JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TUMPAS SINDIKET PERTARUHAN PIALA DUNIA FIFA 2026 DALAM TALIAN, TAHAN 32 WARGA CHINA

02/07/2026 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Polis menumpaskan satu sindiket pertaruhan bola sepak dalam talian sempena Piala Dunia FIFA 2026 susulan penahanan 32 warga China dalam serbuan di sebuah unit kedai pejabat di Cheras, awal pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata serbuan pada 2.40 pagi itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang menyaksikan penahanan 29 lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Beliau berkata polis turut merampas 28 komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem internet serta pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

“Sindiket ini didapati mengendalikan pertaruhan bola sepak menerusi laman web 6288.com dan menggunakan unit kedai pejabat berkenaan sebagai pusat operasi yang telah beroperasi selama tiga minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 4 Julai ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata Polis Kuala Lumpur akan terus mempergiat Op Soga XI sepanjang tempoh Piala Dunia FIFA 2026 dengan memberi tumpuan terhadap ejen pertaruhan, penganjur dan individu yang terbabit dalam kegiatan perjudian sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

Dalam perkembangan lain, Fadil memaklumkan pihaknya turut menahan seramai 12 lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes pergaduhan dan rusuhan di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Cheras pada Isnin lepas.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang daripada individu yang terlibat dalam kejadian itu.

“Siasatan mendapati pergaduhan berpunca daripada rasa tidak puas hati apabila salah seorang pekerja di pusat beli-belah berkenaan menegur sekumpulan individu supaya tidak menghalang laluan jalan.

“Teguran itu kemudiannya mencetuskan pertengkaran mulut sebelum bertukar menjadi pergaduhan,” katanya sambil menambah mangsa yang membuat laporan polis itu mengalami kecederaan ringan pada beberapa bahagian anggota badan.

Fadil berkata kesemua suspek telah direman sehingga Selasa lepas bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan