KOLUMNIS BERNAMA

Politiking: Ketegasan atau Kebebalan?

26/10/2020 10:45 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Nampaknya ada politikus tidak menghiraukan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya mereka menghentikan segera politiking yang boleh menggugat kestabilan pemerintahan negara.

Peringatan Al-Sultan Abdullah mengenai “tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada” dalam kenyataan Istana Negara semalam juga ibarat mencurah air di daun keladi.

Hari ini tindakan politiking terus dilakukan dengan ada dalam kalangan ahli politik mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Alasan digunakan adalah kononnya Muhyiddin sudah kehilangan kredibiliti sebagai seorang Perdana Menteri selepas Al-Sultan Abdullah tidak mengisytiharkan darurat seperti dicadangkan kerajaan.

Persoalannya, adakah keputusan Agong semalam menunjukkan Seri Paduka hilang keyakinan pada kerajaan, khususnya dalam menangani masalah rakyat akibat pandemik COVID-19 atau sebaliknya?

Jika benar begitu, mengapa Al-Sultan Abdullah memberi peringatan kepada politikus supaya mengutamakan rakyat dan menghentikan politiking yang boleh menggugat kestabilan pemerintahan negara.

Seseorang itu tidak perlu belajar hingga ke universiti untuk memahami bahawa pemerintahan negara yang Tuanku maksudkan adalah merujuk kepada ‘kerajaan’ yang ketika ini masih berfungsi dan mempunyai Perdana Menteri walaupun dengan majoriti tipis di Parlimen.

Politikus mungkin berhujah bahawa ‘kerajaan’ itu tidak semestinya kerajaan yang sekarang, tetapi jika begitu kenapa Tuanku dalam perenggan ketujuh dalam kenyataan Istana Negara semalam menitahkan tiada keperluan Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Pun begitu, pihak kerajaan juga sepatutnya tidak membuat tindakan ‘politiking’ seperti menghentikan peruntukan kepada wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan kerana tindakan ini tentunya dinilai rakyat (pengundi) dan yang menjadi mangsa juga rakyat (yang mungkin mengundi kerajaan di kawasan terbabit).

Seri Paduka juga menegaskan mengenai pentingnya Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada bulan depan untuk kesejahteraan rakyat, khususnya bagi menangani COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” demikian kenyataan Istana Negara semalam.

Jika diteliti titah Yang di-Pertuan Agong semalam, memang jelas Tuanku menyeru “seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara”.

Penulis tidak memahami tindakan politiking yang terus berlaku sekarang selepas Yang di-Pertuan Agong sebagai “custodian” kepada sistem demokrasi raja berpelembagaan telah menjalankan peranan dan menitahkan perkara yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat.

Kenapa politikus terus bertindak begini ketika majoriti rakyat sudah muak dengan tindakan politiking yang tidak mengira waktu untuk berkuasa ketika rakyat berdepan dengan musibah pandemik COVID-19?

Ini kerana pihak yang menjadi mangsa kepada ketidakstabilan politik adalah rakyat selepas pandemik COVID-19 merosakkan ekonomi negara sepertimana ia berlaku di negara-negara lain di seluruh dunia.

“Ini masanya ahli politik menunjukkan kematangan mereka sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang,” demikian kata penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff semalam.

Penulis berpandangan sidang Parlimen bulan depan adalah masa terbaik bagi rakyat, khususnya non-partisan, untuk menilai sikap sebenar politikus sama ada mereka ini mengutamakan kepentingan rakyat atau sebaliknya. Penilaian yang sama terpakai kepada politikus di pihak kerajaan.

“Mungkin Muhyiddin boleh mengambil ruang ini untuk melakukan rundingan politik dengan semua pihak, termasuk pembangkang, untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat.

“Ini adalah peluang terbaik untuk ahli-ahli politik mengembalikan keyakinan rakyat kepada mereka,” kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr P.Sivamurugan.

Majoriti rakyat sebelum ini menyalahkan kelompok politik sebagai penyumbang kepada peningkatan gelombang ketiga jangkitan COVID-19 di Malaysia yang kini mencecah 27,805 kes positif dengan 9,744 kes aktif, termasuk 1,240 kes positif dilaporkan hari ini.

Apa yang pasti, penulis berpendapat jalan terbaik untuk mengembalikan kestabilan negara adalah mendapatkan kembali mandat rakyat melalui Pilihan Raya Umum (PRU) selepas pandemik COVID-19 berjaya ditangani (atau keadaan stabil) dan bukannya melalui undian Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang boleh berubah mengikut situasi semasa. (Penulis tidak menafikan hak ahli Parlimen akan perkara ini sepertimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan).

Hakikatnya, tiada jaminan politikus ‘melompat’ untuk tidak beralih sokongan pada masa akan datang sepertimana pernah berlaku pada kerajaan sebelum ini. Hanya rakyat akan menentukan sama ada tindakan berterusan politiking ini dilakukan kerana ketegasan (pendirian) atau kebebalan politikus terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.

-- BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan dalam liputan zon konflik dan bencana. Beliau juga menulis tentang isu-isu antarabangsa dan semasa rakyat.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)