KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan perlu beralih daripada sekadar mengawal selia inovasi kepada mewujudkan keadaan yang membolehkan inovasi itu berkembang, sambil memastikan kemajuan teknologi memberikan manfaat kepada masyarakat, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Berucap pada majlis penutupan City Talk Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) 2026 di sini hari ini, beliau berkata kerangka perancangan bandar Malaysia perlu berubah daripada pendekatan berasaskan kawal selia kepada pendekatan yang lebih memudah cara, bagi menggalakkan inovasi tanpa menjejaskan kepentingan awam, keselamatan, kemampanan dan tadbir urus yang baik.
"Peraturan digubal untuk melindungi kepentingan awam, namun perkara itu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada inovasi. Sistem perancangan kita perlu beralih daripada budaya mengawal kepada budaya yang memudahkan pembangunan secara bertanggungjawab," katanya.
Nga berkata agenda reformasi industri perumahan Malaysia yang sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berteraskan lima prinsip utama, iaitu kemampuan memiliki rumah, kebolehhunian, kemampanan, keterhubungan dan pembinaan komuniti.
Beliau berkata di bawah RMK12, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya mencapai sasarannya dengan memudah cara dan meluluskan pembinaan lebih 511,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.
"Selama bertahun-tahun, perumahan mampu milik sering dikaitkan dengan reka bentuk yang kurang menarik, kemudahan yang tidak mencukupi dan kualiti hidup yang lebih rendah.
"Hari ini, kami sedang mengubah persepsi itu. Melalui kerjasama yang lebih kukuh dengan sektor swasta dan standard pembangunan yang lebih tinggi, perumahan mampu milik di Malaysia semakin ditakrifkan bukan lagi sebagai satu kompromi, tetapi melambangkan maruah dan kualiti," katanya.
Beliau berkata pembangunan PR1MA yang baru dilancarkan di Pulau Pinang menawarkan harga rumah daripada kira-kira RM300,000 dengan kemudahan setanding dengan pembangunan kediaman swasta termasuk kolam renang, taman permainan kanak-kanak, gimnasium dan ruang rekreasi berlandskap.
Nga berkata transformasi Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Residensi Rakyat (PRR) menggabungkan ciri-ciri lebih hijau seperti sistem fotovolta solar, kawasan pertanian bandar dan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi meningkatkan kualiti pembinaan, di samping mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Aspek keterhubungan, katanya, ialah satu lagi keutamaan dengan KPKT mengintegrasikan konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD) dalam projek perumahan awam untuk meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan awam, khususnya bagi komuniti yang kurang bernasib baik.
Berhubung pembangunan komuniti, Nga berkata bandar memerlukan lebih daripada sekadar infrastruktur fizikal, sambil menegaskan bahawa ruang awam memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesejahteraan mental, mengukuhkan perpaduan sosial dan hubungan kejiranan yang lebih erat.
Bagi menyokong matlamat ini, beliau berkata Kerajaan MADANI merancang untuk membangunkan 1,000 Taman MADANI di seluruh negara dalam tempoh sedekad akan datang. Setakat ini, sebanyak 216 taman komuniti telah siap dibina dalam tempoh 24 bulan lepas dengan mengubah tanah yang kurang dimanfaatkan kepada ruang rekreasi.
Nga berkata kerajaan juga mengenal pasti empat projek perintis di Putrajaya, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk memperkenalkan model sekolah bertingkat sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan di kawasan bandar yang padat penduduk.
Sementara itu, persidangan berkenaan menghimpunkan lebih 200 penggubal dasar, perancang bandar, arkitek, pemaju, ahli akademik dan pemimpin industri bagi membincangkan masa depan pembangunan bandar yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.
Bertemakan "Innovation in Urban Development: Creativity vs Compliance", persidangan itu menjadi platform bagi pertukaran idea dan amalan terbaik untuk memperkukuh sistem perancangan bandar Malaysia dalam menangani cabaran seperti perubahan iklim, transformasi digital, perubahan demografi dan pembandaran yang pesat.
-- BERNAMA
