KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) yang dilancarkan hari ini, merupakan ikhtiar strategik untuk mempersiapkan negara menghadapi era kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi berasaskan data.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelan berkenaan turut memperkukuh daya tahan Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik serta persaingan ekonomi digital global.
“Keutamaan kita ialah memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan tersusun, berdisiplin dan berimpak agar dapat memberi manfaat kepada rakyat, memperkukuh daya saing perniagaan serta memacu Malaysia ke arah sebuah Negara AI yang inklusif menjelang 2030,” kata beliau.
Anwar hari ini melancarkan MD2030, satu rangka tindakan nasional bagi tempoh 2026-2030, yang menandakan peralihan drastik fokus negara daripada pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi tempatan.
Perdana Menteri berkata ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), beliau turut menegaskan bahawa perkhidmatan digital kerajaan perlu dibangunkan secara dalaman di bawah penyelarasan Kementerian Digital menerusi Jabatan Digital Negara.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan data negara, mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta membangunkan kepakaran digital sektor awam.
“Insya-Allah dengan iltizam seluruh jentera Kerajaan MADANI, MD2030 akan menjadi agenda nasional yang mengubah cara kita bekerja, berkhidmat dan membina masa depan negara,” kata beliau.
-- BERNAMA
