Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Syarikat teknologi kewangan (fintech) tempatan Malaysia, Paydibs Sdn Bhd, sedang mengembangkan pasarannya ke Asia Tenggara dan Asia Selatan, dengan rancangan untuk memasuki Thailand, Indonesia dan Filipina menjelang akhir tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tee Kean Kang.
Susulan penyertaannya dalam tiga pasaran tersebut, Tee berkata syarikat itu akan berkembang ke Kemboja dan Vietnam sebelum menyasarkan Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Nepal dan India dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Beliau berkata pengembangan peringkat serantau Paydibs pada mulanya akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan kepada pedagang e-dagang dengan membolehkan mereka mengakses saluran pembayaran merentasi sempadan sebelum meluaskan perkhidmatannya kepada peruncit fizikal.
"Tumpuan utama kami adalah untuk membolehkan peniaga e-dagang di setiap negara mengakses saluran pembayaran dari pasaran lain," katanya kepada Bernama.
Paydibs menyediakan perkhidmatan penyelesaian penerimaan pembayaran digital (payment gateway dan terminal) untuk membantu perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga mikro, menerima bayaran daripada pelanggan secara digital.
Selain pengembangan, Tee berkata Paydibs menyasarkan segmen perdagangan yang kurang diberi tumpuan, ditakrifkannya sebagai perniagaan yang telah menerima pakai pembayaran digital tetapi masih belum mengoptimumkan nilai mereka sepenuhnya.
"Nilai sebenar pembayaran digital melangkaui urus niaga tanpa tunai. Ia terletak pada mengubah data transaksi menjadi pandangan yang boleh diambil tindakan yang membantu perniagaan meningkatkan operasi dan mendapatkan akses kepada perkhidmatan kewangan lebih luas,” katanya.
Beliau berkata ramai peniaga tepi jalan/kaki lima dan peniaga kecil sudah menerima pembayaran kod respons pantas (QR) tetapi tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada pendigitalan.
“Ramai peniaga menerima penyata pembayaran tetapi masih kekurangan pemahaman mendalam mengenai perniagaan mereka. Mereka tidak dapat mengenal pasti produk yang paling laris, memadankan urus niaga secara cekap atau membuat keputusan inventori yang termaklum,” katanya.
Bagi menangani jurang ini, Tee berkata Paydibs menyediakan penyelesaian kepada peniaga yang menukarkan data pembayaran kepada maklumat strategik perniagaan yang bernilai, dan pada tahun lepas telah melancarkan terminal “pembayaran Neo” untuk memudahkan penerimaan pembayaran serta memberikan peniaga gambaran lebih jelas terhadap prestasi perniagaan mereka.
Tidak seperti kod QR statik konvensional yang memerlukan pelanggan memasukkan jumlah pembayaran secara manual, Neo menjana kod QR dinamik dengan jumlah yang telah diisi terlebih dahulu, membolehkan pelanggan menyelesaikan pembayaran dengan satu ketikan/sentuhan.
Terminal itu juga menyediakan pelaporan masa nyata kepada peniaga melalui portal sandaran (backend) khas, membolehkan mereka memantau jualan, menyelaras transaksi dan menganalisis prestasi perniagaan dengan lebih cekap.
Sejak penubuhannya pada 2010, Paydibs telah memberi sokongan kepada lebih 1,000 peniaga menerusi lebih 50 rakan strategik di Malaysia dan Singapura, menawarkan akses kepada lebih 40 saluran pembayaran dan memproses lebih RM4 bilion jumlah urus niaga.
Prospek pembayaran digital
Melihat ke hadapan, Tee berkata beliau menjangkakan landskap pembayaran digital Malaysia akan berkembang melangkaui peningkatan penggunaan tanpa tunai, dengan penekanan lebih besar untuk membantu perniagaan memanfaatkan data pembayaran bagi meningkatkan operasi dan memacu pertumbuhan.
“Pembayaran tidak lagi harus dilihat sebagai perkhidmatan yang berdiri sendiri tetapi sebagai sebahagian daripada ekosistem perdagangan digital yang terhubung, data urus niaga dapat membantu peniaga mengurus inventori dengan lebih baik, mengenal pasti produk terlaris dan tempoh perniagaan puncak, mengoptimumkan perancangan sumber dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan nilai tambah seperti pembiayaan, insurans dan logistik.
“Kami tidak cuba menjadi penyedia termurah. Tumpuan kami adalah bagaimana peniaga boleh menggunakan penyelesaian kami untuk meningkatkan perniagaan mereka. Di situlah terletaknya nilai sebenar fintech,” katanya.
-- BERNAMA
