AM

LRT3 BUKTI KOMITMEN KERAJAAN MADANI PERKUKUH PENGANGKUTAN AWAM - SAIFUDDIN

01/07/2026 03:25 PM

SHAH ALAM, 1 Julai (Bernama) -- Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam menjadi satu lagi bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih moden, cekap dan bersepadu demi memudahkan urusan harian rakyat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata laluan baharu itu diwujudkan bagi memberi penyelesaian kepada antara koridor yang paling sesak di Lembah Klang.

“Ia bukan sekadar menambah pilihan pengangkutan, malah membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, menjimatkan masa perjalanan dan mengurangkan kos perjalanan harian, khususnya bagi mereka yang berulang-alik ke tempat kerja, institusi pengajian serta menjalankan urusan harian.

“Inilah antara pelaburan strategik kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memperkukuh jaringan pengangkutan awam negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini. 

Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa melancarkan operasi itu, mengumumkan tambang percuma perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam bermula 29 Jun hingga 31 Julai termasuk perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) di sepanjang laluan tersebut.

Susulan itu, Saifuddin Nasution mengajak orang ramai khususnya di kawasan Shah Alam, Klang dan Subang serta sepanjang jajaran LRT3 untuk memanfaatkan tempoh tambang percuma itu bagi menggunakan perkhidmatan berkenaan. 

Beliau berkata inisiatif itu memberi peluang kepada rakyat mencuba sendiri kemudahan LRT3 bersama perkhidmatan bas perantara secara percuma, selain menggalakkan peralihan kepada penggunaan pengangkutan awam dalam urusan harian.

“Perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam bersama bas perantara ini disediakan secara percuma sehingga 31 Julai 2026 supaya lebih ramai rakyat dapat merasai sendiri kemudahan ini dan beralih kepada penggunaan pengangkutan awam.

“Jadi kalau anda tinggal, bekerja atau belajar di sekitar laluan LRT3, inilah masanya! Tinggalkan kereta seketika, cuba naik LRT3 secara percuma hingga 31 Julai 2026. Naik sekali, Insya-Allah nak naik lagi,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan