KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Sepanjang beberapa kempen Sukan Asia, Malaysia meletakkan harapan pingat kebanyakannya kepada nama besar seperti Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee dan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.
Dengan Nur Dhabitah menarik diri atas faktor kesihatan, Tze Liang dan Wendy pula sudah bersara, kini tanggungjawab untuk memastikan Malaysia terus berada di podium Sukan Asia dipikul oleh gandingan Elvis Priestley Clement dan Enrique Harold Maccartney pada edisi 2026 yang akan berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 Sept hingga 4 Okt.
Mengakui bahawa Malaysia akan memberikan keutamaan pada acara terjun seirama dalam usaha memburu pingat, pengarah teknikal skuad terjun kebangsaan Yeoh Ken Nee berkata peluang terbaik negara membawa pulang pingat pada temasya itu terletak pada gandingan penerjun negara Elvis dan Enrique.
Ken Nee berkata persembahan cemerlang Elvis–Enrique pada Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura tahun lepas apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam final acara 10 meter (m) platform seirama lelaki, membuktikan bahawa mereka mampu mencabar penerjun elit Asia di Negara Matahari Terbit itu.
"Berdasarkan pencapaian mereka tahun lepas, Elvis–Enrique ialah finalis pada Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura.
"Melihat pada kedudukan akhir, mereka berada antara (pemenang pingat) perak atau gangsa dalam kalangan peserta Asia sahaja, jadi ada harapan besar (untuk membawa pulang pingat)," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Walaupun Ken Nee percaya ada sebab untuk optimis, beliau mengingatkan bahawa Elvis–Enrique perlu mengatasi saingan sengit daripada kuasa tradisi rantau ini seperti China, tuan rumah Jepun dan Korea Selatan.
Pemenang pingat Sukan Asia enam kali itu berkata walaupun gandingan berkenaan menunjukkan perkembangan yang positif, konsistensi akan menjadi keutamaan sekiranya mereka mahu mengubah prestasi memberangsangkan itu kepada kedudukan podium dalam Sukan Asia.
Bekas atlet Olimpik itu juga berkata kedua-dua penerjun negara itu sedang berusaha melakukan terjunan baharu bagi meningkatkan darjah kesukaran, walaupun pasukan kejurulatihan hanya akan memutuskan sama ada untuk memasukkan mereka dalam pertandingan selepas menilai situasi pada hari berkenaan.
"Setakat ini, perkembangan mereka sangat baik. Mereka sedang belajar terjunan baharu, tetapi risiko itu memang ada bergantung pada situasi hari pertandingan.
“Kalau mereka boleh beri saingan mungkin kita akan guna tahap kesukaran yang lebih tinggi, namun sekiranya kita mahu mengekalkan konsistensi, mungkin kita tidak akan menggunakannya," katanya.
Sementara itu, Ken Nee berkata laluan Pandelela pada Sukan Asia dijangka jauh lebih mencabar berikutan peningkatan mendadak tahap persaingan atlet Asia dalam acara platform 10m wanita.
Beliau berkata walaupun Pandelela kekal sebagai tonggak penting skuad negara, tahap persaingan daripada kuasa besar serantau menjadikan acara individu itu lebih sukar.
"Walaupun beliau atlet senior, cabaran ketika ini ialah atlet dari negara Asia lain seperti China, Korea Selatan dan Jepun. Kebanyakan mereka ialah penerjun muda dan mencatat keputusan baik dalam Kejohanan Akuatik Dunia tahun lepas," katanya.
Pandalela, yang memenangi dua pingat Sukan Olimpik, terpaksa menarik diri daripada saingan awal acara 10m platform wanita pada kejohanan dunia tahun lepas akibat kecederaan bahu.
Atlet berusia 33 tahun dari Sarawak itu juga dijangka beraksi dalam acara 10m platform seirama wanita dengan bekas pemenang pingat emas Sukan SEA, Lee Yiat Qing.
Turut melengkapkan kem terjun negara bagi menghadapi Sukan Asia akan datang ialah atlet Olimpik Bertrand Rhodict Lises, Muhammad Syafiq Puteh, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie bagi skuad lelaki, manakala pasukan wanita terdiri daripada Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dan Ong Ker Ying.
-- BERNAMA
