DUNIA

BURSA MALAYSIA KEKAL TINGGI PADA TENGAH HARI DISOKONG PENINGKATAN SELERA RISIKO

12/06/2026 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dalam wilayah positif hari ini apabila selera risiko pelabur bertambah baik susulan pemulihan kukuh Wall Street semalaman.

Pada 12.30 tengah hari,  FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.44 mata kepada 1,680.97 daripada paras 1,679.53 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 5.34 mata lebih tinggi pada 1,684.87 dan bergerak antara 1,679.72 hingga 1,685.39 sepanjang sesi pagi.

Sentimen pasaran secara keseluruhannya seimbang, bagaimanapun, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 481 berbanding 435, manakala 516 kaunter tidak berubah, 1,271 tidak diniagakan dan 33 digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.71 bilion saham bernilai RM1.06 bilion.

Malacca Securities dalam nota penyelidikannya berkata sentimen positif susulan pemulihan kukuh pasaran saham Amerika Syarikat (AS) semalaman dijangka turut menyokong prestasi Bursa Malaysia hari ini.

"Meskipun FBM KLCI mencatatkan pemulihan, petunjuk teknikal masih menunjukkan momentum yang lemah ketika ini. Paras rintangan dikesan pada 1,694 hingga 1,699 manakala paras sokongan berada pada 1,659 hingga 1,664,” katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura naik 0.39 peratus kepada 5,007.63, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 2.56 peratus kepada 24,740.41, Kospi Korea Selatan melonjak 8.37 peratus kepada 8,413.92, manakala Nikkei Jepun menokok 3.71 peratus kepada 66,623.07.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM10.70, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.79, Tenaga Nasional meningkat 12 sen kepada RM14.42, CIMB naik lima sen kepada RM7.35 dan IHH Healthcare menokok empat sen kepada RM8.71.

Bagi saham aktif, Zetrix AI meningkat setengah sen kepada 81.5 sen, Top Glove dan Mega Fortris masing-masing susut dua sen kepada 81 sen dan RM1.59, manakala VS Industry dan Velesto tidak berubah pada 20 sen dan 30 sen.

Antara kaunter untung utama, Nestle melonjak 96 sen kepada RM95.46, Fraser and Neave menokok 76 sen kepada RM26.56, Petronas Dagangan meningkat 56 sen kepada RM18.28, Concrete Engineering naik 36 sen kepada RM4.39 dan Allianz Malaysia menokok 34 sen kepada RM20.90.

Dalam kalangan kaunter rugi utama, Kuala Lumpur Kepong merosot 38 sen kepada RM20.56, Paragon Union susut 27 sen kepada RM4.39, Petronas Chemicals berkurangan 16 sen kepada RM5.64 dan Vitrox turun 16 sen kepada RM7.12.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 13.03 mata kepada 12,466.63, Indeks FBM Top 100 menambah 11.89 mata kepada 12,310.32, Indeks FBM ACE meningkat 7.02 mata kepada 4,678.78 dan Indeks FBM Mid 70 naik 22.94 mata kepada 17,935.36, manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 11.67 mata kepada 12,432.07.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 73.55 mata kepada 19,577.21, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.92 mata kepada 197.56, Indeks Tenaga turun 5.44 mata kepada 779.42 dan Indeks Perladangan berkurangan 72.84 mata kepada 8,732.99.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan