TINTA MINDA

MEMUPUK PERPADUAN MELALUI PENDIDIKAN

26/07/2021 08:43 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Badlishah Sham Baharin dan Mohammad Abdul Hamid

Peribahasa popular Afrika ada menyebut “It takes a village to raise a child” yang boleh diterjemahkan sebagai “Ia memerlukan seluruh desa untuk mendidik seorang anak”. Peribahasa ini bermaksud seluruh anggota komuniti bertanggungjawab mendidik kanak-kanak agar membesar dalam keadaan selamat, sihat, harmoni dan aman.

Pendidikan formal

Secara umumnya pendidikan boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama ialah pendidikan formal manakala kategori kedua ialah pendidikan tidak formal. Pendidikan formal berlaku di sekolah dan institusi pendidikan sedangkan pendidikan tidak formal berlaku melalui penglibatan ibu bapa, keluarga dan masyarakat .

Perpaduan negara merupakan satu daripada lima aspirasi sistem pendidikan Malaysia. Aspirasi ini menekankan kepada sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian pengalaman dan nilai kepada kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian.

Dalam usaha memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar, sukatan pelajaran boleh diperkenalkan dengan topik-topik bertemakan perpaduan yang menyentuh berkenaan hubungan etnik dan agama dalam konteks masyarakat majmuk. Ini bertepatan dengan objektif khusus pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang memberi penekanan untuk “mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid”. Topik-topik perpaduan boleh diserapkan dalam mata pelajaran sedia ada, seperti pendidikan moral dan pendidikan Islam.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah), kurikulum Pendidikan Agama Islam bagi murid Islam dan kurikulum Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam akan diperkukuhkan supaya merangkumi tumpuan yang lebih kepada pemahaman tentang nilai-nilai perpaduan dan hubungan baik sesama insan. Topik-topik berkenaan hendaklah dikaitkan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Selain pendekatan dalam bilik darjah, penerapan nilai-nilai perpaduan boleh diperkukuh melalui aktiviti-aktiviti ko-kurikulum yang melibatkan aktiviti persatuan dan pakaian beruniform seperti Pengakap, Pandu Puteri dan lain-lain, bersesuaian dengan Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan. Malahan, pendekatan melalui aktiviti-aktiviti di luar bilik darjah yang berkonsepkan “experiential learning” dan menekankan amali dipercayai lebih berkesan berbanding pembelajaran dalam bilik darjah.

Sehubungan dengan itu, pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan dengan melibatkan pelajar pelbagai kaum dari sekolah yang sama mahupun dari sekolah yang berbeza berdasarkan demografi di sesuatu tempat atau daerah. Dalam hal ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak pengurusan sekolah harus berperanan untuk membolehkan aktiviti sedemikian dijalankan. Pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) juga perlu dilibatkan agar inisiatif yang dilaksanakan adalah bersepadu dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Malahan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh turut bekerjasama berdasarkan sumber, kemahiran dan kemampuan masing-masing. Sebagai contoh, kem muhibbah yang melibatkan aktiviti perkongsian budaya dan interaksi di antara pelajar-pelajar di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil boleh dilaksanakan di peringkat daerah atau pun negeri.

Pendidikan tidak formal

Pendidikan tidak formal pula boleh berperanan memupuk perpaduan nasional melalui interaksi dan aktiviti antara komuniti, pertandingan sukan berbilang kaum dan keterlibatan dalam kerja-kerja sukarela melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO). Penglibatan komuniti juga boleh menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi bersama melalui pendekatan pelbagai kaum melalui dialog dan sesi perbincangan termasuklah dalam isu-isu sensitif yang melibatkan hubungan antara kaum dan agama. Dengan itu, penyelesaian sesuatu permasalahan dapat diselesaikan dengan baik dan dalam suasana yang harmoni.

Kesimpulannya, usaha-usaha untuk memupuk perpaduan nasional dapat dilaksanakan melalui pendidikan formal dan tidak formal. Melalui usaha-usaha mendidik sebegini, semangat kerjasama antara kaum dapat dibina dalam kalangan generasi muda dari awal lagi. Pendedahan awal melalui pendidikan yang bersifat inklusif dan kolaboratif sangat penting untuk membangunkan negara tercinta yang terdiri dari masyarakat majmuk. Seterusnya, usaha-usaha pendidikan akan dapat membina jati diri generasi masa depan yang menghargai kepelbagaian dan dapat menggembleng kepelbagaian tersebut demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

--BERNAMA

Badlishah Sham Baharin merupakan Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Mohammad Abdul Hamid ialah Perunding Polisi Awam

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)