TINTA MINDA

SINERGI ANTARA INDUSTRI DAN UNIVERSITI MAMPU MELONJAKKAN PENGKOMERSIALAN PENYELIDIKAN PENSYARAH

28/02/2024 10:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Mohd Sufri Mastuli

Patah sayap, bertongkat paruh – peribahasa melayu yang sangat sesuai mengambarkan situasi pensyarah sama ada di universiti awam atau universiti swasta. Mereka terus berusaha mengerjakan sesuatu dengan sehabis-habis usaha dan tiada putus harap. Antara tugas utama pensyarah adalah pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penerbitan dan perundingan termasuklah sanjungan dan kepimpinan akademik serta khidmat kepada universiti dan masyarakat.

Walaubagaimanapun, langit tidak selalu cerah. Keilmuan dan kesarjanaan para pensyarah kerap dipandang enteng. Sebagai contoh, lambakan penerbitan hasil penyelidikan universiti sering dikritik keras, kononnya satu pembaziran dan tiada impak signifikan kepada masyarakat mahupun negara. Warga di luar sana harus cakna penyelidikan boleh dibahagi kepada dua iaitu penyelidikan asas (fundamental research) dan penyelidikan gunaan (applied research). Kedua-dua jenis penyelidikan ini saling mendokong antara satu sama lain dalam usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan universiti tempatan. Namun begitu, bukan semua hasil penyelidikan mudah untuk dikomersialkan. Tiada pengkomersialan tidak bermakna dapatan penyelidikan para pensyarah tiada nilainya. Malahan, makalah yang diterbitkan oleh mereka akan dibaca dan dirujuk oleh penyelidik-penyelidik tempatan dan antarabangsa. Ini dibuktikan dengan peningkatan jumlah petikan sitasi dan H-indeks sesuatu penerbitan.

Apakah Itu Pengkomersialan?

Umumnya, pengkomersialan adalah merujuk kepada tindakan menjadikan sesuatu seperti produk, teknologi atau perkhidmatan boleh dijual atau didagangkan dan seterusnya dapat menghasilkan keuntungan yang lumayan. Universiti adalah dilihat sebagai enjin inovasi, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat melalui penciptaan dan penyebaran ilmu. Pensyarah-pensyarah di universiti awam mahupun swasta yang telah menerima dana penyelidikan kerajaan haruslah bersama-sama meningkatkan nilai pengkomersialan negara.

Berdasarkan portal rasmi "Malaysia Commercialisation Year" (https://mcyportal.mosti.gov.my), nilai semasa pengkomersialan negara adalah melebihi RM540 juta bagi 474 produk/teknologi/perkhidmatan yang mana 50 daripadanya telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Untuk makluman, Program Pengkomersialan R&D Negara atau lebih dikenali sebagai Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY2016) merupakan platform untuk membantu penyelidik, inovator dan usahawan mempercepatkan proses pengkomersialan dan memasarkan produk/teknologi/perkhidmatan mereka yang dibiayai oleh kerajaan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Program MCY2016 adalah dipantau oleh Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI). Ianya adalah hasrat kerajaan agar pengkomersialan dapat menjadi pemangkin supaya Malaysia dapat mencapai status negara maju lebih cepat. Ini kerana negara maju seperti Korea Selatan mempunyai perancangan strategik, halatuju dan polisi ekonomi berteraskan inovasi mampan, berpendapatan tinggi dan menggunakan teknologi terkini bagi menjamin pembangunan dan kemajuan negara yang berterusan.

Cabaran-Cabaran Pengkomersialan

Walaubagaimanapun, cabaran utama yang dihadapi oleh para penyelidik di universiti adalah kesukaran untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka. Cabaran ini didorong oleh kualiti inovasi yang rendah dan tidak relevan dengan permintaan pasaran daripada pihak industri. Warga penyelidik perlu memahami dan mempraktikkan konsep "Quadruple Helix" iaitu kolaborasi jitu antara akademia, industri kerajaan dan masyarakat setempat dalam melestarikan aktiviti inovasi dan pengkomersialan.

Adalah diakui universiti dan industri beroperasi dalam persekitaran dan budaya kerja yang berbeza, masing-masing mempunyai matlamat, kekangan dan insentif tersendiri. Sebagai contoh, universiti lebih mementingkan penciptaan dan penyebaran pengetahuan, manakala industri didorong oleh penjanaan keuntungan dan kekal berdaya saing.

Disamping itu, isu yang berkaitan dengan harta intelek serta kebimbangan mengenai kebebasan akademik dan integriti juga merupakan cabaran dalam pengkomersialan. Perbezaan ini boleh mewujudkan jurang antara penyelidikan yang dijalankan di universiti dan aplikasi praktikal penyelidikan tersebut dalam industri. Oleh itu, sinergi antara kedua-duanya boleh membantu merapatkan jurang ini, membolehkan terjemahan berkesan penyelidikan akademik ke dalam produk, teknologi atau perkhidmatan yang boleh dikomersialkan.

Saya selaku Ketua Kerjasama Strategik & Projek Khas di BITCOM (Business Innovation & Technology Commercialization Centre), Universiti Teknologi MARA (UiTM) melihat pihak industri memainkan peranan yang sangat penting dalam mendokong pengkomersialan sebagai pemangkin untuk mencapai status negara maju. BITCOM merupakan satu unit di UiTM yang mengawalselia pemindahan teknologi dan pengkomersialan serta perlindungan harta intelek hasil penyelidikan universiti.

Antara peranan penting pihak industri dalam mendokong pengkomersialan universiti:

  1. Membantu penyelidik memastikan inovasi yang diusahakan mempunyai nilai komersial yang tinggi.
  2. Membantu penyelidik mengenal pasti kebolehpasaran produk/teknologi/perkhidmatan yang dihasilkan.
  3. Membantu penyelidik melakukan pengkomersialan diperingkat tempatan atau antarabangsa.
  4. Membimbing penyelidik mengenai strategik berkesan mengenai penjenamaan, pemasaran dan penjualan.
  5. Memberikan penyelidik suntikan dana tambahan dalam memperkembangkan hasil inovasi di universiti.

Namun begitu, adakah industri-industri di luar sana memahami selok-belok dan prosedur pengkomersialan hasil penyelidikan di universiti? Adakah mereka menyedari walaupun produk/teknologi/perkhidmatan yang harta inteleknya dimiliki oleh universiti masih boleh dipindahkan hak pemilikan kepada pihak industri untuk tujuan pengkomersialan? Justeru itu, semua pejabat pemindahan teknologi di universiti awam dan swasta, contohnya BITCOM di UiTM, haruslah proaktif dalam menyebarluas ilmu pengetahuan yang berkaitan serta peluang pengkomersialan bersama industri. Sinergi antara universiti dan industri adalah nadi utama menjamin kejayaan pengkomersialan negara.

Program Micro Industry Hub – Industrial Research Laboratory

Oleh yang demikian, UiTM melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) telah mengambil langkah yang proaktif dalam usaha pengkomersialan di universiti dengan mengwujudkan Program MIH-IRL (Micro Industry Hub – Industrial Research Laboratory) yang diselia sepenuhnya oleh BITCOM UiTM. Melalui program ini, usahasama antara universiti dan industri dapat dieratkan bukan sahaja dari segi penyelidikan dan pembangunan produk/teknologi/perkhidmatan, malahan yang lebih utama adalah pengkomersialan dan pemasaran. Ianya juga menggalakkan industri menubuhkan IRL di UiTM bagi merangsang aktiviti berkaitan pemindahan teknologi dan pengkomersialan produk bersama penyelidik universiti. Untuk info dan keterangan lebih lanjut, pihak industri boleh email saya di mohdsufri@uitm.edu.my berkaitan Progam MIH-IRL di UiTM.

-- BERNAMA

Dr Mohd Sufri Mastuli adalah Ketua Kerjasama Strategik & Projek Khas, BITCOM UiTM dan juga merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)