KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti cadangan mewujudkan National Cerebral Palsy Registry bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada pesakit palsi serebrum (CP) di negara ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan itu bertujuan memperluas akses pesakit kepada kemudahan rehabilitasi, termasuk menerusi kerjasama dengan pusat rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“KKM menyambut baik cadangan mewujudkan National Cerebral Palsy Registry serta meneliti usaha memperluas akses pesakit kepada kemudahan rehabilitasi, termasuk melalui kerjasama dengan pusat rehabilitasi PERKESO,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berkaitan cadangan mewujudkan pusat rehabilitasi di bawah PERKESO.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata KKM membantu pesakit CP mendapatkan peralatan rehabilitasi menerusi Tabung Bantuan Perubatan, Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) dan Majlis Kanser Nasional, berdasarkan penilaian klinikal serta kelayakan pesakit.
“Bagi pesakit yang tidak memenuhi kriteria bantuan, khidmat kaunseling dan preskripsi peralatan turut disediakan bagi memudahkan akses kepada bantuan daripada NGO dan agensi berkaitan,” katanya.
Dzulkefly berkata walaupun kementerian tidak menyediakan bantuan kewangan khusus secara langsung kepada kanak-kanak pesakit CP kerana perkara itu di bawah bidang kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat, KKM tetap menyalurkan bantuan dalam bentuk peralatan rehabilitasi.
Data KKM menunjukkan sebanyak 1,076 kes CP telah didaftarkan serta menerima intervensi awal di klinik kesihatan seluruh negara sejak 2016.
-- BERNAMA
