POLITIK

MISI TAWAN PULAI SEBATANG: PEMBANGUNAN LESTARI ATAU KESINAMBUNGAN KHIDMAT?

01/07/2026 05:51 PM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

PONTIAN, 1 Julai (Bernama) -- Persaingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menyaksikan pertembungan antara misi pembangunan lestari Pakatan Harapan (PH) dan agenda kesinambungan khidmat bakti Barisan Nasional (BN).

Calon PH Haniff Hosman, 46, mempertaruhkan tekad untuk mengubah Pulai Sebatang sebagai destinasi wajib dikunjungi menerusi model pembangunan seimbang tanpa meminggirkan denyut nadi nelayan dan petani.

Beliau menyifatkan Pulai Sebatang sebagai 'permata' yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan, memandangkan kedudukannya yang strategik merangkumi bandar Pontian serta berhampiran koridor pertumbuhan ekonomi daerah bersebelahan.

"Kita mahu menarik pelaburan bersesuaian supaya pembangunan dapat dinikmati penduduk setempat tanpa mengabaikan sektor tradisional yang menjadi sumber rezeki masyarakat," katanya ketika ditemui Bernama di Bilik Gerakan Utama PH DUN Pulai Sebatang di sini hari ini.

Haniff yang pernah bertanding di Parlimen Pontian pada 2013 dan DUN Benut (2022), turut membawa suara akar umbi mengenai tuntutan pampasan nelayan di Pontian Besar serta kemelut sistem saliran yang sering mengakibatkan banjir di kawasan pertanian Parit Datuk.

Mengenai pendekatan kempen, Haniff berkata beliau lebih mengutamakan kaedah turun padang dan lawatan dari rumah ke rumah bagi membolehkan beliau memahami sendiri keperluan serta masalah dihadapi penduduk.

Beliau optimis PH mampu mengulangi rekod kemenangan 2018 berdasarkan maklum balas positif sepanjang siri jelajah dan pertemuan dari rumah ke rumah yang menjadi strategi utamanya untuk mendekati pemilih.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Pulai Sebatang daripada BN Hasrunizah Hassan berkata pembesaran Hospital Pontian terus menjadi antara perkara paling kerap dibangkitkan penduduk sepanjang tempoh berkempen.

Beliau berkata isu pembesaran Hospital Pontian kini hampir menemui titik penyelesaian apabila projek penambahan blok baharu telah diluluskan dan kini berada pada peringkat perolehan.

Hasrunizah berkata jika diberi mandat sekali lagi, beliau akan memberi tumpuan untuk menyelesaikan baki 25 permohonan jalan kampung yang masih tertangguh daripada keseluruhan 75 permohonan dikenal pasti sejak mula berkhidmat pada 2022.

Selain itu, beliau berhasrat meneruskan pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan kerajaan negeri termasuk bantuan di bawah Kasih Johor, bantuan perumahan serta skim pemilikan rumah pertama.

Hasrunizah yang menggunakan gabungan kempen tradisional dan media sosial berharap pengundi terus memberi kepercayaan kepada BN berdasarkan rekod prestasi serta pencapaian yang telah dibuktikan sepanjang penggal lepas.

"Kita berusaha sedaya upaya. Dengan pengalaman dan pencapaian sepanjang penggal lepas, kita berharap pengundi akan terus memberi kepercayaan dan mandat semula," katanya selepas Program Jelajah TVET MARA Johor Datul Tak’zim di MRSM Tun Dr Ismail di sini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sementara itu, Ahmad menyifatkan Hasrunizah dan calon Benut Datuk Mohd Sumali Reduan merupakan anak tempatan yang mempunyai latar belakang pendidikan baik serta rekod kejayaan masing-masing.

"Kita yakin Sumali dan Hasrunizah boleh melaksanakan tugas jika diberi amanah untuk menjadi ADUN. Jentera BN sungguh bersemangat dan saya harap momentum itu dikekalkan hingga 11 Julai nanti," katanya.

Sebanyak 172 calon bertanding dalam PRN Johor yang akan diadakan 11 Julai, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA

 

N54 Pulai Sebatang: (47,651 pengundi)

1. Haniff @ Ghazali Hosman (PH-PKR)

2. Hasrunizah Hassan (BN-UMNO)

 

(2022: Hasrunizah Hassan: BN-UMNO: Maj: 6,325)

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan