KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Malaysia memperkukuh kerjasama dengan United Nations University (UNU) dalam bidang penyelidikan, pembangunan kapasiti dan pertukaran akademik susulan pertemuan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan Rektor universiti itu Prof Tshilidzi Marwala hari ini.
Zambry berkata Marwala yang juga Under-Secretary-General of the United Nations telah mengadakan lawatan ke pejabat beliau bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan pendidikan tinggi.
Menurut beliau, pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pembangunan modal insan, kecerdasan buatan (AI), inovasi serta peranan universiti dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks.
“Kami turut membincangkan potensi kerjasama antara Malaysia dan UNU dalam bidang penyelidikan, pembangunan kapasiti, pertukaran akademik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata hubungan yang lebih erat antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dengan rangkaian akademik antarabangsa seperti UNU mampu membuka lebih banyak peluang kepada penyelidik, pensyarah dan mahasiswa negara.
“Saya percaya hubungan yang lebih erat antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dengan rangkaian akademik antarabangsa seperti UNU akan membuka lebih banyak peluang kepada penyelidik, pensyarah dan mahasiswa negara untuk terlibat dalam agenda pembangunan global serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
UNU ialah universiti global yang ditubuhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1973 sebagai pusat pemikir dan institusi pascasiswazah antarabangsa bagi menyokong usaha organisasi itu dalam penyelidikan, pembangunan dasar dan pembinaan kapasiti.
Beribu pejabat di Tokyo, UNU mempunyai rangkaian institut penyelidikan di pelbagai negara yang memberi tumpuan kepada pelbagai isu global.
-- BERNAMA
