KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Weststar Maxus Sdn Bhd dan perniagaan e-mobiliti Yinson GreenTech, drivEV, hari ini memeterai perjanjian strategik untuk pemerolehan 300 unit van komersial eletrik Maxus eDeliver 5.
Weststar Maxus bertindak sebagai pengedar sah kenderaan Maxus di Malaysia, manakala jenama Maxus yang dimiliki sepenuhnya oleh SAIC Motor Corp Ltd, iaitu pengeluar automotif yang beribu pejabat di Shanghai, China.
Perjanjian itu tandatangani di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Presiden SAIC Maxus Automotive Co Ltd Yang Haijing, Pengarah Urusan Weststar Group Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Pengerusi Eksekutif Yinson Holdings Bhd Lim Han Weng.
Ketua Pegawai Eksekutif Weststar Maxus Syed Muhammad Ammar Syed Azman berkata perkongsian itu mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat dalam menyokong elektrifikasi segmen kenderaan komersial.
“Maxus eDeliver 5 dibina khas untuk masa depan logistik, dan kami berbangga dapat bekerjasama dengan Yinson GreenTech dalam menyokong perniagaan ketika mereka beralih ke arah penyelesaian mobiliiti yang lebih bersih dan mampan,” katanya.
Pengarah Urusan Pengecasan dan Pajakan kenderaan elektrik (EV) Yinson GreenTech Kelvin Soon berkata kerjasama itu akan membantu pengendali kenderaan beralih kepada EV menerusi penyelesaian pengecasan dan pajakan.
“Kami mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam membantu perniagaan beralih kepada elektrik menerusi pilihan pajakan EV kami yang komprehensif, infrastruktur pengecasan pintar dan penyelesaian perisikan armada digital proprietari, sambil membantu sektor pengangkutan logistik komersial mencapai penghantaran peringkat akhir yang mampan serta cekap,” katanya.
Sementara itu, Maxus eDeliver 5 dilengkapi dengan bateri 64 kilowatt-jam yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 335 kilometer di bawah piawaian Prosedur Ujian Kenderaan Ringan Terharmoni Sedunia (WLTP) dan mempunyai kapasiti muatan sehingga 1,200 kilogram.
Susulan majlis tersebut, Weststar Maxus turut mempamerkan beberapa model di KLIMS 2026, termasuk termasuk Maxus eDeliver 5, trak pikap diesel rupa baharu Maxus T60, trak pikap Terron 9, trak pikap elektrik eTerron 9 dan van tingkap V90.
-- BERNAMA
