AM

CUCKOO MALAYSIA LANCAR PELAN INDUK CSR, PERKENAL CUCKOO DREAM FUND

01/07/2026 01:40 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia) telah menyatukan semua inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) di bawah pelan induk baharu iaitu Projek CUCKOO Loves, Cares, di samping memperkenalkan CUCKOO Dream Fund berjumlah RM100,000 untuk menyokong pembangunan bakat kreatif muda tempatan.

Menerusi kenyataan hari ini, syarikat berkenaan memaklumkan pelan induk itu bertindak sebagai panduan teras CSR pada masa kini dan akan datang di bawah pendekatan yang lebih berstruktur, yang bermatlamat mewujudkan ruang yang lebih selamat, sihat dan ceria serta meningkatkan kualiti hidup semua lapisan masyarakat secara menyeluruh.

Inisiatif itu merangkumi dua bidang impak khusus iaitu CUCKOO Loves yang memfokuskan kepada sokongan komuniti serta bantuan krisis dan bencana manakala CUCKOO Cares yang menumpukan kepada kesejahteraan hidup, pemeliharaan ekosistem serta pemerkasaan golongan muda.

Di bawah rangka kerja itu, enam jenama tindakan CSR akan menjadi pemacu kepada inisiatif syarikat iaitu #SAMASAMAKongsi, #SAMASAMABantu, #SAMASAMABuatBaik, #SAMASAMAUplift, #SAMASAMAProtect dan #SAMASAMAEmpower, kesemuanya selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurut CUCKOO Malaysia, CUCKOO Dream Fund dilancarkan menerusi #SAMASAMAEmpower yang bertujuan memperkasakan pelajar, siswazah dan pencipta kandungan bebas berusia antara 15 hingga 30 tahun.

Pemohon yang terpilih bakal menerima sumbangan sehingga RM10,000 bagi setiap projek, sehingga RM5,000 bagi Geran Kreatif dan sehingga RM5,000 bagi Geran Penyelarasan Impak Sosial kepada projek yang membawa impak komuniti yang jelas.

Peruntukan keseluruhan RM100,000 akan diagihkan menerusi dua kitaran permohonan yang berbeza, dengan setiap kitaran memperuntukkan jumlah RM50,000. Permohonan untuk Kitaran 1 dibuka bermula hari ini (1 Julai) hingga 30 Sept depan.

Sementara itu, CUCKOO Malaysia secara rasmi turut melantik penyanyi dan pencipta lagu tiga bahasa serta artis Mandopop iaitu Firdhaus sebagai Sahabat CSR CUCKOO yang akan menerajui inisiatif CSR syarikat serta menggalas tanggungjawab sebagai mentor bagi inisiatif CUCKOO Dream Fund.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia Hoe Kian Choon berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen syarikat yang semakin meningkat terhadap impak sosial, selain tanggungjawab syarikat untuk menambah baik kediaman, ruang sekeliling serta taraf hidup rakyat Malaysia turut berkembang seiring dengan pengembangan syarikat.

“Bagi kami, kejayaan syarikat perlu sentiasa seiring dengan impak sosial. Dengan menyatukan semua usaha kami di bawah satu pelan induk CSR yang jelas, kami melangkah secara strategik dengan matlamat lebih murni sebagai Pencipta Kediaman Sihat demi memberikan perubahan berterusan yang benar-benar mengangkat darjat komuniti, kehidupan dan ruang yang kami santuni,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran CUCKOO Malaysia Queenie Goh berkata pelantikan Firdhaus sebagai Sahabat CSR CUCKOO sulung akan membantu meningkatkan kesedaran terhadap inisiatif CSR syarikat serta menggalakkan lebih ramai orang untuk memberikan sumbangan kepada usaha sosial.

“Melangkah ke hadapan dengan pelan induk bersepadu ini, kami berharap dapat membina komuniti yang lebih berdaya tahan dengan menyokong kumpulan rentan, melindungi alam sekitar serta memperkasakan generasi akan datang,” katanya menerusi kenyataan sama.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan