi definisi serta kategori buli, panduan mudah untuk menangani insiden buli, dan yang paling penting, talian kecemasan yang boleh dihubungi oleh pelajar yang berdepan dengan masalah buli.
Undang-undang Baharu Tangani Kes Buli
Pihak kerajaan juga perlu memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah kerangka undang-undang baharu khusus bagi atasi masalah buli di negara ini.
Sebarang usaha yang diambil tanpa disokong oleh peruntukan undang-undang yang berkesan tidak akan membawa kesan yang positif.
Bagi membendung kegiatan buli daripada terus berlaku, khususnya di sektor pendidikan seperti sekolah dan universiti, pihak kerajaan boleh meminda peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Pendidikan 1996 [Akta 550], atau menggubal satu undang-undang baharu yang khusus, seperti Akta Anti-Buli.
Kerajaan juga boleh merujuk kepada peruntukan undang-undang berkaitan buli yang diguna pakai di negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat sebagai rujukan.
Dengan adanya peruntukan undang-undang yang khusus, semua pihak dalam negara akan lebih serius menangani isu buli dan akan lebih berhati-hati agar tidak terjebak dalam sebarang bentuk kegiatan buli.
Undang-undang ini juga dapat memastikan setiap institusi memiliki polisi anti-buli yang jelas, seragam dan bersesuaian dengan konteks tempatan.
Tambahan pula, hukuman yang setimpal dapat dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan buli atau gagal mengambil langkah sewajarnya untuk membendungnya.
Isu buli tidak boleh dipandang sebelah mata atau hanya diberi perhatian apabila berlakunya insiden yang mendapat liputan meluas.
Ia memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak termasuk pensyarah, guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri untuk memastikan institusi pendidikan di negara ini kekal sebagai gedung ilmu, bukan tempat melahirkan generasi yang agresif atau berperangai samseng.
Perbuatan membuli, sama ada atas alasan untuk berseronok mahupun kerana perasaan benci, tidak sepatutnya menjadi amalan biasa atau budaya yang meracuni institusi pendidikan negara.
-- BERNAMA
Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).