POLITIK

KESALINGHUBUNGAN PENGANGKUTAN LEBIH BAIK PEMANGKIN PERTUMBUHAN JOHOR - CALON PH JOHOR JAYA

01/07/2026 11:56 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

JOHOR BAHRU, 1 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Lee Wern Yiing berkata penambahbaikan sistem pengangkutan awam dan rangkaian rel akan menjadi pemangkin transformasi ekonomi negeri, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menarik pelaburan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

 Beliau berkata rakyat Johor telah sekian lama menantikan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, dan negeri itu kini berada di ambang fasa pertumbuhan baharu menerusi pelaksanaan projek rel berskala besar.

“Pada masa ini, terdapat perkhidmatan tren elektrik (ETS) menghubungkan Johor dengan seluruh Semenanjung manakala dalam tempoh enam bulan lagi, Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura akan memulakan operasi.

“Menerusi sistem pengangkutan yang lebih baik, kita mampu mewujudkan lebih banyak peluang, memperkukuh perniagaan dan meningkatkan kualiti hidup. Johor kini memasuki era baharu pertumbuhan,” katanya pada forum bertajuk Future of Malaysia: Building a Progressive & Inclusive Nation sempena kempen pilihan raya berkenaan di sini malam tadi.

Turut hadir penyandang kerusi DUN Stulang Andrew Chen Kah Eng, bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua serta bekas Ahli Parlimen Puchong yang juga bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Lee turut menyifatkan pelancaran perkhidmatan tren Shuttle Selatan yang menghubungkan JB Sentral-Kulai-Gemas dan Pasir Gudang sebagai satu lagi pencapaian penting dalam mempertingkatkan mobiliti di negeri ini.

 Beliau berkata laluan kereta api Gemas-Pasir Gudang yang sebelum ini hanya dimanfaatkan untuk perkhidmatan kargo kini boleh digunakan bagi tren penumpang, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan antara bandar dengan kawasan perindustrian.

Penambahbaikan infrastruktur pengangkutan, katanya akan meningkatkan daya tarikan Johor Bahru sebagai destinasi pelaburan serta menyokong pembangunan ekonomi jangka panjang.

Sementara itu, Chen berkata wakil PH di Johor selatan akan terus memperjuangkan isu rentas sempadan yang menjejaskan rakyat Johor yang kerap berulang-alik antara Johor dan Singapura.

Beliau yang akan mempertahankan kerusi DUN Stulang untuk penggal keempat berturut-turut menggesa rakyat Johor supaya keluar mengundi pada PRN ini.

Yeo pula berkata Kerajaan Perpaduan telah melaksanakan pembaharuan institusi dan tadbir urus yang signifikan dalam tempoh tiga tahun lepas, sekali gus memperlihatkan komitmen untuk mempertingkat akauntabiliti meskipun wujud persepsi awam bahawa tidak banyak perubahan yang berlaku.

Menurut Yeo, kerajaan juga telah memperkenalkan undang-undang penting yang bertujuan memperkukuh disiplin fiskal, meningkatkan ketelusan dan memperkukuh pengasingan kuasa.

Antara pembaharuan utama yang dinyatakan beliau ialah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pindaan Akta Audit, Akta Perolehan Kerajaan 2025, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, serta Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.

Beliau turut mengetengahkan pembaharuan di luar bidang tadbir urus termasuk pindaan bagi memperkukuh undang-undang perlindungan kanak-kanak, nyahjenayah cubaan bunuh diri, hak kewarganegaraan yang sama bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia serta penambahbaikan undang-undang antibuli.

Mengakui bahawa tiada kerajaan yang sempurna, Yeo berkata reformasi memerlukan masa, namun menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan telah mencapai kemajuan nyata dalam memperkukuh institusi dan tadbir urus Malaysia.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan