PENA WANITA

Sains Di Sebalik Emosi Pelajar

30/10/2025 11:54 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Raja Mayang Delima Mohd Beta, Prof Madya CHM Dr Nur Nadia Dzulkifli

Isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar kini menjadi perhatian serius apabila statistik menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.

Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS, 2023) mendapati hampir satu daripada empat pelajar sekolah menengah di Malaysia menunjukkan simptom kemurungan, manakala satu daripada lima mengalami kebimbangan serius.

Data ini mencerminkan realiti yang tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan langsung terhadap prestasi akademik, disiplin serta kesejahteraan sosial pelajar secara keseluruhan.

Lebih membimbangkan, sejak kebelakangan ini masyarakat digemparkan dengan beberapa insiden tragik yang berpunca daripada tekanan emosi dalam kalangan remaja.

Kes buli siber, penderaan rakan sebaya, penganiayaan seksual dan kecenderungan bunuh diri semakin kerap dilaporkan di media tempatan.

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 600 kes cubaan bunuh diri direkodkan dalam kalangan remaja antara tahun 2022 hingga 2024, manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mengesahkan peningkatan kes buli fizikal dan mental di sekolah, yang sebahagiannya berpunca daripada tekanan emosi yang tidak ditangani secara berkesan.

Dalam konteks ini, sekolah perlu memainkan peranan yang lebih luas dan bersepadu. Ia tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pusat pembelajaran akademik, tetapi perlu berfungsi sebagai ruang terapi dan sokongan emosi kepada pelajar.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, 2022) menegaskan bahawa intervensi awal di sekolah mampu menurunkan risiko gangguan mental jangka panjang dalam kalangan remaja.

Apabila suasana sekolah dibina berasaskan kesejahteraan psikologi, pelajar berupaya belajar dengan lebih fokus, menyesuaikan diri dengan tekanan, dan membina daya tahan emosi yang kukuh.

Pendekatan Saintifik dalam Sokongan Emosi

Antara pendekatan saintifik yang semakin mendapat perhatian ialah terapi berasaskan deria, melibatkan penggunaan teknik getaran lembut, warna, bunyi, dan aroma untuk membantu pelajar menstabilkan emosi.

Dalam bidang neurosains, getaran lembut dikenali sebagai rangsangan mekanosensori yang menghantar isyarat ke otak, seterusnya mengalihkan fokus daripada keresahan kepada sensasi fizikal yang menenangkan.

Kaedah ini menjadi asas kepada teknik “grounding”, iaitu pendekatan yang terbukti membantu individu mengawal diri ketika berdepan tekanan emosi akut (Harvard Medical School, 2021).

Selain itu, faktor visual dan auditori turut memainkan peranan penting. Kajian yang diterbitkan dalam Frontiers in Psychology (2020) mendapati bahawa warna lembut seperti biru muda dan hijau pastel mampu mengurangkan aktiviti amygdala, bahagian otak yang mengawal tekanan dan ketakutan.

Persekitaran bilik darjah yang menggunakan pencahayaan semula jadi dan warna menenangkan terbukti membantu meningkatkan keupayaan tumpuan pelajar serta mengurangkan keresahan.

Bunyi semula jadi seperti deruan air, kicauan burung atau muzik instrumental lembut juga membantu merangsang pengeluaran hormon serotonin dan dopamin yang mengawal emosi gembira serta kestabilan mood.

Dalam konteks deria bau, kajian National Institutes of Health (NIH, 2022) menunjukkan bahawa aroma semula jadi seperti lavender, chamomile dan citrus berupaya menurunkan tahap kortisol, iaitu hormon yang dikaitkan dengan tekanan.

Penggunaan essential oil diffuser di bilik kaunseling atau ruang rehat sekolah mampu membantu pelajar yang mengalami kebimbangan, trauma atau kesedihan agar lebih tenang ketika berinteraksi.

Peranan Guru dan Kaunselor sebagai Agen Empati

Peranan guru dan kaunselor kini lebih penting daripada sekadar mendidik. Kajian oleh American Psychological Association (APA, 2022) mendapati bahawa hubungan emosi positif antara guru dan pelajar mampu menurunkan paras tekanan hormon kortisol serta meningkatkan keupayaan tumpuan dan keyakinan diri.

Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi juga menjadi cerminan kestabilan emosi kepada pelajar.

Kaunselor pula boleh menggabungkan pendekatan terapi deria dalam sesi kaunseling. Penggunaan objek seperti stress ball, weighted cushion atau latihan pernafasan membantu pelajar melepaskan tekanan secara fizikal dan menenangkan sistem saraf.

Pendekatan ini mudah diaplikasikan tanpa memerlukan kos yang tinggi, namun memberi kesan yang signifikan kepada kesejahteraan psikologi pelajar.

Kementerian Pendidikan Malaysia juga boleh mempertimbangkan pengintegrasian modul kesedaran deria dan literasi emosi dalam kurikulum Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJPK).

Pendidikan yang menyentuh aspek psikologi tubuh dan emosi secara saintifik mampu membina generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga matang dalam mengurus tekanan dan empati sosial.

Menghadapi Realiti Sosial dan Emosi Zaman Ini

Dalam era digital, tekanan pelajar bukan lagi sekadar berpunca daripada akademik. Gangguan siber, perbandingan sosial di media, dan tekanan kecantikan atau gaya hidup telah mencetuskan fenomena kemurungan dan kecelaruan identity dalam kalangan remaja.

Apabila sokongan emosi tidak mencukupi, pelajar mudah terjebak dalam kitaran negatif seperti buli, keganasan seksual, penyalahgunaan dadah dan tingkah laku ekstrem.

Menurut laporan UNICEF (2023), lebih 40 peratus remaja di Asia Tenggara mengaku pernah berasa “tidak bernilai” atau “terlalu penat untuk hidup” akibat tekanan sosial dan akademik.

Realiti ini menunjukkan keperluan mendesak untuk mewujudkan sistem sekolah yang bukan hanya mendidik akal, tetapi juga memulihkan jiwa.

Inovasi Saintifik: NeoMind dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan

Menariknya, di Malaysia sendiri, pendekatan saintifik seperti ini telah diterjemahkan melalui inovasi tempatan yang dinamakan “NeoMind”, hasil ciptaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UiTM Cawangan Negeri Sembilan.

NeoMind dibangunkan sebagai intervensi awal kesejahteraan mental yang menggabungkan elemen terapi getaran lembut, visualisasi warna, dan bunyi menenangkan berdasarkan prinsip neurosains moden.

Produk ini direka untuk membantu individu khususnya pelajar menenangkan diri dengan memberi tumpuan kepada deria tubuh melalui rangsangan getaran terarah.

Menurut pasukan penyelidik NeoMind, konsep ini berfungsi untuk mengaktifkan reseptor mekanosensori pada kulit dan otot, lalu menghantar isyarat ke otak bagi menstabilkan tindak balas emosi.

Kajian dalaman awal yang dijalankan oleh kumpulan KIK ‘The Mind Wizard 2025’ tersebut menunjukkan bahawa penggunaan NeoMind selama lima hingga sepuluh minit dapat mengurangkan kadar degupan jantung dan menurunkan tahap kebimbangan ringan secara signifikan.

Pendekatan ini bukan sahaja berasaskan sains, tetapi juga praktikal serta selamat untuk digunakan di sekolah.

NeoMind telah mula diperkenalkan dalam beberapa program kesejahteraan pelajar UiTM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang baru sahaja memeterai Perjanjian MOU dengan UiTM pada Oktober 2025 ini dan berpotensi diperluaskan ke institusi pendidikan lain sebagai salah satu bentuk “intervensi mikro” dalam pengurusan tekanan.

Kesimpulan

Kesihatan mental pelajar adalah asas kepada kesejahteraan sosial dan kemakmuran negara. Dalam mendepani cabaran pendidikan abad ke-21, keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kestabilan emosi perlu diberi keutamaan yang sama.

Pendekatan saintifik seperti terapi getaran lembut, pengurusan deria dan reka bentuk persekitaran yang tenang membuktikan bahawa penyembuhan emosi boleh dicapai melalui rangsangan tubuh yang semula jadi serta mudah dilaksanakan.

Apabila sekolah menjadi ruang terapi, guru bertindak sebagai agen empati, dan pelajar diajar memahami tubuh serta emosi mereka secara saintifik, maka pendidikan akan mencapai matlamat tertingginya membentuk insan yang seimbang dari segi intelek, emosi dan spiritual.

Akhirnya, pendidikan bukan sekadar mencerdaskan minda, tetapi juga menenangkan jiwa dan menyelamatkan nyawa.

-- BERNAMA

Dr Raja Mayang Delima Mohd Beta ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan

Prof Madya CHM Dr Nur Nadia Dzulkifli ialah Pensyarah Kanan, Pusat Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)