Oleh Dr Hijaz Ridzwan
Seperti gelombang yang datang dan pergi, isu vape dalam kalangan remaja kini menjadi fenomena sosial dan kesihatan awam yang semakin membimbangkan.
Jika dahulu perbincangan tertumpu kepada bahaya rokok konvensional, hari ini kita menyaksikan peralihan budaya nikotin kepada penggunaan vape yang dianggap lebih “moden” dan kononnya lebih “selamat.” Namun, realitinya jauh berbeza.
Statistik terkini menunjukkan peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja di Malaysia, malah ia mula menular dalam kalangan pelajar sekolah rendah.
Fenomena ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia berpotensi melahirkan generasi baharu perokok tegar dengan bentuk dan wajah yang berbeza.
Mengapa Vape Menjadi Pilihan Remaja?
Persoalan penting untuk difahami ialah mengapa kanak-kanak dan remaja tertarik kepada vape.
Produk ini begitu mudah didapati, dijual secara terbuka di kedai runcit mahupun dalam talian, tanpa kawalan umur yang ketat.
Harga yang mampu milik menjadikan ia lebih mudah dicapai berbanding rokok tradisional.
Selain itu, media sosial memainkan peranan besar melalui pemasaran terselindung. Iklan jarang muncul dalam bentuk langsung, sebaliknya diselitkan melalui gaya hidup, trend fesyen, atau ulasan santai influencer yang menjadikan vape kelihatan glamor dan diterima sosial.
Rakan sebaya juga menjadi pendorong utama. Sama seperti rokok dahulu, ada remaja yang terdorong untuk mencuba kerana mahu kelihatan “cool” atau sekadar tidak mahu tersisih daripada kumpulan.
Keadaan ini diperkuatkan lagi dengan pelbagai perisa manis seperti buah-buahan atau manisan yang menutup hakikat bahawa vape adalah produk nikotin.
Ramai pula yang menyangka vape lebih selamat kerana dianggap sekadar “air perisa,” tanpa menyedari bahawa nikotin dan bahan kimia lain masih terkandung di dalamnya, dengan kesan ketagihan yang sama atau lebih kuat daripada rokok.
Statistik Terkini: Lonjakan Membimbangkan
Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan penggunaan vape dalam kalangan remaja meningkat mendadak dalam tempoh lima tahun kebelakangan.
Kajian NHMS 2022 mencatatkan bahawa lebih 14.9 peratus remaja lelaki dan 6.2 peratus remaja perempuan mengaku pernah menggunakan vape. Lebih membimbangkan, trend ini mula menurun kepada usia yang lebih muda.
Ada laporan bahawa murid sekolah rendah sudah pun mencuba vape, sesuatu yang jarang berlaku pada era rokok konvensional. Fenomena ini jelas menandakan peralihan norma sosial yang serius.
Risiko Baharu: Laluan Kepada Penyalahgunaan Dadah
Isu vape bukan sekadar tentang nikotin. Ia membuka pintu baharu kepada bentuk penyalahgunaan dadah moden. Reka bentuk pod vape yang fleksibel memudahkan cecair diganti dengan pelbagai formulasi baharu, termasuk dadah sintetik.
Banyak bahan psikoaktif terkini dimasukkan ke dalam cecair vape dan dijual secara terbuka, seperti variasi baharu kanabinoid atau stimulans yang belum lagi dikawal di bawah undang-undang tempatan.
Masalah ini menjadi lebih besar apabila bahan tersebut sukar dikesan melalui ujian air kencing rutin.
Sebahagian besar dadah sintetik generasi baharu direka khas untuk mengelak dikesan oleh kit toksikologi sedia ada.
Apabila vape dianggap normal, ia menurunkan batas psikologi remaja untuk mencuba bahan lain melalui saluran yang sama. Hal ini menjadikan vape bukan sekadar isu ketagihan nikotin, tetapi juga “gateway” kepada krisis dadah generasi baharu.
Penguatkuasaan Sahaja Tidak Mampu Bendung Gelombang
Menutup premis, merampas peranti atau mendenda pengedar hanyalah langkah sementara.
Pasaran vape terlalu lincah dan sentiasa mencari jalan baharu untuk menembusi kawalan, sama ada dengan menukar perisa, label, atau platform jualan.
Malah ada yang dijual secara terbuka di platform e-dagang seperti Shopee menggunakan pautan sementara, menjadikan pemantauan dan penguatkuasaan semakin sukar.
Tanpa strategi pendidikan, pencegahan awal, dan pengawasan kimia yang berterusan, penguatkuasaan sahaja hanya memindahkan masalah dari satu lorong ke lorong lain tanpa menyelesaikan punca sebenar.
Jalan Ke Hadapan: Pendekatan Holistik
Isu ini menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh. Dasar kawalan mesti diperketat dengan penguatkuasaan jualan kepada bawah umur dan pemantauan iklan terselindung di media sosial.
Pendidikan kesihatan pula perlu dimulakan sejak awal, dengan kanak-kanak didedahkan kepada fakta sebenar mengenai risiko vape termasuk kaitannya dengan dadah sintetik.
Guru dan ibu bapa perlu dilatih agar mampu mengesan tanda awal penggunaan vape dan memberikan sokongan emosi yang tepat.
Pada masa yang sama, makmal kesihatan awam harus diperkasa untuk mengesan trend bahan kimia baharu dalam cecair vape supaya undang-undang dapat dikemas kini dengan pantas. Intervensi komuniti juga sangat penting.
Program mentor-mentee, kaunseling sekolah, serta kempen kesedaran melalui saluran media sosial yang sama perlu digerakkan bagi menyaingi naratif glamor yang kini mendominasi.
Kesimpulan
Fenomena vape dalam kalangan remaja Malaysia bukan sekadar trend sementara. Ia menandakan permulaan kepada bentuk baharu ketagihan nikotin dan membuka ruang kepada penyalahgunaan dadah sintetik yang lebih berbaha dan sukar dikawal.
Jika tidak ditangani dengan pantas dan menyeluruh, generasi baharu perokok tegar akan muncul bukan dengan rokok konvensional di tangan, tetapi dengan alat vape yang moden dan seolahnya tidak berbahaya di permukaan.
Masyarakat, pembuat dasar, guru, ibu bapa dan remaja sendiri harus berganding bahu.
Tanpa intervensi kolektif, kita bakal menyaksikan satu lagi krisis kesihatan awam yang jauh lebih rumit daripada rokok dahulu.
-- BERNAMA
Dr Hijaz Ridzwan adalah Pakar Psikiatri dan Pensyarah di Jabatan Psikiatri, Kuliyyah Perubatan UIAM.