PUCHONG, 29 Jun (Bernama) -- Telecommunication Engineering College (TEC) melancarkan Pusat Latihan Qualcomm Academy yang pertama di negara ini, sekali gus merealisasikan hasrat Malaysia untuk meningkatkan kemahiran kira-kira 20,000 individu dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi 5G.
Inisiatif berkenaan, yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Qualcomm Technologies, Inc. bermatlamat mempercepat pembangunan bakat sedia ada untuk memenuhi keperluan industri serta memperkukuh tenaga kerja digital negara menerusi latihan berstruktur dan program pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pengarah TEC Suresh Kumar Kandasamy berkata platform global berkenaan menyediakan repositori pengetahuan yang luas dalam bidang teknologi maklumat, AI dan 5G untuk dimanfaatkan oleh pasaran tempatan.
“Kami memanfaatkan platform terbabit bagi memperkasakan golongan belia dan tenaga kerja sedia ada dengan mempertingkat kemahiran dan pengetahuan mereka dalam teknologi 5G dan AI supaya kami mempunyai pelbagai kes penggunaan yang boleh dipertingkatkan yang boleh dimanfaatkan dan diamalkan dalam industri.
“Selain itu, kami berhasrat untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran dan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja negara," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran berkenaan di sini hari ini.
Pelancaran itu dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang Abbas Salimmi Che Azmi dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Dr Azmi Ahmad.
Suresh berkata susulan pelancaran berkenaan, pihaknya akan memulakan projek perintis bersama beberapa institusi pengajian tinggi bagi memperluas akses kepada pembelajaran AI dan 5G.
Sementara itu, Abbas Salimmi berkata program diperkenalkan TEC itu merupakan usaha bermakna khususnya bagi memberi pendedahan kepada golongan muda berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata inisiatif seumpama itu platform terbaik untuk melahirkan modal insan berkemahiran, di samping menggesa pihak berkepentingan supaya menumpukan usaha dalam melahirkan usahawan sepenuh masa yang berupaya menerajui teknologi berasaskan AI dan robotik pada masa akan datang.
Pada majlis berkenaan, TEC menyampaikan surat tawaran rasmi kerjasama kepada Universiti Malaya (UM), Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) sebagai langkah permulaan bagi melaksanakan inisiatif perintis pembangunan bakat.
Sebagai sebuah institusi TVET terkemuka di Malaysia, TEC menumpukan kepada pembelajaran berasaskan kompetensi dan latihan amali dalam sektor kritikal seperti keselamatan siber, semikonduktor dan pengkomputeran awan.
-- BERNAMA
