PENA WANITA

AI Dan Pesakit Digital: Teknologi Yang Menyantuni, Bukan Menggantikan

07/11/2025 12:15 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Noratikah Nordin

Bayangkan kita terjaga dari tidur pada tengah malam dengan demam panas dan persoalan, “Adakah ini sekadar demam biasa, atau tanda awal sesuatu yang lebih serius?”

Dahulu, jawapan hanya boleh diperoleh selepas memandu ke klinik kecemasan. Kini, ia mungkin hadir dalam beberapa saat, melalui skrin telefon yang dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI), seolah-olah kita sedang berbual dengan doktor sebenar.

Fenomena ini melahirkan kelompok baharu yang digelar pesakit digital, individu yang aktif memantau kesihatan diri menggunakan teknologi.

AI bukan lagi sekadar alat analisis data perubatan, tetapi telah berevolusi menjadi penyantun pintar yang membantu manusia memahami keadaan kesihatan, memantau gaya hidup, dan mengurus rawatan harian dengan lebih mudah, pantas, dan mesra pengguna.

Revolusi Komunikasi Kesihatan Digital

Dalam dunia serba digital, AI bukan lagi sekadar istilah futuristik, tetapi realiti yang mengubah cara manusia berinteraksi dengan sistem kesihatan.

Bidang perubatan merupakan antara sektor paling banyak menerima kesan daripada perkembangan teknologi ini, bukan sahaja dari segi rawatan, tetapi juga dalam cara manusia berkomunikasi mengenai kesihatan mereka.

Kemunculan aplikasi mudah alih, portal perubatan, dan platform telekesihatan menjadikan komunikasi kesihatan lebih mudah diakses oleh masyarakat.

Platform seperti DoctorOnCall dan BookDoc membolehkan pengguna berinteraksi dengan doktor secara maya serta membuat temu janji tanpa perlu ke hospital. Sementara itu, media sosial dan laman kesihatan dalam talian pula menjadi sumber maklumat awam yang popular walaupun pengguna perlu lebih berhati-hati terhadap ketepatan maklumat yang dikongsi.

Kini, AI menjadi pemangkin utama dalam revolusi komunikasi kesihatan digital. Melalui chatbot pintar dan aplikasi interaktif, maklumat kesihatan dapat disampaikan dengan cepat, tepat, dan bersifat peribadi.

Chatbot misalnya mampu menjawab pertanyaan tentang simptom ringan, manakala aplikasi pintar pula membolehkan pemantauan tekanan darah, kadar gula dalam darah, dan corak tidur secara berterusan.

AI Sebagai Penyantun, Bukan Pengganti

Peranan AI dalam dunia kesihatan semakin meluas, namun penting untuk difahami bahawa teknologi ini bukan pengganti kepada tenaga profesional perubatan seperti doktor atau jururawat.

Sebaliknya, ia berfungsi sebagai penyantun pintar yang membantu memudahkan komunikasi, mempercepatkan diagnosis awal, dan menambah baik pengurusan rawatan.

Di Malaysia, beberapa inisiatif membuktikan keberkesanan penggunaan AI dalam menyantuni pesakit. Contohnya, “Cik Era Chatbot” yang diperkenalkan oleh

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui portal JomQuit bukan sekadar menjawab pertanyaan, tetapi juga memberikan motivasi berterusan kepada individu yang ingin berhenti merokok.

Aplikasi Agata pula menggunakan teknologi AI pelbagai bahasa untuk memberi panduan kesihatan harian dan membolehkan pemantauan keadaan pengguna secara berterusan.

Sementara itu, di peringkat antarabangsa, sistem Kesihatan Awam United Kingdom (NHS) telah menggunakan AI bagi menilai imej kulit untuk pengesanan awal kanser.

Walaupun teknologi membantu mempercepatkan analisis, keputusan akhir tetap berada di tangan doktor. Inilah bukti bahawa AI berperanan sebagai penyantun teknologi, bukan pengganti sentuhan manusia dalam penjagaan kesihatan.

Menjadi Pengguna Pintar Kesihatan Digital

Revolusi kesihatan digital membawa peluang besar kepada masyarakat, namun ia juga menuntut tanggungjawab etika dan kesedaran tinggi.

Keselamatan dan privasi data peribadi perlu dijaga dengan serius. Setiap individu bertanggungjawab melindungi maklumat kesihatan mereka daripada disalahgunakan, misalnya dengan tidak memuat naik imej atau laporan perubatan tanpa kawalan.

Selain itu, masyarakat perlu lebih kritikal dalam menilai maklumat kesihatan dalam talian. Tidak semua maklumat yang dikongsi di media sosial adalah sahih. Pengguna perlu memastikan setiap sumber dirujuk daripada pihak berautoriti seperti KKM,

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau pakar perubatan bertauliah sebelum membuat keputusan rawatan.

Dalam hal ini, golongan muda yang celik teknologi boleh memainkan peranan penting sebagai duta literasi digital kesihatan. Mereka boleh membantu warga emas atau masyarakat luar bandar memahami penggunaan aplikasi kesihatan dengan betul.

Tindakan kecil seperti mengajar cara menggunakan aplikasi temu janji maya atau memeriksa keputusan ujian dalam talian boleh memberi impak besar terhadap kesejahteraan keluarga.

Masa Depan Komunikasi Kesihatan Pintar

Melihat potensi besar AI, Kementerian Kesihatan Malaysia kini giat memperkukuh infrastruktur digital melalui Pelan Strategik Pendigitalan KKM 2021–2025 yang menekankan kepentingan teknologi dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan komunikasi dengan rakyat.

Langkah ini bukan sekadar transformasi teknikal, tetapi perubahan paradigma dalam cara manusia memahami dan mengurus kesihatan.

Namun begitu, kemajuan teknologi perlu berjalan seiring dengan nilai kemanusiaan.

Komunikasi kesihatan bukan hanya tentang menyampaikan maklumat, tetapi juga tentang memahami emosi, ketakutan, dan harapan pesakit. AI mampu membantu memahami corak kesihatan, tetapi hanya manusia yang mampu memahami derita dan empati di sebalik data.

Menyantuni pesakit digital bermakna menggunakan teknologi dengan tanggungjawab dan kasih sayang. Kecerdasan Buatan boleh memproses berjuta data dalam sesaat, tetapi kecerdasan emosi manusia tetap menjadi nadi utama dalam memastikan rawatan yang beretika dan berperikemanusiaan.

Seimbang Antara Data dan Jiwa

Masa depan kesihatan digital bukan hanya tentang mencipta algoritma yang lebih pintar, tetapi membina hubungan yang lebih manusiawi antara teknologi dan pesakit.

Kecerdasan Buatan yang benar-benar menyantuni ialah yang membantu manusia membuat keputusan lebih baik, bukan menggantikannya.

Apabila teknologi dan empati berganding tangan, sistem kesihatan kita bukan sahaja akan menjadi lebih efisien, tetapi juga lebih berjiwa.

-- BERNAMA

Dr Noratikah Nordin ialah Pensyarah Komunikasi Digital Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)