PENA WANITA

PENCEMARAN UDARA ANCAM KESIHATAN

23/10/2023 10:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Dunia berdepan dengan pencemaran udara dan masalah ini lebih kritikal di negara miskin. Umumnya, hampir keseluruhan penduduk global atau 99 peratus menghirup udara kotor yang melebihi had kualiti udara ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). WHO turut menegaskan bahawa pencemaran udara tetap kekal sebagai masalah yang terus meruncing.

Kemerosotan kualiti udara

Natijahnya, pencemaran dan kemerosotan kualiti udara mempunyai kesan yang besar terhadap kehidupan manusia. Pencemaran udara ialah satu keadaan yang mana terdapat perubahan kandungan bahan kimia, jirim zarahan atau wujudnya bahan pencemar di dalam udara atau atmosfera yang berbahaya kepada kehidupan merangkumi manusia, haiwan dan tumbuhan. Pencemaran udara diakibatkan oleh pelbagai aktiviti manusia yang gagal mempraktikkan kelestarian dan telah dibuktikan mempunyai kesan yang serius terhadap kesihatan individu dan masyarakat manusia. Antara penyebab pencemaran udara ini adalah pembakaran terbuka, bilangan kenderaan bermotor yang bertambah dan loji perindustrian yang tidak terkawal. Di Malaysia, pada tahun 2022, sejumlah 3,565.1 tan metrik bahan pencemar dibebaskan ke udara. Bahan pencemar tersebut merangkumi 2,454.4 tan metrik pelepasan daripada kenderaan bermotor, 855.5 tan metrik daripada stesen janakuasa, 119.5 tan metrik daripada industri dan 135.8 tan metrik dari lain-lain punca. Pencemaran udara menyebabkan kesan kesihatan melalui penyedutan, atau penyerapan langsung bahan pencemar melalui kulit atau pencemaran daripada makanan dan air.

Di seluruh dunia, pencemaran udara termasuk jerebu dikaitkan dengan kematian pramatang, jangkitan dan pelbagai penyakit dengan penyakit pernafasan kronik menduduki tempat ketiga sebagai penyebab kematian. Umumnya, serangan jantung, penyakit pernafasan, dan kanser paru-paru mempunyai risiko yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat yang menghirup udara kotor berbanding dengan kumpulan yang sepadan dalam persekitaran yang lebih bersih. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, lebih 99 peratus masyarakat menghirup udara tidak selamat yang menjadi penyebab kepada angin ahmar, penyakit jantung, paru-paru, kanser dan lain-lain lagi. Secara global, udara tercemar membunuh 6.7 juta individu setiap tahun manakala 2.4 bilion orang terdedah kepada paras berbahaya pencemaran udara isi rumah.

WHO menganggarkan bahawa 2 juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun mati setiap tahun akibat daripada penyakit pernafasan akut yang disebabkan oleh pencemaran udara. Manakala kajian yang diterbitkan dalam Jurnal British Journal of Psychiatry mendapati bahawa, pencemaran udara boleh menyebabkan masalah mental yang kronik. Kajian tersebut yang menganalisis data dalam kalangan lebih 13,000 individu mendapati, mereka yang menghidap masalah psikotik dan ketidakstabilan emosi seperti skizofrenia dan kemurungan adalah lebih kerap menggunakan perkhidmatan kesihatan mental sekiranya lebih terdedah dengan masalah pencemaran udara melibatkan kesesakan trafik.

Di Malaysia pula, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa penyakit berkaitan sistem pernafasan adalah antara sebab utama kemasukan ke hospital dan salah satu punca utama kematian di hospital KKM. Hakikatnya, pendedahan berterusan terhadap udara tercemar seperti jerebu boleh membawa kepada penyakit pernafasan seperti asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), radang paru-paru dan kanser paru-paru. Keadaan ini menjadi antara faktor penyumbang yang menyebabkan kemasukan ke hospital serta membawa kematian dan ia merangkumi hampir 20 peratus daripada hospital awam serta lebih 12 peratus daripada hospital swasta pada 2020. Golongan rentan seperti kanak-kanak, warga tua dan mereka yang mempunyai penyakit seperti asma dan kardiovascular berdepan risiko yang lebih tinggi.

Jerebu

Jerebu juga tidak asing di negara ini. Jerebu rentas sempadan boleh berlaku jika terdapat kebakaran hutan yang banyak dan meluas serta arah tiupan angin dari kawasan kebakaran tersebut, apatah lagi dengan adanya El Nino yang dijangka berterusan hingga awal tahun depan dengan kebarangkalian melebihi 95 peratus. Pencemaran jerebu yang kembali melanda Malaysia menjadi punca kebimbangan terhadap kesihatan awam. Sekiranya terdedah kepada jerebu secara berterusan selama beberapa tahun, ia boleh memburukkan lagi keadaan kronik paru-paru yang sedia ada, meningkatkan risiko kanser paru-paru dan membawa kepada serangan bronkitis dengan kerap. Individu yang tidak mempunyai masalah kesihatan juga mungkin mengalami simpton saluran pernafasan atas dan berisiko mendapat jangkitan virus. Hakikatnya jerebu adalah isu yang berterusan di negara ini, maka adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk memahami bagaimana ia menjejaskan kesihatan pernafasan dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menjaga kesejahteraan mereka.

Cuaca

Selanjutnya, fenomena El Nino telah menyebabkan cuaca lebih panas dan kering, kemarau, kekurangan bekalan air bersih, pendedahan terhadap cuaca panas menjejaskan kesihatan serta berlaku jerebu. Peningkatan suhu mendadak dalam tempoh tidak normal menjejaskan metabolisme organ dalaman sehingga mengakibatkan kegagalan jantung, buah pinggang, paru-paru serta organ utama lain. Malah individu berkenaan boleh mengalami gejala seperti peningkatan suhu tubuh, kadar pernafasan dan denyut nadi, tidak sedar, perubahan tahap mental dan tingkah laku, sakit kepala teruk serta loya dan muntah. Kemarau berpanjangan pula menyebabkan kekurangan bekalan air, meningkatkan risiko pencemaran minuman dan makanan sekali gus meningkatkan potensi keracunan makanan serta penyakit bawaan air seperti kolera, demam kepialu dan keracunan makanan. Situasi lebih panas juga menyebabkan situasi tidak selesa dan mengakibatkan manusia kurang fokus terhadap kerja rutin serta mengakibatkan mudah stres dan sakit kepala. Keadaan ini walaupun dianggap ringan boleh memberi kesan tekanan darah tinggi (hipertensi).

Dapat dirumuskan bahawa, dalam kehidupan seharian, manusia sangat bergantung kepada udara dan amat sukar untuk menyatakan bahawa keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan manusia tidak bergantung sepenuhnya kepada kemampanan alam sekitar. Hal ini kerana alam sekitar yang mampan mampu menawarkan suasana yang menjamin kesejahteraan kesihatan. Namun, kesan negatif akibat daripada proses pembangunan yang semakin pesat telah menyebabkan pencemaran alam sekitar khususnya udara yang mendatangkan kesan negatif yang menggugat kesihatan manusia. Justeru, semua pihak perlu menjalankan obligasi masing-masing dalam memastikan pencemaran udara dibendung dan setiap tindakan kita tidak menyumbang kepada untuk berlakunya pencemaran. Antara lain, setiap dari kita perlu bersikap proaktif dan saling bantu-membantu untuk mengelakkan episod pencemaran udara daripada berulang.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Makmal di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan/ Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)