JOHOR BAHRU, 1 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menyediakan empat kaunter pelbagai di ibu pejabatnya di Taman Daya di sini bagi mengendalikan transaksi pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian individu dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) bermula hari ini.
Pengarah JPJ negeri Zulkarnain Yasin berkata inisiatif itu membolehkan pelanggan yang mahu memperbaharui kedua-dua dokumen tersebut hanya mengambil satu nombor giliran dan mendapatkan perkhidmatan di kaunter sama.
"Selain itu, pelanggan juga dapat menjimatkan masa sekali gus melancarkan lagi urus niaga pembaharuan LKM dan LMM," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkarnain berkata urusan di kaunter pelbagai itu tidak terhad mengikut bahagian dan pelanggan boleh diselaraskan serta diseimbangkan di semua kaunter perkhidmatan.
Beliau berkata sebarang aduan boleh dibuat secara terus atau masa nyata dengan menggunakan aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan.
-- BERNAMA
