KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan sedang melengkapkan kerangka kawal selia di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866], termasuk memuktamadkan satu lagi instrumen peraturan berkaitan ciri-ciri pesanan peribadi bagi memperjelas kewajipan platform digital dalam menangani kandungan memudaratkan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang mengadakan rundingan awam bagi membangunkan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Sifat yang Lain bagi Ciri-Ciri Pesanan Peribadi).
Fahmi berkata rundingan awam yang bermula dari 19 Jun itu dijadualkan berakhir pada 20 Julai ini sebelum peraturan berkenaan dimuktamadkan.
“Kesemua perundangan subsidiari, kod dan garis panduan ini digubal bagi memperincikan kewajipan serta obligasi pemberi perkhidmatan berlesen di bawah Akta 866, di samping memberikan panduan yang jelas mengenai pematuhan terhadap tanggungjawab statutori,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) tentang status pembangunan instrumen subsidiari di bawah Akta 866, termasuk peraturan, garis panduan dan mekanisme pelaksanaannya.
Fahmi berkata peraturan itu antara 10 instrumen subsidiari yang merangkumi peraturan, kod serta garis panduan yang melengkapi Akta 866, dengan empat daripadanya telah dikuatkuasakan pada 1 Jan 2026 serentak dengan akta itu.
“Ia melibatkan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Fi) 2025, Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Bentuk Aku Janji) 2025, Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Tribunal Rayuan Keselamatan Dalam Talian) 2025, dan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Tempoh) 2025.
“Dua lagi peraturan subsidiari telah dikuatkuasakan pada 1 Julai 2026, iaitu Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Pengkompaunan Kesalahan) 2026 dan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Pelan Keselamatan Dalam Talian) 2026,” katanya.
Fahmi berkata pelaksanaan Akta 866 bersama peraturan subsidiari, kod dan garis panduan itu akan memastikan platform media sosial memikul tanggungjawab lebih besar dalam mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat, termasuk mengesan serta menangani kandungan memudaratkan secara lebih proaktif.
Beliau berkata platform tidak seharusnya terus bergantung pada MCMC untuk mengenal pasti serta memohon kandungan berkenaan diturunkan, sebaliknya perlu melaksanakan pengesanan dan penguatkuasaan secara automatik.
“Bukan sepatutnya masalah kandungan memudaratkan ini ditangani oleh MCMC. Sepatutnya masalah kandungan memudaratkan ini ditangani oleh platform itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata sejak 1 Jan hingga semalam, MCMC telah mengenal pasti sebanyak 345,712 kandungan memudaratkan yang dimohon untuk diturunkan daripada platform digital, dengan setiap permohonan mengambil masa antara 30 hingga 45 minit kerana memerlukan penyediaan dokumen serta justifikasi alasan kandungan itu diklasifikasikan sebagai memudaratkan.
“Kalau kita ambil angka 345,712 yang saya sebutkan tadi dan didarab dengan 30 minit bagi setiap permohonan, bermaksud dari 1 Jan hingga semalam, MCMC telah menggunakan sejumlah 19.7 tahun waktu bekerja untuk memfailkan kandungan yang dipercayai memudaratkan,” katanya.
Fahmi berkata daripada jumlah kandungan yang dimohon untuk diturunkan itu, kira-kira 91 peratus melibatkan kandungan perjudian dan penipuan (scam) yang dihasilkan secara berulang oleh penjenayah serta dipromosikan menerusi platform digital.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata MCMC sedang meneliti penggunaan teknologi agentic AI bagi meningkatkan kecekapan mengurus aduan dan mengurangkan beban kerja pegawai, selain menggalakkan platform media sosial turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan serta menurunkan kandungan yang melanggar garis panduan komuniti dengan lebih pantas.
-- BERNAMA
