GUA MUSANG, 11 Jun (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memberi tumpuan kepada empat negeri yang merekodkan kadar air tidak berhasil (NRW) tertinggi iaitu Perlis, Kelantan, Kedah dan Pahang, menerusi pelaksanaan projek infrastruktur air secara berterusan hingga 2050 bagi meningkatkan kecekapan sistem bekalan air negara.
Pengerusi PAAB Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata berdasarkan data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Perlis merekodkan kadar NRW tertinggi iaitu 61.5 peratus, diikuti Kelantan 53.7 peratus, Kedah 51.1 peratus dan Pahang 48.9 peratus.
Beliau berkata keempat-empat negeri itu, diberi keutamaan kerana kadar kehilangan air terawat yang tinggi bukan sahaja menjejaskan kecekapan sistem bekalan air negeri, malah menyumbang kepada kadar NRW kebangsaan iaitu sekitar 34 peratus.
“Jika kadar NRW di empat negeri ini dapat dikurangkan, ia akan memberi impak besar kepada pengurangan NRW pada peringkat nasional,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak, di sini hari ini.
Jaseni berkata antara punca utama NRW tinggi ialah rangkaian paip usang yang melepasi jangka hayat, selain ketidakcekapan sistem pengukuran penggunaan air.
Beliau berkata di Kelantan, masih terdapat kira-kira 4,005 kilometer paip asbestos simen (AC) yang perlu diganti dan proses berkenaan dijangka mengambil masa hingga 20 tahun jika dilaksanakan pada kadar 200 kilometer setahun.
Selain penggantian paip usang, Jaseni berkata sebanyak 63,000 meter air di negeri itu juga perlu ditukar, bagi meningkatkan ketepatan bacaan penggunaan air dan membantu mengurangkan kadar NRW dengan lebih berkesan.
“PAAB telah mengemukakan cadangan pelaburan kira-kira RM1 bilion bagi tempoh 2027 hingga 2031 untuk program penggantian paip di Kelantan, tertakluk kepada kelulusan SPAN menerusi pelan perniagaan operator air negeri.
“Pelaksanaan projek infrastruktur air memerlukan pembiayaan yang besar dan tarif air perlu diselaraskan secara berperingkat, bagi memastikan operator air mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menampung kos operasi serta pembangunan sistem bekalan air,” katanya.
Beliau berkata PAAB akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan operator air, bagi memastikan pelaksanaan projek pengurangan NRW dapat dipercepatkan demi menjamin kelestarian bekalan air serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.
-- BERNAMA
