PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu beralih daripada budaya pematuhan proses semata-mata kepada budaya kerja berteraskan impak dan akauntabiliti bagi memastikan setiap dasar serta program benar-benar membawa perubahan kepada rakyat luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata KKDW tidak boleh hanya menjadi organisasi yang patuh kepada proses dan tatakelola, sebaliknya mesti bertanggungjawab terhadap keberhasilan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
"Kita mesti bergerak daripada culture of compliance kepada culture of impact. Daripada culture of activity kepada culture of accountability. Inilah disiplin baharu yang saya mahu dan kita semua mahu laksanakan di KKDW," katanya ketika berucap di perhimpunan bulanan KKDW, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata rakyat tidak menilai kerajaan berdasarkan jumlah mesyuarat atau pembentangan yang dilakukan, sebaliknya melalui keupayaan dasar dan tindakan kerajaan mengubah kehidupan mereka.
Beliau turut menggesa seluruh kepimpinan dan warga KKDW supaya bertindak lebih pantas, berani membuat keputusan serta jujur menilai kelemahan organisasi selain lebih dekat dengan rakyat bagi menangani isu pembangunan luar bandar.
Justeru, beliau meminta Ketua Setiausaha (KSU) dan timbalan-timbalan KSU kementerian, ketua pengarah serta guru besar menjadikan semakan pertengahan penggal ini sebagai titik perubahan dengan setiap dapatan mesti diterjemahkan kepada keputusan yang jelas serta pelaksanaan yang berkesan.
"Setiap keputusan mesti ada garis masa antara kita atau pihak yang bertanggungjawab dan setiap tanggungjawab mesti membawa kepada tindakan yang boleh kita sama-sama usahakan. Kelemahan terbesar sesebuah organisasi bukan apabila ia mengaku mempunyai masalah tetapi apabila ia mengetahui masalah tetapi tidak berani bertindak," katanya.
Beliau turut menggariskan enam disiplin utama yang perlu menjadi asas semakan pertengahan penggal KKDW iaitu aspek relevan, keberkesanan, kecekapan, impak, kemampanan dan kesepaduan.
Ahmad Zahid berkata pembangunan luar bandar tidak lagi boleh dilihat sebagai agenda kebajikan semata-mata, sebaliknya perlu dianggap sebagai agenda pertahanan nasional yang penting bagi menjamin kestabilan negara.
"Jika desa lemah, negara akan rapuh. Jika desa ketinggalan, negara akan kehilangan keseimbangan. Tetapi jika desa maju, insya-Allah Malaysia akan memiliki asas yang kukuh untuk menghadapi apa jua cabaran di hadapan," katanya.
Ahmad Zahid berkata KKDW perlu bergerak dengan disiplin baharu yang memberi impak besar kepada rakyat selain mempercepat pelaksanaan program dan projek pembangunan.
Beliau berkata walaupun ekonomi negara terus menunjukkan daya tahan dengan pertumbuhan ekonomi yang kekal positif, persoalan utama ialah sama ada pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat luar bandar.
Memberi contoh pembinaan Jalan Perhubungan Desa (JPD) sepanjang 1,800 kilometer di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), Ahmad Zahid berkata projek itu membuka akses kepada pendidikan, kesihatan, ekonomi dan peluang pekerjaan masyarakat luar bandar.
Beliau berkata agenda ekonomi desa nasional perlu dilihat sebagai satu ekosistem menyeluruh yang menghubungkan pembangunan infrastruktur, keusahawanan, pendidikan, latihan dan peluang pekerjaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memuji inisiatif beberapa agensi di bawah KKDW termasuk Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang melaksanakan projek KETENGAH Food Valley, tanaman nanas komersial, ternakan ayam pedaging, selain pembangunan kawasan tanaman kopi pertama di Kelantan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) serta projek KEDA Food Valley yang dibangunkan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Beliau turut merakam penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) susulan peningkatan kemasukan pelajar orang Asli ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan Rancangan Persediaan Pendidikan Sarjana (RPPS), yang disifatkan tertinggi dalam sejarah pendidikan masyarakat itu.
Beliau berkata institusi pendidikan awal seperti Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA), Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), Smart Pra Tahfiz, Smart Classroom dan TABIKA Tunas Istimewa di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) juga memainkan peranan penting dalam membina generasi desa yang berilmu, celik teknologi dan berkeyakinan.
-- BERNAMA
