DUNIA

KOREA SELATAN TANGGUH PELAN LANCAR ROKET ANGKASA BAHAN API PEPEJAL ATAS FAKTOR KESELAMATAN

30/06/2026 11:03 PM

SEOUL, 30 Jun (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan menangguhkan pelan pelancaran roket angkasa lepas menggunakan bahan api pepejal atas faktor keselamatan pada Selasa, menurut Kementerian Pertahanan, sekali gus menunda pelancaran sulung kenderaan empat peringkat yang dipasang sepenuhnya, lapor Agensi Berita Yonhap.

Roket angkasa lepas Mir itu pada mulanya dijadualkan berlepas pada 2 petang dari sebuah barj laut di luar pantai selatan Pulau Jeju, namun pelan pelancaran berkenaan akan dijadualkan semula.

"Pelancaran roket angkasa lepas bahan api pepejal yang dirancang telah dibatalkan atas faktor keselamatan berikutan beberapa isu dikesan semasa persiapan akhir pelancaran," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan kepada media.

"Pelan pelancaran yang dijadualkan semula akan diumumkan pada satu tarikh lain," katanya.

Sekiranya dilancarkan, ia bakal menandakan ujian pelancaran pertama roket berkenaan sebagai kenderaan empat peringkat yang lengkap, selepas siri ujian pada 2022 dan 2023 yang masing-masing hanya menilai konfigurasi sebahagian tiga peringkat.

Pelancaran terakhir bagi roket berkenaan telah dilakukan pada Disember 2023.

Korea Selatan sedang membangunkan kenderaan peluncur angkasa lepas berkuasa pendorong pepejal sejak 2021 untuk menempatkan satelit pemerhatian dan pengawasan kecil ke orbit rendah Bumi bawah 500 kilometer.

Program berkenaan bertujuan meningkatkan keupayaan satelit pengintip bebas negara itu bagi memantau ancaman Korea Utara dengan lebih berkesan.

Roket bahan api pepejal mempunyai struktur yang lebih ringkas berbanding roket bahan api cecair dan boleh disimpan selama bertahun-tahun, sekali gus membolehkan tindak balas pantas apabila pelancaran diperlukan.

Program kenderaan angkasa lepas bahan api pepejal ini berjalan seiring dengan inisiatif pelancaran satelit pengintip tentera yang telah berjaya menempatkan lima satelit pengintip ke orbit menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX setakat November tahun lepas.

Di bawah program Mir, Korea Selatan merancang untuk menempatkan sehingga 60 satelit pengintip kecil buatan tempatan ke angkasa lepas menjelang 2030 bagi melengkapkan kluster lima satelit pengintip ketenteraan yang lebih besar.

Langkah itu akan membantu mewujudkan rangkaian pengawasan yang lebih ketat untuk memantau sasaran musuh selain mengurangkan kebergantungan negara terhadap risikan satelit Amerika Syarikat.

-- BERNAMA-YONHAP

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan