EKONOMI

GERAKAN KOPERASI SELURUH NEGARA CATAT PEROLEHAN RM81.62 BILION PADA 2025

01/07/2026 05:24 PM

KEMAMAN, 1 Julai (Bernama) -- Gerakan koperasi di negara ini mencatat prestasi memberangsangkan apabila perolehannya meningkat hampir 20 peratus kepada RM81.62 bilion pada tahun lepas berbanding RM68.18 bilion pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata prestasi memberangsangkan itu menunjukkan gerakan koperasi di negara ini semakin berdaya saing serta berperanan penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi rakyat.

"Pada 2025, sebanyak 16,468 koperasi berdaftar direkodkan di seluruh negara, meningkat 1.1 peratus berbanding 2024, manakala jumlah keanggotaan bertambah kepada 7.33 juta orang atau meningkat 1.7 peratus.

"Modal syer dan yuran turut meningkat 1.7 peratus kepada RM18.64 bilion, manakala jumlah aset koperasi berkembang 7.7 peratus kepada RM186.75 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lori Logistik di bawah Bantuan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) dan meninjau premis Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kemaman (KOPKEM) Bhd, di sini hari ini.

Ahmad Norihan berkata mengikut negeri, Selangor merekodkan bilangan koperasi tertinggi dengan 2,217 koperasi diikuti Sabah (2,047) dan Perak (1,755).

Menurutnya, Wilayah Persekutuan pula mencatat jumlah keanggotaan tertinggi sebanyak 2.51 juta orang selain merekodkan aset terbesar bernilai RM24.65 bilion dan perolehan tertinggi sebanyak RM7.46 bilion.

"Dari segi fungsi, koperasi pengguna kekal menjadi kategori terbesar dengan 5,589 koperasi, diikuti koperasi perkhidmatan (5,131) dan pertanian (3,866).

"Bagaimanapun, sektor perbankan terus menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan koperasi negara dengan nilai RM65.59 bilion, diikuti koperasi kredit sebanyak RM5.67 bilion dan koperasi perkhidmatan RM4.84 bilion.

"Perangkaan itu turut menunjukkan koperasi mikro merangkumi 13,504 buah atau 82 peratus daripada keseluruhan koperasi di negara ini," katanya.

Selain itu Ahmad Norihan berkata SKM memberi fokus kepada pembangunan koperasi belia bermula tahun lepas bagi melahirkan lebih ramai golongan muda sebagai pelapis yang mampu memperkukuh gerakan koperasi negara.

“Penyertaan lebih ramai belia dalam koperasi amat penting bagi memastikan kelangsungan sektor itu sebagai antara pemacu pembangunan ekonomi negara.

"Belia merupakan pelapis kepada gerakan koperasi dan penyertaan golongan muda yang semakin meningkat akan meneruskan kesinambungan koperasi sebagai salah satu wadah perjuangan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata SKM turut mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi berkaitan belia termasuk Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Belia Malaysia di beberapa negeri bagi merangka pendekatan terbaik menarik minat golongan itu menyertai koperasi.

Antara bidang yang digalakkan untuk diceburi koperasi belia ialah keselamatan dan keterjaminan makanan, pelancongan serta sektor digital dan teknologi, kata Ahmad Norihan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan