Udara yang kita hirup di Malaysia semakin tercemar dan malangnya, ini bukan sekadar kiasan. Di sebalik setiap pesakit asma, setiap alat nebulizer di klinik, dan setiap katil hospital yang menempatkan kanak-kanak dengan jangkitan paru-paru, wujud satu jaringan besar kecuaian alam sekitar, kelemahan penguatkuasaan dasar, dan kegagalan sistem untuk melindungi keperluan asas manusia - udara bersih.
Penyakit berkaitan pernafasan semakin meningkat di Malaysia. Jerebu seakan menjadi satu musim yang kita terima dengan pasrah, seolah-olah ia sebahagian daripada kitaran cuaca tahunan. Kita mungkin sudah biasa dengan musim jerebu dan pencemaran udara, ibarat pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk. Ada bahaya yang tetap menanti setiap tahun.
Namun, walaupun berkali-kali kita mengalami kualiti udara yang tidak sihat, kesungguhan politik untuk menyelesaikan punca sebenar khususnya pencemaran merentas sempadan kekal lemah dan mengecewakan.
Masalah ini bukan sesuatu yang baharu. Selama beberapa dekad, model pembangunan ekonomi kita lebih mengutamakan keuntungan jangka pendek berbanding kelestarian alam sekitar. Banyak komuniti tinggal berhampiran kawasan perindustrian atau lebuh raya, menyedut udara yang penuh zarah halus berbahaya. Syarikat bahan api fosil masih mempunyai pengaruh besar terhadap dasar awam. Lebih membimbangkan, kesihatan rakyat terus dikorbankan demi laba ekonomi segelintir pihak.
Isu Rentas Sempadan
Namun, pencemaran udara bukan sekadar isu alam sekitar ia merupakan krisis kesihatan awam. Seperti biasa, golongan berpendapatan rendah paling terkesan. Ada yang terpaksa tinggal berdekatan kilang, lebuh raya atau ladang kelapa sawit kawasan yang sering mencatatkan bacaan kualiti udara rendah. Jika golongan berada mampu membeli penapis udara atau mendapatkan rawatan kesihatan swasta, ramai lagi rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung kesan fizikal, emosi dan kewangan tanpa banyak pilihan.
Di peringkat global, pencemaran udara menelan kos berbilion ringgit setiap tahun akibat rawatan perubatan, kehilangan produktiviti dan kematian pramatang. Malaysia juga tidak terkecuali daripada statistik itu.
Satu aspek penting yang sering kita abaikan adalah peranan lautan dalam kehidupan kita. Lebih separuh oksigen yang kita hirup sebenarnya dihasilkan oleh fitoplankton di laut, bukan semata-mata daripada pokok dan hutan. Malangnya, pemanasan laut, pencemaran dan pembangunan pesisir pantai demi keuntungan telah memusnahkan banyak ekosistem laut yang penting ini. Kita terlalu menumpukan perhatian kepada hutan di daratan hingga terlupa ‘hutan’ di bawah laut yang turut menyumbang kepada oksigen dunia.
Kini, Malaysia berada di persimpangan penting. Tahun ini, kita memegang Kepengerusian ASEAN, satu peluang besar untuk mengetuai suara serantau dalam isu-isu alam sekitar. Sebagai negara maritim dengan beribu kilometer pesisir pantai, kita bukan sekadar pemegang taruh, kita sepatutnya menjadi penjaga utama ekosistem serantau ini.
Minggu lalu, Persidangan Lautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nice, Perancis berakhir dengan seruan tegas oleh Setiausaha Agung PBB António Guterres: “Lautan dunia semakin terancam dan ia adalah tanggungjawab bersama untuk melindunginya.”
Malaysia mesti mengambil peluang ini untuk membuktikan kepimpinan — bukan sekadar dengan penyertaan, tetapi dengan mendesak pelaksanaan dasar yang benar-benar melindungi laut, pesisir, dan udara kita. Kita tidak perlukan lagi ucapan gah tanpa tindakan susulan.
Di peringkat domestik, Malaysia kini sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Udara Bersih Kebangsaan (NCAAP) 2025-2040, sebuah kerangka penting untuk memperbaiki kualiti udara negara. Namun, pelan sebegini tidak boleh kekal sebagai dokumen semata-mata. Ia mesti diterjemahkan kepada tindakan tegas, dengan penguatkuasaan yang telus, hukuman yang setimpal terhadap pelanggar undang-undang, dan yang paling penting — data pencemaran serta impak kesihatan mesti diumumkan secara terbuka kepada orang ramai.
Kita juga perlu lebih tegas dalam pelaksanaan perjanjian serantau seperti Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan. Ia tidak boleh terus menjadi sekadar simbol diplomatik; ia mesti menjadi alat tadbir urus alam sekitar yang berkesan.
Tidak kurang penting, agensi kesihatan, saintis alam sekitar dan perancang bandar perlu bekerjasama lebih erat. Masalah pencemaran udara tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perancangan bandar, dasar perindustrian atau kos penjagaan kesihatan. Semuanya saling berkait, dan penyelesaiannya juga mesti bersifat menyeluruh.
Ini juga adalah isu kanak-kanak. Kualiti udara yang buruk boleh menjejaskan perkembangan paru-paru mereka, meningkatkan risiko asma dan meninggalkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan. Tidak adil jika lokasi tempat tinggal menjadi penentu kepada tahap kesihatan paru-paru anak-anak kita.
Udara bersih adalah hak asasi manusia dan menjaga hak ini adalah tanggungjawab kerajaan kepada rakyatnya. Jika kita terus melengahkan tindakan, kita sebenarnya sedang menggadaikan kesihatan generasi masa depan negara.
-- BERNAMA
Mogesh Sababathy merupakan Aktivis Belia Alam Sekitar Ahli Panel Konsultasi Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Pelajar Ijazah Kedoktoran, Universiti Putra Malaysia (UPM).