AM

MAJLIS LENTERA BATIK 2026 PERKENAL BATIK PERAK SEBAGAI IDENTITI TEKSTIL NEGERI

10/06/2026 03:38 PM

TANJONG MALIM, 10 Jun (Bernama) -- Majlis Lentera Batik 2026 membawa misi besar memperkenalkan Batik Perak sebagai indentiti seni tekstil negeri yang unik dan bernilai tinggi, berteraskan sejarah, budaya serta kreativiti tempatan yang terus berkembang seiring peredaran zaman.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam sembah ucapannya berkata majlis itu, menjadi wadah yang mempertemukan tradisi dengan inovasi, menghimpunkan warisan dengan kreativiti, serta menghubungkan masa lalu dengan masa hadapan.

“Melalui adibusana yang bakal dipersembahkan, kita berpeluang menyaksikan bagaimana helaian kain dan jalinan corak mampu berbicara tentang sejarah, identiti serta jati diri sesebuah bangsa,” katanya pada majlis bertemakan “Menyinari Seni Adibusana Warisan Perak” itu yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di sini hari ini.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat pada majlis itu.

Md Amin berkata universiti turut memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan warisan budaya dengan generasi muda menerusi pendidikan dan inovasi kreatif.

“Melalui penglibatan aktif mahasiswa dalam keseluruhan proses penghasilan koleksi ini, UPSI bukan sahaja melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi, malah generasi pewaris budaya yang memahami nilai sejarah, seni dan identiti bangsa.

“Inilah pendekatan pendidikan holistik yang ingin terus diperkasakan oleh universiti,” kata Md Amin.

Majlis itu turut menampilkan hasil kolaborasi strategik antara Perbadanan Menteri Besar Perak, Kraftangan Malaysia dan UPSI, dalam pembangunan serta penghasilan koleksi Batik Cura Perak.

Sebanyak 30 rekaan eksklusif dipersembahkan menerusi pelbagai kategori busana termasuk kemeja lelaki, baju kurung, baju kebaya serta skirt dan blaus.

Keseluruhan proses penghasilan koleksi tersebut digerakkan oleh mahasiswa UPSI daripada Fakulti Teknikal dan Vokasional, meliputi pembangunan idea dan konsep, rekaan busana, pemilihan fabrik, proses jahitan serta pengurusan persembahan pentas.

Keunikan majlis turut terserlah, apabila koleksi berkenaan diperagakan oleh pelajar UPSI termasuk mahasiswa antarabangsa dari Uzbekistan, Bangladesh, Austria, Kazakhstan, Jerman, Pakistan dan China, sekali gus membuktikan bahawa warisan Batik Perak mempunyai daya tarikan sejagat yang mampu merentasi sempadan budaya serta negara.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan