IPOH, 30 Jun (Bernama) -- Tiada sebarang unsur jenayah dalam kes membabitkan seorang pelajar tingkatan satu yang dilaporkan terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah baru-baru ini.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata setakat ini lima saksi telah dirakam percakapan dalam kalangan rakan mangsa dan guru.
“Setakat hari ini, keterangan rakan mangsa mengatakan mangsa seorang diri naik ke bahagian atas tangki air dan dengan cuai telah terjatuh ke bawah tingkat tiga (aras yang sama) di bahagian tepi tangga. Tiada unsur-unsur jenayah.
“Klasifikasi kes masih ROA (rujuk kepada agensi lain) untuk tindakan pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata mangsa kini telah sedarkan diri dan dipindahkan ke sebuah hospital swasta di sini daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pada 22 Jun lepas, seorang pelajar lelaki tingkatan satu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di dalam kawasan sebuah sekolah menengah di sini hari ini.
Keesokannya pula, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak memaklumkan mereka memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan berhubung insiden itu, selain turut menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek yang berkaitan dengan kejadian berkenaan.
-- BERNAMA
