KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Projek pembangunan ladang solar berkapasiti 400 megawatt (MW) bernilai RM1.2 bilion di atas tanah wakaf Konsesi Chenderong di Kemaman, Terengganu bakal memperkukuh peranan institusi wakaf sebagai pemacu ekonomi hijau negara serta menjana sumber pendapatan rakyat.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Zulkifli Ali berkata pelaksanaan projek tenaga baharu itu membuktikan aset wakaf mampu diperkasakan secara profesional, produktif dan lestari tanpa menjejaskan tujuan asal pewakafannya.
Beliau berkata projek itu merupakan manifestasi iltizam antara institusi wakaf, sektor korporat dan kerajaan negeri dalam meneroka model pembangunan yang berdaya maju, mampan serta memberi pulangan jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan.
“Ia membuktikan komitmen MAIDAM sebagai pemegang amanah tunggal wakaf negeri dalam memastikan pembangunan harta wakaf sama ada harta alih atau tidak alih dilaksanakan menerusi projek berimpak tinggi yang menghasilkan pulangan dan manfaat lestari, bernilai tinggi serta patuh syariah.
“Ini contoh sebenar konsep wakaf yang bukan sahaja memelihara aset, bahkan mengembangkan manfaatnya untuk generasi semasa dan akan datang,” katanya pada Majlis Menandatangani Projek Solar antara MAIDAM, Anglo-Eastern Plantation (AEP) dan reNIKOLA Holdings di sini, hari ini.
Majlis itu melibatkan pemeteraian “Tribute Arrangement Agreement” antara MAIDAM, AEP selaku pemajak tanah wakaf Konsesi Chenderong dan reNIKOLA sebagai pemaju projek berkenaan, disaksikan Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM Datuk Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan, Pengerusi reNIKOLA Tan Sri Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Pengarah Urusan ReNIKOLA Boumhidi Abdelali.
Ladang solar yang dibangunkan di atas tanah seluas 2,023.43 hektar itu merupakan sebahagian daripada projek solar skala besar (LSS) dan dijangka mampu menjana kira-kira 930,800 MWh tenaga elektrik setahun.
Sementara itu, Mohd Azmi berkata projek itu mencerminkan keyakinan dan komitmen bersama antara institusi wakaf, sektor swasta serta kerajaan negeri dalam membangunkan aset secara mampan demi manfaat rakyat dan negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri melihat projek berkenaan selari dengan agenda pembangunan masa hadapan yang menekankan kemampanan, kepelbagaian sumber ekonomi dan pembangunan sektor bernilai tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Terengganu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
“Selain menyokong agenda tenaga hijau negara, projek ini turut berpotensi mewujudkan sekitar 4,270 peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu. Inilah manifestasi sebenar wakaf yang bukan sahaja memelihara aset, malah mengembangkan manfaatnya kepada generasi semasa dan akan datang,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Azmi turut mengingatkan supaya projek itu dilaksanakan secara berhemah dengan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar, biodiversiti dan tadbir urus tanah yang baik agar pembangunan ekonomi yang dirancang dapat memberi manfaat berpanjangan kepada generasi akan datang.
-- BERNAMA
