JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS DEDAH TAK BAI KINI TITIK MULA LALUAN BAHARU SINDIKET PENYELUDUPAN

12/06/2026 05:15 PM

KOTA BHARU, 12 Jun (Bernama) -- Polis mengesan sindiket penyeludupan yang kini lebih banyak menggunakan laluan sungai dan pesisir pantai dari Tak Bai, Thailand termasuk laluan air di kawasan Tumpat yang boleh sampai ke Sungai Kelantan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata perubahan modus operandi berkenaan, dikesan terutama pada tahun ini apabila sindiket lebih banyak menggunakan laluan laut dan pesisir pantai.

Beliau berkata sindiket menggunakan laluan melalui sungai-sungai di Tumpat dan kawasan pulau termasuk sekitar Pulau Tok Kong.

“Pada tahun ini kita melihat perubahan modus operandi secara ketara. Sekarang kumpulan sindiket lebih menggunakan laluan laut dan pesisir pantai.

“Mereka masuk melalui sungai-sungai di Tumpat dan pulau-pulau sekitar kawasan itu. Banyak laluan sungai di kawasan berkenaan boleh sampai ke Sungai Kelantan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata sindiket turut menggunakan laluan pesisir pantai dari Tak Bai sebelum memasuki kawasan Kuala Besar, Semerak, Pengkalan Chepa dan Pantai Sabak, malah ada yang bergerak sehingga ke Besut, Terengganu.

Mohd Yusoff berkata penggunaan laluan berkenaan terbukti, menerusi beberapa tangkapan dadah yang dilakukan polis di kawasan pantai sebelum ini.

“Kita pernah membuat tangkapan dadah di Pantai Sabak dan Semerak dengan rampasan melebihi 100 kilogram syabu yang dibawa menggunakan bot,” katanya.

Mengulas mengenai pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand, beliau berkata sebanyak 91 pangkalan haram yang dibina di atas tanah kerajaan, telah dirobohkan setakat ini.

Beliau berkata masih terdapat kira-kira empat atau lima lagi pangkalan haram yang berada di atas tanah persendirian dan perkara itu masih dalam tindakan pihak berkuasa tempatan.

Mohd Yusoff berkata setakat ini semua pangkalan haram yang telah dikenal pasti di tanah kerajaan telah dirobohkan.

Beliau berkata kewujudan pangkalan haram di sebelah Thailand pula, merupakan isu yang berada di bawah bidang kuasa negara berkenaan.

Mohd Yusof berkata struktur di negara jiran itu, termasuk kemudahan seperti tangga dan tembok telah lama wujud, namun tindakan pihak berkuasa Malaysia tertumpu kepada pangkalan haram yang berada dalam negara.

Kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand membabitkan jarak kira-kira 163 kilometer (km), dengan 91km daripadanya merangkumi kawasan perairan Sungai Golok. Pemantauan ini merentasi beberapa daerah utama termasuk Tumpat, Rantau Panjang (Pasir Mas), Tanah Merah, dan Jeli.

Sebelum ini, larangan rentas sempadan secara haram melalui pangkalan atau jeti haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand (terutama di kawasan Sungai Golok) berkuat kuasa sejak 1 Dis 2024. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan