JOHOR BAHRU, 16 Jun (Bernama) -- Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang bakal disatukan di bawah entiti pelaporan tunggal “Pelabuhan Johor” dalam Lloyd’s List bermula tahun ini, selepas mendapat perakuan rasmi penerbit ranking maritim global berkenaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata langkah penggabungan pentadbiran data pelaporan daya pemprosesan kontena tersebut, telah disahkan menerusi surat kelulusan rasmi daripada institusi yang berpangkalan di London itu kepada Kementerian Pengangkutan pada 29 Mei.
Beliau berkata penyatuan data tersebut, diyakini mampu meletakkan nama Pelabuhan Johor dalam kelompok 10 pelabuhan tersibuk di dunia menjelang akhir tahun ini.
“Sebelum ini, negara kita sudah mempunyai sebuah pelabuhan dalam kelompok 10 terbaik dunia melalui Pelabuhan Klang, yang menggabungkan terminal Westports dan Northport.
“Bagi wilayah selatan pula, jika kita bergantung kepada pelaporan satu pelabuhan sahaja, kedudukannya agak rendah. Malah, PTP secara sendirian mempunyai daya pemprosesan yang lebih besar daripada Pelabuhan Johor,” katanya semasa berucap pada program Dampingi Rakyat di Pelabuhan Johor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai pemilihan nama entiti tersebut, Loke menjelaskan bahawa penjenamaan semula di bawah nama Pelabuhan Johor, bersandarkan kepada faktor geografi negeri yang lebih luas dan inklusif.
“Pihak pengurusan PTP harus menerima hakikat bahawa konsolidasi ini akan menggunakan nama Pelabuhan Johor, kerana skala nama ‘Johor’ itu lebih besar dan luas berbanding Tanjung Pelepas yang merujuk kepada satu kawasan sahaja. Di dalam Lloyd's List kelak, ia akan dikenali sebagai Pelabuhan Johor yang mengambil kira prestasi kedua-dua pelabuhan,” katanya.
Dengan kelulusan rasmi daripada pihak Lloyd's List itu, Loke berkata pihaknya yakin bahawa Malaysia bakal melakar sejarah baharu, dengan menempatkan dua buah pelabuhannya dalam senarai kelompok elit global tersebut bersama Pelabuhan Klang.
Loke berkata pengiktirafan antarabangsa itu, bukan sahaja memperkukuh status Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang disegani, malah berupaya menawarkan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti dan berpendapatan lumayan kepada pasaran kerja tempatan, khususnya di Johor.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Johor Port Berhad, atas usaha serta komitmen berterusan dalam memajukan sektor logistik negara. Kita sama-sama menanti pengumuman rasmi daripada Lloyd's List tidak lama lagi,” katanya.
Pada tahun lepas, Pelabuhan Klang secara rasmi berada dalam kelompok 10 pelabuhan kontena terbaik dunia, selepas tersenarai dalam Senarai Lloyds bagi 100 Pelabuhan Utama Dunia 2025, hasil pengendalian 14.64 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), manakala PTP berada pada kedudukan ke-15.
-- BERNAMA
