AM

PENDUDUK MENGELUH RUMAH RETAK, PAGAR RUNTUH AKIBAT AKTIVITI PENGAMBILAN MINERAL

18/06/2026 05:10 PM

IPOH, 18 Jun (Bernama) -- Lebih 30 keluarga di Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Batu 10, Ulu Chepor dekat sini mendakwa aktiviti pengambilan mineral berhampiran kawasan kediaman mereka sejak beberapa tahun lepas, menyebabkan kerosakan kepada rumah serta menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan penduduk.

Penduduk mendakwa gegaran akibat aktiviti letupan dan pergerakan jentera berat selain habuk halus yang berterbangan menyebabkan kediaman lebih 30 keluarga daripada kira-kira 500 keluarga dikenal pasti mengalami pelbagai kerosakan.

Pesara Harun Aziz, 63, yang telah menetap di kawasan itu selama enam tahun berkata dia mula menyedari berlaku keretakan pada dinding rumah selain berdepan masalah habuk yang semakin serius.

“Setiap kali berlaku letupan, rumah dan dinding akan bergegar. Biasanya gegaran berlaku pada waktu pagi dan petang. Apabila lori keluar masuk membawa mineral, habuk halus akan berterbangan dan melekat pada tingkap rumah serta kenderaan.

“Kalau pintu atau tingkap dibuka, habuk akan masuk ke dalam rumah, malah kami bimbang keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan penduduk, terutamanya kanak-kanak dan mereka yang menghidap asma,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Harun turut mendakwa aktiviti berkenaan kadangkala masih diteruskan selepas waktu yang dibenarkan, termasuk pada malam serta hujung minggu.

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Md Salleh, 69, berkata keadaan hakisan berhampiran kediamannya semakin membimbangkan sejak dia menetap di kawasan itu pada 2011.

Aliran air yang pada asalnya hanya kira-kira 0.6 meter lebar kini mencecah hingga hampir tiga meter dan menjadi semakin dalam sehingga menyebabkan pagar rumahnya runtuh.

“Dulu di belakang rumah saya hanya ada aliran air kecil yang turun dari kawasan kejadian hinggalah pada tahun 2016 saya terpaksa mengeluarkan kira-kira RM15,000 untuk membina struktur penghadang berbentuk ‘L’ bagi menahan aliran air daripada melebar ke rumah saya.

“Bagaimanapun, menjelang tahun ini hakisan semakin serius sehingga struktur itu rosak dan dinding pagar rumah saya runtuh. Saya percaya air yang turun dengan deras terutama ketika hujan lebat mungkin berpunca daripada kolam takungan air di kawasan lebih tinggi,” katanya.

Aduan berhubung masalah itu telah dikemukakan kepada beberapa agensi berkaitan sebelum ini, namun mendakwa belum menerima sebarang penyelesaian yang memuaskan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata tiada penggunaan bahan letupan dibenarkan dalam aktiviti pengambilan mineral di kawasan berkenaan.

Kali terakhir permohonan surat sokongan kerja peletupan batu bagi projek pembangunan di kawasan itu dikemukakan kepada JMG adalah pada 2023 bagi tempoh tiga bulan dan tiada permohonan lanjutan oleh pemohon sehingga kini. 

"Kaedah yang digunakan oleh pihak pemohon adalah menggunakan kaedah mekanikal hidraulik sepenuhnya bagi memecahkan batuan.

“Pengambilan mineral dijalankan menggunakan alat pemecah batu hidraulik (hydraulic rock splitter) yang digerakkan oleh unit enjin diesel kecil mudah alih untuk memisahkan batuan teras. 

"Bagi ketulan batuan besar (rock boulder) pula operasi hanya menggunakan jentera rock breaker untuk kerja-kerja pemecahan sekunder. Kedua-dua kaedah mekanikal ini berfungsi tanpa melibatkan sebarang letupan kimia, tekanan gas, ataupun bunyi dentuman kuat," katanya ketika dihubungi Bernama.

--  BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan