KUANTAN, 1 Julai (Bernama) -- Polis menahan sepasang kekasih dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM728,000 di sebuah hotel di Genting Permai, Bentong Isnin lepas.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata lelaki tempatan berusia 37 tahun dan wanita warga asing berumur 35 tahun itu ditahan di tempat letak kereta premis berkenaan pada 5 petang.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di sebuah bilik dan kereta menemukan pelbagai dadah antaranya ketamin dianggarkan seberat 2.9 kilogram (kg), kokain (1.01 kg), serbuk MDMA (671 gram) dan syabu (538 gram).
"Siasatan awal mendapati pasangan berkenaan bertindak sebagai penghantar barang terlarang itu dengan bekalan diperoleh dari Lembah Klang untuk pasaran Pantai Timur.
"Mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan terbabit sejak tiga bulan lepas dengan jumlah dadah yang dirampas mampu digunakan lebih 10,000 orang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Azry Akmar berkata kedua-duanya yang tidak memiliki rekod lampau namun positif terhadap dadah jenis methamphetamine kini direman hingga 6 Julai ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 333 individu berumur lingkungan 19 hingga 65 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah menerusi Ops Hawk yang dilaksanakan bermula 28 Jun hingga semalam.
Dalam tempoh operasi berkenaan, katanya pelbagai harta disyaki diperoleh daripada aktiviti dadah seperti wang tunai dan kenderaan berjumlah hampir RM80,000 turut disita.
-- BERNAMA
