AM

ANWAR PUJI PENJAWAT AWAM TINGKAT PRESTASI MALAYSIA DALAM PENARAFAN DAYA SAING DUNIA

24/06/2026 04:53 PM

ALOR GAJAH, 24 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memuji kecekapan penjawat awam negara kerana berjaya meningkatkan prestasi Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD).

Anwar berkata peningkatan kedudukan Malaysia itu turut menerima pujian daripada Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov ketika kunjungan beliau ke negara berkenaan baru-baru ini.

Malaysia melonjak ke tangga ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 IMD, meningkat lapan anak tangga daripada kedudukan ke-23 tahun lepas.

“Prestasi kita (Malaysia) dalam tiga setengah tahun ini bukan sebab Anwar Perdana Menteri, tidak… (tetapi) sebab sistem (pentadbiran penjawat awam) itu, dan rakan-rakan dalam pasukan… sebab penjawat awam. 

“Presiden (Berdimuhamedov) sebut World Competitiveness Index (Penarafan Daya Saing Dunia), anda telah menunjukkan prestasi yang sangat baik. Saya kata terima kasih (kepada Presiden Serdar), tetapi saya tahu ini berlaku kerana pasukan perkhidmatan awam… kerana kecekapan dan perkhidmatan itu bukan hasil usaha saya seorang, tetapi seluruh pasukan di seluruh negara,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE) di Simpang Ampat di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata kejayaan Malaysia turut menarik perhatian Berdimuhamedov yang mahu menghantar pasukan penjawat awamnya bagi mengadakan perbincangan dengan penjawat awam negara untuk meningkatkan prestasi mereka.

Beliau berkata hal itu satu pengiktirafan kepada Malaysia yang masih dikategorikan sebagai negara sedang membangun.

“Itu bos dia (Berdimuhamedov) kata, beliau nak hantar pasukan penjawat awamnya, bincang dengan pasukan penjawat awam kita. Ya, pujiannya satu, tetapi maknanya kita telah bergerak maju,” kata Anwar.

Hadir sama pada program sesi santai itu ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

--  BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan