DUNIA

KANE JARING DUA GOL, ENGLAND BANGKIT TUMPASKAN CONGO UNTUK MARA KE PUSINGAN 16

02/07/2026 08:12 AM

ATLANTA, 2 Julai (Bernama-PA Media/dpa) -- Harry Kane muncul wira England apabila meledak dua gol untuk membantu pasukan itu bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Republik Demokratik Congo (DR Congo) 2-1 dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia, sekali gus menempah pertemuan dengan tuan rumah bersama, Mexico, lapor PA Media/dpa.

Sedekad selepas tersingkir kepada Iceland pada kejohanan Euro, sejarah hampir berulang pada Rabu apabila jaringan awal Brian Cipenga meletakkan England di ambang penyingkiran.

England bergelut sepanjang sebahagian besar perlawanan dan sukar menewaskan penjaga gol DR Congo yang beraksi cemerlang, Lionel Mpasi. 

Namun, anak buah Thomas Tuchel berjaya mengawal tekanan dan turut bernasib baik apabila Kane meledak dua gol pada babak kedua untuk melengkapkan kebangkitan 2-1.

Kemenangan itu merupakan kali pertama England memenangi perlawanan Piala Dunia selepas terlebih dahulu dibolosi sejak menjuarai final edisi 1966. Namun, persembahan yang kurang meyakinkan itu menimbulkan persoalan sama ada mereka mampu melepasi halangan Mexico, apatah lagi mara ke pentas final.

DR Congo, yang beraksi dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia buat julung kalinya, beberapa kali berjaya mengeksploitasi kelemahan benteng England. 

Yoane Wissa turut menggegarkan palang gol menjelang tamat babak pertama, manakala Kane mendakwa dia dinafikan sepakan penalti.

Pemain gantian Anthony Gordon mencipta dua peluang kepada kapten England itu untuk memastikan kemenangan dramatik dan membawa pasukannya ke pusingan 16 menentang Mexico di Stadium Azteca.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan