KOTA KINABALU, 7 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan penuh pemberian khas 40 peratus kepada Sabah adalah antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PH Sabah 2025 yang berlangsung di sini hari ini.
Pengerusi PH Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata beliau akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan bayaran 40 peratus itu dapat diselesaikan sebelum pilihan raya akan datang kerana perkara berkenaan mempunyai banyak implikasi kepada negeri itu.
Beliau berkata PH Sabah menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mei lepas yang menaikkan geran khas interim kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Kita menyambut baik pengumuman tersebut dan memang dari segi rekod yang tertinggi dalam sejarah. Namun kita juga membawa aspirasi daripada rakyat Sabah keseluruhannya bahawa pembayaran penuh 40 peratus itu mesti dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini hari ini.
Hadir sama kedua-dua Timbalan Pengerusi PH Sabah, iaitu Datuk Phoong Jin Zhe merangkap Pengerusi DAP negeri dan Datuk Lahirul Latigu yang juga Pengerusi Amanah Sabah.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata beliau akan terus mengadakan sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan bayaran 40 peratus itu.
Beliau berkata PH Sabah turut berharap peruntukan interim RM1.5 bilion itu digunakan secara khusus untuk menyelesaikan isu infrastruktur asas di Sabah, terutama membabitkan masalah air, bekalan elektrik dan jalan raya.
Sementara itu, Phoong berkata isu 40 peratus bukan sekadar aspirasi rakyat Sabah, tetapi berkaitan hak negeri yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, bayaran interim RM1.5 bilion itu merupakan peningkatan besar berbanding sebelum ini.
-- BERNAMA
