AM

BOT TENGGELAM: AHLI KELUARGA HARAP DUA NELAYAN HILANG DITEMUKAN SELAMAT

12/06/2026 04:06 PM

CHUKAI, 12 Julai (Bernama) -- Keluarga kepada dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dipercayai tenggelam di perairan Kemaman, kira-kira 27.9 batu nautika dekat sini pada Rabu lepas, masih menaruh harapan agar kedua-duanya ditemukan dalam keadaan selamat.

Dua nelayan yang hilang itu ialah tekong, Azan Muda, 68, dan Nordin Mohammad, 61, manakala seorang lagi nelayan, Mahadi Jusoh, 51, ditemukan selamat oleh nelayan lain di perairan Kemaman pada 10.30 pagi semalam.

Isteri kepada Azan, Salma Abdullah, 65, berkata dia berharap suaminya yang berpengalaman sebagai nelayan sejak berusia 13 tahun serta pernah berkhidmat sebagai juruselam bot laut dalam mampu menyelamatkan diri selepas bot yang dinaikinya tenggelam dalam kejadian ribut pada 12.30 tengah malam, Rabu lepas.

“Saya rasakan mereka selamat. Kalau Allah beri usia panjang, insya-Allah jumpa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Geliga, di sini hari ini.

Salma berkata suaminya keluar rumah untuk ke laut ketika dia baru selesai membaca al-Quran pada 11 pagi, Selasa, dan terkejut apabila anaknya memaklumkan suaminya hilang di laut pada 4 petang semalam.

Lazimnya, Salma berkata suaminya keluar menangkap ikan selama tiga hari dua malam, namun ada kalanya pulang lewat disebabkan masalah teknikal seperti kerosakan enjin bot.

“Pada kira-kira 11 pagi semalam, saya cuba menghubungi suami selepas didapati dia tidak pulang-pulang, namun panggilan itu tidak dijawab dan saya tidak mengesyaki kejadian buruk berlaku sebelum seorang daripada anak memaklumkan kejadian yang menimpa suami,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Azizah Rani, 45, isteri kepada Nordin, turut berharap suaminya ditemukan selamat dan berada dalam keadaan baik.

“Kali terakhir saya bertemu dengan suami pada pagi Selasa sebelum dia turun ke laut. Biasanya jika suami berada di laut, saya jarang menghubunginya kerana tiada liputan telekomunikasi,” katanya.

Nor Azizah berkata suaminya menjadi kru bot milik Azan di sini sejak enam bulan lepas dan sebelum ini merupakan kru beberapa buah bot di Kuala Dungun dan Kuala Paka.

Sementara itu, Pengarah Maritim Zon Kemaman Abdul Halim Hamzah dalam kenyataan berkata sebanyak 24 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang masih hilang itu.

Beliau berkata APMM menggunakan sebuah bot Penggalang 16 dan KM Bagahak dalam operasi berkenaan.

“Operasi SAR itu disambung semula pada 7 pagi selepas dihentikan sementara pada 9 malam tadi,” katanya sambil menambah setakat ini, tiada mangsa yang hilang ditemukan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan