TINTA MINDA

CABARAN DAKWAH DALAM PENYIARAN

09/04/2021 09:56 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Mohamad Zarifi Mohamad Daud

Pada 25 Feb lepas, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan RTM menampilkan sembilan panel dan dua moderator membincangkan isu vaksin. Siaran langsung tersebut turut menampilkan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menarik perhatian warga maya khususnya Twitter dan Facebook. Ini antara contoh dakwah melalui penyiaran.

Dalam konteks dakwah semasa, media penyiaran merupakan platform dalam penyampaian mesej dakwah kepada masyarakat. Kandungan dakwah dapat dipersembahkan melalui rancangan-rancangan berbentuk bicarawara, tazkirah, drama, dokumentari, hiburan serta lain-lain format sebagai wahana komunikasi ilmu. Berkembangnya rancangan-rancangan agama di stesen-stesen TV telah membuka laluan gerbang ilmu kepada masyarakat untuk memahami serta menghayati nilai-nilai Islam.

Dakwah Itu Hikmah

Dakwah boleh difahami sebagai mengajak, memanggil, menjemput dan memandu. Secara terperinci, dakwah bermaksud apa juga usaha yang dilakukan dengan pendekatan tertentu untuk mengajak manusia kepada keredhaan Allah. Firman Allah SWT dalam surah Al-Nahl, ayat 125, mafhumnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.

Syed Qutub dalam Tafsir Fi Zilalil Quran telah menghuraikan ayat ini menjadi payung kepada usaha dakwah secara hikmah dan bijaksana mengikut kemampuan sasaran dakwah. Dakwah itu perlulah dilakukan dengan pengajaran yang baik serta meresap ke dalam hati secara halus. Dakwah biarlah ia mendekatkan, bukan menjauhkan manusia. Apatah lagi bersikap kasar dan mengguris perasaan, ia perlu dielakkan.

Dakwah Penyiaran Jakim Merentas Zaman

Peranan JAKIM dalam penyiaran Islam bermula pada 1 Jun 1994. JAKIM telah diberikan amanah oleh kerajaan untuk mengendalikan rancangan agama di saluran RTM. Melalui kerjasama erat pihak RTM selaku penyiar rasmi negara, JAKIM pada peringkat permulaan telah menerbitkan rancangan di saluran TV1 dan TV2. JAKIM juga secara pakej menerbitkan rancangan Islam di semua stesen radio RTM iaitu Radio 1, Radio 3, Radio Ibu Kota termasuk radio-radio negeri.

Dakwah penyiaran JAKIM telah melebar hingga hari ini di saluran TV dan rangkaian radio RTM itu termasuk radio JAKIM Salamfm, Nasional fm, Radio Klasik, Ai fm, Minnal fm dan Asyik fm. Buat masa ini, JAKIM menerbitkan 13 rancangan secara mingguan berbentuk bicarawara, pendidikan, majalah dan dokumentari, berita ehwal Islam serta hiburan Islami di TV RTM. Antara rancangan yang diterbitkan seperti Forum Perdana Ehwal Islam, MyHalal, Fikrah, Anda Musykil, Muqaddam, Tilawah Interaktif, Persada Jurnal, serta lain-lain rancangan. Ini tidak termasuk rancangan khas seperti Sambutan Ma’al Hijrah dan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, Majlis Tilawah dan sebagainya.

Rancangan yang paling mendapat tempat di hati penonton sejak zaman berzaman ialah Forum Perdana Ehwal Islam. Rancangan ini mula bersiaran di RTM pada tahun 1978 dengan nama rancangan “Sinar Islam” dan “Ehwal Islam”, kemudiannya dijenamakan semula dengan nama Forum Perdana Ehwal Islam. Bersempena sambutan ulang tahun Hari RTM ke-75 pada setiap 1 April, seharusnya membakar obor semangat warga Penyiaran JAKIM untuk terus mencari formula inovasi mempertingkatkan kualiti rancangan setahap lagi.

Cabaran Baharu

Para ilmuan dan pihak industri dalam kalangan penerbit dan pasukan produksi perlu duduk semeja berfikir menghasilkan format rancangan yang segar serta mampu menarik minat pelbagai lapisan umur. Suatu masa dahulu, rancangan realiti mendapat tempat dalam kalangan penonton, tetapi hari ini, kita mendapati rancangan berkonsepkan tadabur al-Quran pula mendapat perhatian.

Ini satu perkembangan yang baik dalam membina intelektual masyarakat. Kita wajar meneroka bidang baharu seperti komedi, drama, kartun serta rancangan kanak-kanak yang boleh disuntik elemen dakwah serta adab. Mengambil kira suasana negara masih berdepan pandemik COVID-19, rancangan yang diterbitkan wajar memenuhi keperluan ilmu serta terapi jiwa masyarakat.

Pihak stesen dan produksi juga disaran untuk melantik penasihat agama agar dapat memberikan nasihat kepada kandungan penyiaran. Aspek penelitian serta aplikasi ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis, serta bidang-bidang ilmu Islam adalah aspek terpenting dalam kandungan rancangan. Panduan serta bimbingan yang berterusan daripada agamawan akan memandu kreativiti pihak produksi.

Pelan pembinaan keilmuan pendakwah pelapis dalam kalangan mahasiswa universiti juga perlu diusahakan. Membina pendakwah hebat di arena penyiaran perlu melalui proses latihan yang berstruktur. Buat masa ini, stesen-stesen TV telah mencetuskan program pembinaan pendakwah muda seperti program Adik-Adikku, Imam Muda, Da’i, Pencetus Ummah, Manhajj Mutawwif, Pendakwah Muslimah dan sebagainya. Ini belum lagi dikira program pendakwah muda yang dilaksanakan pihak universiti termasuk sekolah-sekolah menengah. Perkembangan ini adalah sesuatu yang positif dalam pembentukan generasi muda dan ianya perlu disambut oleh pihak berwajib.

Institusi pengajian tinggi serta pusat latihan Islam juga disyorkan untuk memperkukuhkan modul latihan kepada pendakwah yang muncul di stesen TV dan radio. Seni berceramah di TV dan radio agak berbeza dengan kuliah di masjid dan surau. Apabila para pendakwah diberikan kemahiran khusus berdakwah di TV dan radio, tentunya akan membuka peluang lebih ramai pendakwah untuk memanfaatkan medium penyiaran.

Dalam skala besar, sebuah Fiqh Penyiaran perlu disusun semula oleh para agamawan, ilmuan, para penggiat dunia penyiaran bersama pihak berwajib. Usaha ini perlu digerakkan secara bersepadu dan terancang. Gagasannya besar untuk membangunkan penyiaran berteraskan panduan Syariah. Semoga impian ini menjadi kenyataan satu hari nanti.

-- BERNAMA

Mohamad Zarifi Mohamad Daud merupakan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyiaran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)