JENAYAH & MAHKAMAH

AKPS CATAT NILAI RAMPASAN LEBIH RM140 JUTA LIMA BULAN PERTAMA TAHUN INI - MOHD SHUHAILY

01/07/2026 03:21 PM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mencatatkan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM140.863 juta sejak Januari hingga Mei tahun ini, hampir sekali ganda berbanding RM82.1 juta yang direkodkan sepanjang tahun lepas.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata jumlah terbesar rampasan adalah menerusi Ops Green Shield iaitu operasi bersepadu mengesan sisa elektronik dan operasi di pintu masuk utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. 

“Di sebalik kekurangan petugas dan mengekang kita (AKPS) untuk beroperasi secara menyeluruh, ia tidak sesekali menahan kita daripada menjalankan tugas.

“Saya amat percaya bahawa sekiranya kita dapat menyelesaikan masalah sumber manusia kita dengan cepat, jumlah rampasan akan bertambah dan secara langsung mengurangkan ketirisan pendapatan kerajaan selaras matlamat sebenar penubuhan AKPS,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan AKPS di sini hari ini.

Melalui penambahan sumber manusia, Mohd Shuhaily berkata AKPS juga berupaya menangani ancaman keselamatan sempadan dengan lebih berkesan selain melakukan siasatan dan risikan sendiri. 

“Kitaran kerja kita masih belum sempurna dan sekiranya kita mempunyai kekuatan yang munasabah, ia juga membuka peluang semua pegawai dan anggota AKPS menceburi bidang tugas lain seperti penguatkuasaan, siasatan dan risikan. 

“Perancangan kita juga ingin mewujudkan pasukan teknikal yang berwibawa untuk skop tugasan yang moden dalam menghasilkan profiling yang mantap supaya tugasan sasaran akan kita lakukan dengan lebih efektif,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata pengoperasian AKPS kini turut diperkukuh dengan penyertaan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa pelatih baharu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan