NOTA KAMPUS

MOMENTUM GERAKAN MAHASISWA SEMASA PANDEMIK

21/07/2021 10:25 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Zulkifli Hasan

Sebelum negara ditimpa musibah pandemik COVID-19, kita menyaksikan suara mahasiswa agak terkehadapan. Mahasiswa begitu sensitif dengan isu semasa dan sentiasa menyuarakan pandangan dan membuat pelbagai kenyataan sebagai tindak balas menzahirkan pendirian. Pelbagai pandangan dilontarkan merangkumi aspek politik, ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan kebebasan akademik. Begitu banyak wacana, forum, dialog, bengkel dan seminar melibatkan mahasiswa dianjurkan secara meluas di universiti-universiti dan di serata tanah air. Keadaan ini menjadikan mahasiswa sentiasa menjadi tumpuan media massa dan kerap mendapat liputan utama di akhbar harian dan media arus perdana.

Namun kini, momentum kebangkitan mahasiswa ini seakan sedikit kembali dingin. Kurang kedengaran suara dan pandangan mahasiswa seperti sebelumnya. Wacana-wacana kritis juga tidak serancak dahulu. Beberapa gerakan pelajar yang dahulunya agak keras dan agresif menyuarakan pandangan juga kini memilih pendekatan yang berbeza. Isu-isu seperti rasuah dan salah guna kuasa, kebebasan akademik, transformasi aktivisme mahasiswa, pemerkasaan pembangunan mahasiswa dan lain-lain kurang ditonjolkan dan diwacanakan. Idea kesatuan pelajar dan penambahbaikan kerangka undang-undang ke arah memperkasakan mahasiswa juga tidak lagi menjadi tumpuan

COVID-19 dan keterbatasan

Sesungguhnya kita harus mengakui bahawa pandemik COVID-19 adalah antara faktor yang menyumbang kepada situasi yang berlaku pada mahasiswa waktu ini dan mungkin juga kerana situasi politik semasa. Perintah Kawalan Pergerakan bermula Mac tahun lalu telah menghadkan pergerakan dan kegiatan mahasiswa. Mahasiswa terikat dengan SOP dan garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan institusi. Sememangnya diakui bahawa mahasiswa pada waktu ini melalui cabaran pembelajaran atas talian yang memenatkan malahan mempengaruhi kesihatan mental pelajar itu sendiri. Faktor ini membuatkan aktivisme mahasiswa lebih menumpukan kepada aspek kebajikan seperti keperluan peranti, pelan data, bantuan kewangan dan liputan internet.

Cari ruang, peluang serlah potensi

Walaupun tidak dinafikan bahawa COVID-19 telah mempengaruhi secara signifikan kepada aktivisme gerakan mahasiswa, ia tidak seharusnya dapat membantutkan atau memperlahankan usaha-usaha ke arah pemerkasaan gerakan mahasiswa. Malahan, COVID-19 ini memberi dan membuka peluang untuk membuktikan peranan sebenar dan potensi gerakan mahasiswa dalam masyarakat. Pandemik juga membuka ruang aktivisme yang lebih luas di mana dengan kepesatan dunia komunikasi kesan daripada COVID-19 membolehkan mahasiswa meneroka kerjasama bersama gerakan mahasiswa luar negara. Mahasiswa tempatan dapat bertukar pandangan dan idea dengan gerakan mahasiswa luar negara secara efisyen dengan kos yang sangat minimum.

Mahasiswa bukan sahaja berperanan untuk mendalami ilmu pengetahuan sebagai penuntut ilmu yang serius tetapi mempunyai tanggungjawab lain merangkumi aspek intelektual, sosial, pendidikan dan budaya. Dengan pengetahuan dan semangat yang dimiliki, mahasiswa perlu kehadapan menjuarai dan menerajui isu rakyat dan masyarakat menerusi aktivisme. Mahasiswa boleh melontarkan pandangan dan idea bukan sahaja untuk mencetuskan kesedaran ramai terhadap sesuatu isu malahan memberikan cadangan penyelesaian.

Wacana, dialog, forum, bual bicara dan sebagainya mengenai isu semasa dan masyarakat termasuk hala tuju dan kerangka aktivisme mahasiswa perlu dirancakkan semula merentasi fahaman politik dan latarbelakang. Gerakan mahasiswa perlu mempergiatkan lagi peranan sebagai pihak yang mampu mempengaruhi pembuat dasar dan kerajaan menerusi menerusi laporan-laporan dan kenyataan media secara berterusan.

Kembalikan momentum gerakan mahasiswa

COVID-19 memberikan kesan yang begitu signifikan kepada seluruh rakyat Malaysia dan mengakibatkan ramai terjerumus ke lembah kesusahan. Mahasiswa tidak boleh hanya fokus dan tertumpu kepada aspek intelektual dan selesa dengan zon mereka tersendiri. Gerakan mahasiswa bukan setakat idealisme tetapi pelaksanaan kata-kata. Pandemik ini membuka ruang kepada mahasiswa untuk proaktif malahan berinovasi membantu memberi sumbangan kepada masyarakat. Mahasiswa perlu keluar dan terlibat dengan masyarakat merasai denyut nadi rakyat. Sudah sampai masanya, semangat kesukarelawanan itu diamalkan dan dihayati menerusi pelaksanaan.

Mahasiswa digalakkan berganding bahu dengan badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan badan korporat untuk turun padang membantu menyelesaikan isu-isu masyarakat. Mahasiswa seharusnya mampu menjadi penghubung antara sektor kerajaan, swasta dan masyarakat sivil untuk bergerak dengan lebih efisyen dan berkesan. Bayangkan dengan bilangan lebih kurang 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara, kita sudah pasti akan dapat menyaksikan impak yang begitu besar kepada negara menerusi kesukarelawanan mahasiswa.

Mahasiswa perlu mengembalikan momentum kebangkitan. COVID-19 seharusnya menjadi pemangkin dan pencetus kepada gerakan mahasiswa yang lebih progresif dan dinamik serta mempunyai daya tahan tersendiri menangani krisis. Di kala keadaan negara yang menghadapi ujian menangani pandemik diiringi situasi politik semasa yang tidak menentu, mahasiswa boleh memainkan peranan sewajarnya dan membuktikan kemampuan memberi sumbangan dalam masyarakat.

Sejarah Malaysia pernah menyaksikan bagaimana mahasiswa satu waktu dulu begitu berpengaruh dan menjadi peneraju kepada kebangkitan dan kesedaran rakyat. Gerakan mahasiswa tidak lagi hanya boleh sarat dengan idealisme tetapi idealism itu sendiri perlu diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan. Dalam erti kata lain, sesuatu perlu dilakukan.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Zulkifli Hassan merupakan Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)